Nebiula 30 Tahun: Nostalgia, Jerih dan Jiwa yang Tak Pernah Padam
Teks: Adam Kulim
Kredit Foto: Subky Kelkatu TV (Langsuir/ Voci Foto) / Adam K/ Rozairi Yahya (Sil Khannaz foto)/ Mohammad Shahrul (Blackfire Foto)
Tiga dekad bukan sekadar angka. Ia adalah saksi kepada darah, keringat dan keberanian — tiga puluh tahun perjuangan Nebiula Production, entiti yang menjadi tulang belakang kepada kebangkitan metal bawah tanah Malaysia.
Tanggal 1 November 2025, pentas Bsync Live bertukar menjadi altar tempat para penganut muzik keras bersatu meraikan “Nebiula 30 Tahun”, sebuah malam penuh magis, nostalgia dan gegaran bunyi yang memecah batas masa.
Seawal jam dua petang, Bsync Live sudah berdenyut. Dari pintu masuk hingga ke bahagian depan pentas, lautan hitam t-shirt band memenuhi ruang. Ada yang datang dari Johor, ada dari Perlis, ada yang sanggup memandu semalaman semuanya dengan satu tujuan menghormati warisan Nebiula.
Sistem bunyi yang dikawal rapi oleh tim teknikal Bsync Live membelah udara dengan kejelasan menakjubkan, low-end yang dalam, mid yang tajam dan high frequency yang menggigit telinga tanpa menyakitkan. Sementara itu, pancaran lampu LED, “beam” dan “strobe” mencipta suasana ritualistic. Biru pekat, merah berdarah, hijau kelam seolah membawa penonton ke dalam dimensi mistik metal Melayu.
Vociferation Eternity: Seruan Dari Masa Silam
Sekitar jam 4.20 petang, tabir bunyi dibuka. Dari kabus tebal dan lampu yang berkelip seperti amaran perang, kedengaran deruman Ocean Myth dan seisi dewan menjerit serentak. Vociferation Eternity, legenda yang pernah menjadi roh awal metal ekstrem Malaysia, kembali ke pentas dengan semangat yang tidak luntur.

Ketika Meadow’s Yearn dimainkan, Along Nekrad muncul dengan aura tenang tapi tajam. Nada vokalnya menusuk, mengimbas zaman kaset demo dan gig bawah pokok pada era 90-an. Irked dan In Aeternum dilunaskan dengan penuh disiplin. Setiap hentakan dram dan petikan gitar menggema dengan bunyi yang begitu seimbang. Satu penghormatan kepada sistem audio malam itu yang benar-benar “dialed to perfection”.



Menutup set dengan My Angel, ramai penonton berdiri terpaku seolah masa berhenti. Petang itu, metal bukan sekadar bunyi, ia adalah memori yang hidup semula.
Langsuir: Mistik Melayu Menyelinap Ke Jiwa
Tirai asap kembali menebal. Bau kemenyan mula memenuhi udara. Suara gong dan desiran angin dari “sampler” membuka tirai kepada Langsuir, kumpulan yang sinonim dengan mistisisme Melayu.

Dentuman The Seven Headed Dragon of Pelangi memecahkan kesunyian, disusuli permainan gitar Batara Guru (Bentara) yang seolah memanggil semangat dari alam ghaib.
Tangisan Embun Pagi, Gurindam dan Saka Harimau Jadian menyalakan suasana riff mereka bagai jampi, membakar jiwa setiap yang mendengar.Sistem pencahayaan memainkan peranan besar di sini dengan pancaran merah dan ungu yang berpusing perlahan di atas kepala penonton, mencipta visual seperti upacara ritual.


Ketika Pontianak dimainkan, suara vokalis menggema bersama “growl” berat dan gema delay panjang menjadikan dewan seperti gua bersemayam legenda lama. My Oath For Thee menutup persembahan dengan letusan cahaya putih berlapis simbolik kepada sumpah yang tidak pernah mati.
Black Fire: Bara Dari Utara
Dari Perlis, datang bara yang menyala. Black Fire tidak sekadar bermain, mereka menyerang. Lahirnya Dari Api dan Kemenangan Di Saat Akhir membakar pentas dengan ketepatan rentak dan tenaga mentah.

Suara gitar mereka menebas seperti bilah pedang dipertajamkan oleh kecekapan sound engineer yang menyeimbangkan setiap nota dengan kejituan surgawi. Dystopia dan The Enormous Wrath bergema seperti badai sonik, disudahi dengan Sil Khannas yang memaku semua mata ke arah pentas.


Humiliation: Disiplin, Perang dan Metal Tanpa Sempadan
Selesai azan Maghrib, pentas kembali bergoncang. Dentuman trumpet ketenteraan bergema menandakan permulaan Humiliation, band yang membawa nama Malaysia hingga ke benua Eropah.

Trench menjadi peluru pertama. Ground Truth, Impending Death, Iban Mercenaries dan Operation Pytho ditembak tanpa henti. Tiada ruang kosong, tiada cakap banyak hanya perang.
Bunyi mereka padat, berat, dan bersih sistem PA dioptimumkan untuk genre ini, dengan hentakan “kick drum” yang terasa hingga ke dada. Cahaya “strobe” putih dan merah berkelip seperti tembakan peluru.

As Sahar: Falsafah Timur Dalam Nada Metal
Ketika malam menjelma, aura berubah. Asap biru naik dari bawah pentas, dan As Sahar muncul bersahaja tetapi penuh karisma. Maqlu Qalam membuka ruang spiritual malam itu, diikuti Tinggam yang disambut sorakan “crowd”.

Suara vokal yang berlapis dengan gema mistik, disulam dengan petikan gitar timur, menjadikan suasana bagaikan ritual penyatuan budaya dan muzik. My Hymns In The East, Meditasi Embun Pagi dan Stroll in Kafan membina lengkung emosi — dari ketenangan hingga ke letusan.
Lampu-lampu biru dan jingga berputar lembut di atas pentas, menggambarkan falsafah spiritual yang menjadi teras mereka. Menutup dengan Behind The Birth of Mass, As Sahar meninggalkan pentas dengan keagungan bukan dengan jerit, tetapi dengan keheningan yang sakral.

Sil Khannaz: Sang Legenda Menutup Pentas
Malam belum berakhir. Ketika jam menghampiri tengah malam, laungan “Sil Khannaz! Sil Khannaz!” bergema. Dan kemudian muncul Jaie JokhannaZ, legenda hidup yang telah membina empayar Nebiula dari bawah tanah ke langit mitos metal Malaysia.

Dibuka dengan Az Zaqum dan Saktimuna, pentas bertukar menjadi ribut sonik. Akiroth menyertai dengan Intravena Tantrika dan Hakikat & Seru, menggegarkan seluruh ruang dengan vokal yang menggigit.

Tam (Blind Tribe) dan Lanbye muncul silih berganti simbolik kepada jalinan generasi metal yang tidak pernah terputus. Gerbang Kayangan dan Purnamajuna membuat penonton tenggelam dalam arus nostalgia yang indah.
Pancaran lampu “spotlight” emas menyelubungi Jaie seolah memberi tabik hormat kepada pahlawan yang tidak pernah menyerah. Dan ketika Eastern Barbaric Skullkrusher menghentam kali terakhir, dewan bergema dengan sorakan panjang. Tiada siapa mahu berganjak. Malam itu milik mereka.




“Nebiula 30 Tahun” bukan sekadar gig tetapi ia adalah manifesto sebuah perjuangan. Sistem bunyi yang digarap sempurna, pencahayaan sinematik, dan lineup legenda menjadikan malam itu tidak ubah seperti kapsul masa membawa semua yang hadir menelusuri 30 tahun darah dan besi dunia bawah tanah Malaysia.

Dan di tengah semua itu, satu nama terus disebut dengan hormat dan kasih, Jaie JokhannaZ, obor yang menyalakan nyala metal tempatan dengan jiwa, darah dan air mata. Tiga dekad berlalu, namun semangat itu… masih menyala.
