November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Memoir Seorang Guru: Jentik Emosi Penonton, Syahdu Satu Panggung

Spread the love

“Aku melalui lorong pendidikan dengan langkah yang tempang. Murid-muridku ini lah yang meluruskannya…” – Cikgu Sunan

Menonton filem ini, saya ikut terjebak merasakan kemelut seorang guru yang berhadapan dengan cabaran dan dilema tugasan dalam menaik-taraf serta memastikan kelas paling corot mencatat keputusan UPSR lebih baik berbanding sebelumnya. Seorang guru panas baran, jarang tersenyum dan sentiasa serius, Cikgu Sunan telah ditukarkan untuk mengajar di sebuah sekolah pedalaman. Beliau juga seorang duda kematian isteri telah membawa bersama anak perempuannya, Kamariah untuk belajar di sekolah tersebut.

Lebih mencabar lagi apabila terdapat 3 orang pelajar di kelasnya iaitu Alias, Mat dan Mihad yang tidak menyukai Cikgu Sunan. Mereka menganggap guru kelas mereka itu seorang cikgu bandar yang berlagak. Karektor utama itu telah dipertanggungjawabkan di bahu pelakon versatile Datuk Rosyam Nor yang mengakui tidak mudah baginya untuk menghidupkan watak Cikgu Sunan.

“Satu cabaran besar buat saya kerana perlu pastikan watak individu penting di kalangan ahli akademik itu dapat saya sampaikan dengan baik.” ujarnya ketika ditemui pada Sidang Media Tayangan Perdana filem Memoir Seorang Guru yang diadakan di GSC Mid Valley baru-baru ini. “Cikgu Sunan ini cukup terkenal dalam novel buku teks sekolah. Semua cikgu di Malaysia tahu tentang watak novel ini. Kalau saya gagal bawa watak ini, habislah karier saya sebagai pelakon. Nanti orang cakap Rosyam Nor hanya boleh berlakon filem aksi saja. Buat saya itu dah kira gagal dah tu.”

Memoir Seorang Guru ditampilkan oleh produksi Tanah Merah Venturs Sdn Bhd dan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd bersempena dengan sambutan Hari Guru yang diraikan oleh seluruh warga pendidik di Malaysia pada 16 Mei lalu. Bukan sekadar naskhah biasa, diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang juga bekas seorang guru dan penerima Anugerah Penulis SEA 1988 mewakili Malaysia. Istimewanya lagi, filem ini mendapat kerjasama daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Setelah sekian lama menunggu naskhah yang baik dengan watak sebegini, Datuk Rosyam Nor berjaya mengekalkan graf lakonan ketika membawa watak dalam 2 era yang berbeza. Filem arahan sutradara Kyoll Hamzah ini turut dibintangi oleh barisan pelakon kanak-kanan dan pelakon popular seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimy, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi. Sememangnya nama Datuk Rosyam Nor menduduki carta teratas yang menepati kriteria watak Cikgu Sunan, pada pandangan mata Kyoll Hamzah.

Tidak sekadar bercerita tentang hubungan anak murid dan guru, Memoir seorang Guru mengangkat mesej-mesej positif seperti nilai kasih sayang, mengenang budi dan kejayaan, kegagalan, penyesalan dan begitu dekat dihati sesiapa saja yang pernah bergelar guru dan anak murid. Turut menyelitkan nuansa tipikal berkisar tentang hubungan ‘tidak aman’ atau ‘salah faham’ antara guru dan anak murid, wujud rasa cemburu di hati Alias dan Mat apabila melihat keakraban Mihad selalu memancing bersama Cikgu Sunan, adalah antara lain konflik beragam yang ingin diceritakan.

Semakin saya ‘larut’ menghayati cerita, tiba-tiba dijentik emosi apabila diheret duka menonton babak-babak menyayat hati yang membuatkan satu panggung diselubungi syahdu dan sendu. Bahkan Datuk Rosyam Nor sendiri mengakui “Jarang saya menangis tengok lakonan sendiri.” luahnya setelah pertama kali menonton filem terbarunya itu. “Dialog dalam babak itu menyentap, sedihnya terlalu dalam, bukan dipaksa-paksa. Saya rasa mungkin roh novel ini yang mempengaruhi.” Antara babak yang menyentap jiwa secara peribadi adalah ketika Cikgu Sunan membuang semua ego dan memohon kemaafan dari anak muridnya.

“Saya bersyukur pada usia saya sebegini, saya masih relevan dan diberi kepercayaan memegang watak utama. Saya memang mencari naskhah yang boleh mengekalkan dan melonjakkan nama saya, bayaran jatuh nombor dua. Bagi saya hasil filem itu yang akan kekal selamanya.” cerita Datuk Rosyam Nor lagi. “Sebenarnya filem ini ‘menakutkan’ saya, setelah 39 tahun bergelar pelakon, filem ini merupakan titik tolak yang boleh menghilangkan nama Rosyam Nor dan juga boleh mengangkat nama Rosyam Nor.”

Memoir Seorang Guru bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 Mei 2024. Orang ramai termasuk para ibubapa disaran mengambil peluang menonton filem ini kerana sarat dengan mesej positif seterusnya memupuk kasih sayang terhadap warga pendidik. Wajar ditonton oleh semua golongan masyarakat kerana nilai-nilai murni yang diserapkan sebagai pengajaran bersama. Jom sama-sama imbas kembali nostalgia zaman persekolahan kita.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page