July 27, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘The Experts’ Tampil Aksi Heist Keluarga Penuh Bergaya

3 min read
Spread the love

Sangat meminati filem bertemakan ‘Heist’ seperti The Italian Job (telah saya ulang tonton entah ke berapa ratus kali), Ocean’s Eleven dan Now You See Me, antisipasi dan keterujaan saya terhadap filem aksi Heist pertama di Malaysia “The Experts” bagaikan tidak terbendung lagi. Saya jangkakan sebuah filem Heist terbaik selalunya tidak terlalu fokus mengenai Heist itu sendiri, sebaliknya lebih tertumpu pada konflik dan dinamika antara karektor. Dan itulah yang saya dapat apabila menonton The Experts.

Poster filem The Experts

Menyerlahkan dengan sempurna konflik di antara 5 beradik yang memperolehi keamanan dengan susah-payahnya selepas sedekad keamanan jiwa masing-masing, telah diseret kembali ke masa silam mereka tanpa belas kasihan. Tidak hanya memfokuskan tentang satu lagi rompakan, filem ini lebih menyentuh tentang balas dendam, kemaafan dan persefahaman yang bercampur-baur ditengah-tengah tension dan konflik antara adik-beradik itu. Inilah satu peluang dalam satu rompakan terakhir buat satu keluarga.

5 beradik (Farid, Lan, Amer, Emma dan Keyrol) dengan kemahiran unik masing-masing dipaksa kembali ke dunia jenayah untuk merancang rompakan terbesar melibatkan cincin permata bernilai jutaan ringgit, dalam masa yang sama berhadapan ancaman gangster merbahaya dan dendam lama keluarga. Dibintangi nama-nama besar seperti Dato’ Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan ramai lagi yang tampak begitu ‘serasi’ dan cemerlang membawakan watak masing-masing.

Naskhah dan naratif skrip tulisan Joel Soh, pencipta francais Box Office Polis Evo ini disutradarai bersama oleh Andrew Chiew (Pengarah filem Polis Evo 2) dan Nazim Shah (Pengarah filem J2:J Retribusi). Astro Shaw sentiasa agresif dalam penghasilan filem pelbagai genre, termasuk Heist, menjanjikan pengalaman sinematik kualiti produksi bertaraf antarabangsa menggabungkan elemen aksi penuh thrill, elemen kekeluargaan dan humor yang just nice.

Meskipun berganding buat julung kalinya, kemistri yang terwujud antara 5 beradik begitu mengesankan penonton. Antara watak yang cukup buat saya kagum ialah karektor yang dibawakan Remy Ishak sebagai ‘Pakar Menyamar’, sentiasa tampil berlainan imej dalam setiap babak, kelihatan begitu professional dan cekap ketika menari tango bersama Maya Karin. Mengakui sukar membawakan watak Amer, Remy Ishak menyahut cabaran itu walaupun terpaksa menjalani latihan intensif terutama untuk babak tarian tango tersebut. “Kalau suruh saya menari lagi sekarang, saya dah lupa kot.” ujarnya berseloroh. “Kalau ada lagi watak mahukan saya menari, saya dah tak mahu. Malu tapi mahu sebenarnya.”

Kredibiliti Dato’ Aaron Aziz sebagai Abang Long dan Maestro tidak perlu dipertikaikan. Begitu tersusun, tidak cepat gelabah, sentiasa maintain cool dan tenang apabila ada di antara strategi tidak menjadi. Lakonan Ray Dapdap si ‘Pakar Godam’ yang mahir komputer menambah perisa kelazatan jalan cerita, serta kelicikan Mimi Lana sebagai ‘Pakar Manipulasi’ berbekalkan keanggunan wajahnya melengkapkan lagi mood berbeza dalam filem ini. Belum lagi cerita pasal Syafiq Kyle si ‘Pakar Buka Peti Besi’ yang begitu konsisten dan penuh teliti membawa watak paling mencabar, telah disahut dengan sehabis baik.

Sengaja mewujudkan nuansa dramatik pada setiap babak, dan tidak hanya tertumpu pada rompakan yang dirancang, berjaya menjadikan The Experts tiada ruang kosong untuk mencipta bosan. Konflik drama adik-beradik terwujud untuk mendasari efek realistik menghubungkan penonton dengan tema ‘Heist’ yang dipilih bagi telah melengkapkan plot cerita dengan berkesan. Terselit pesan moral pada perbalahan keluarga yang berpecah-belah namun berakhir dengan persefahaman dan kemaafan.

Tampil penuh bergaya, filem fiksyen The Experts terbitan Astro Shaw dengan kolaborasi ZAK Capital dan TGV Pictures berdurasi 121 minit ini bakal ditayangkan di 172 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 23 Mei ini. Apa tunggu lagi, jom serang pawagam sekarang!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page