KPop Demon Hunters ‘serang’ Stadium Merdeka November Ini

Kuala Lumpur Jadi Lokasi Debut Dunia Rolling Stone Music Live: With Kpop Demon Hunters, Tiket Bermula RM288
Selepas mencetuskan fenomena luar biasa di seluruh dunia menerusi Netflix, kini KPop Demon Hunters bakal ‘menyerang’ Stadium Merdeka apabila Malaysia dipilih sebagai lokasi debut dunia konsert Rolling Stone Music Live: With KPop Demon Hunters (Sub: Dreaming Day).
Konsert bersejarah itu bakal berlangsung pada 7 November 2026, jam 8 malam, menampilkan suara dan bakat asal di sebalik karakter popular HUNTR/X dan SAJA BOYS.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi bandar pertama di dunia yang menjadi pentas kepada acara berkenaan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi penting dalam perkembangan fenomena KPop Demon Hunters yang kini mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia.
Konsert berkenaan dianjurkan bersama Galaxy World Entertainment (GWE) dan GS World Entertainment, dengan anggota asal terpilih di sebalik HUNTR/X dan SAJA BOYS bakal membawa muzik serta tenaga fenomena berkenaan secara langsung kepada peminat.
Sejak dilancarkan pada Jun 2025, filem animasi berkenaan dilaporkan sudah mengumpul lebih 600 juta tontonan, sekali gus menjadikannya judul asal Netflix paling popular dalam sejarah platform penstriman itu.
Malah, ia turut mencipta sejarah sebagai judul pertama dalam sejarah Netflix yang berada dalam Global Top 10 selama 52 minggu berturut-turut.
Tidak cukup dengan kejayaan filem, runut bunyinya turut mencetuskan ‘demam’ tersendiri apabila mengumpul lebih 15 bilion strim di seluruh dunia.
Lebih mengejutkan, empat lagu daripada runut bunyi KPop Demon Hunters berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik Billboard Hot 100 secara serentak, satu pencapaian yang mencipta sejarah untuk runut bunyi.
Antara lagu paling mencuri perhatian sudah tentu Golden, yang ditulis bersama EJAE dan dipersembahkan oleh HUNTR/X.
Golden bukan sekadar menjadi lagu popular, malah menduduki tangga pertama sebagai rilis global paling banyak distrim pada 2025, selain bertahan selama lapan minggu di kedudukan nombor satu Billboard Hot 100.
Lagu itu turut mencipta sejarah sebagai lagu K-pop pertama memenangi Grammy dan Oscar. Justeru, kehadiran barisan bakat asal KPop Demon Hunters di Kuala Lumpur dijangka menjadi pengalaman istimewa buat peminat yang selama ini hanya mengenali karakter serta lagu mereka menerusi skrin.
Bagi peminat yang mahu menjadi antara yang terawal mendapatkan tiket, jualan secara fizikal akan dibuka esok, 29 Ogos 2026, mulai 12 tengah hari di Level 3, Pavilion Damansara Heights.
Menariknya, jualan pada hari pertama itu hanya dibuat secara fizikal dan tiada jualan dalam talian dibuka. Jualan tiket secara dalam talian pula akan bermula pada 30 Ogos 2026.
