Isa Lee Tampil Dengan Rock Klasik Dalam Sweety Sayau

Artis Iban Isa Lee mahu tampil berbeza dalam industri muzik Iban tempatan apabila menghasilkan lagu berjudul Sweety Sayau yang diinspirasikan daripada irama rock klasik British serta elemen muzik country yang jarang diketengahkan dalam lagu Iban moden.
Menurut Isa Lee, lagu tersebut merupakan single keenamnya selepas menghasilkan beberapa lagu lain seperti Tubai Pengerindu, Enda Disadang, Bula Enggai dan Sulu Aku Ambai Orang.
Katanya, idea menghasilkan Sweety Sayau tercetus selepas beliau sering mendengar lagu-lagu rock and roll Barat yang mempunyai ritma rancak dan bertenaga.
“Sebelum ini kebanyakan lagu saya lebih kepada rentak balada. Kali ini saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza dan lebih rancak kerana lagu seperti ini juga sesuai untuk hiburan pentas,” katanya.
Beliau berkata, konsep muzik lagu itu turut dipengaruhi susunan muzik rock klasik British era 1970-an yang digabungkan dengan sentuhan country bagi memberikan identiti tersendiri kepada karya tersebut.
Menurutnya lagi, meskipun lagu itu menggunakan kod muzik yang ringkas dan mudah diikuti, susunan chord progression serta elemen orkestra dalam lagu tersebut disusun dengan lebih kompleks supaya kedengaran lebih profesional.
Tambah beliau, lagu itu turut menampilkan vokal latar yang diinspirasikan daripada aura lagu-lagu era 70-an.
Hampir keseluruhan proses muzik untuk lagu-lagunya dilakukan oleh cucunya, Cami Tan, menerusi studio rakaman Lock n Load Studio Kuching.
Mengulas mengenai tajuk lagu tersebut, Isa Lee berkata nama “Sweety” sebenarnya merujuk kepada seorang wanita yang dikenalinya menerusi Facebook sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.

“Lagu ini dijadikan sebagai kenangan dan tanda kasih sayang kami yang bermula daripada media sosial,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berharap Sweety Sayau mampu memberikan kelainan kepada pendengar serta membuktikan bahawa muzik Iban perlu berkembang dengan pendekatan baharu.
Katanya, perkembangan industri muzik Iban tidak seharusnya hanya bergantung kepada jumlah artis atau lagu yang dihasilkan, sebaliknya perlu disokong dengan perubahan genre serta susunan muzik yang lebih kreatif.
“Kalau kita terus mengikut corak lagu lama tanpa pembaharuan, muzik kita tidak akan berkembang. Muzik juga seperti fesyen pakaian, jika tidak berubah maka tiada perkembangan,” katanya.

Selain aktif sebagai penyanyi indie di bawah label Isa Lee Official, beliau kini merupakan artis tetap di Langkau Arau Rumah Asap Dayak Kuching yang membuat persembahan setiap minggu.
Isa Lee yang juga Presiden Persatuan Anak Seni Iban Malaysia (PASIMA) berharap peminat terus menyokong karya baharu artis tempatan tanpa mengira genre kerana setiap lagu mempunyai keistimewaan tersendiri.
Beliau memulakan perjalanan seni sebagai pemain bass sebelum bergelar penyanyi, komposer dan penerbit lagu.

