Haiza Akhirnya Lepaskan ‘Pencuri’

Selepas hampir sembilan tahun tersimpan, lagu ciptaan Aepul Roza yang dirakam sejak 2017 akhirnya menemui pendengar dengan sentuhan pop-elektronik dan hipdut
SELEPAS hampir sembilan tahun menyimpan sebuah karya yang cukup istimewa, penyanyi Haiza akhirnya membuka lembaran baharu apabila single terbaharunya, Pencuri, dilancarkan secara rasmi hari ini.
Bukan sekadar karya baharu, lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aepul Roza itu menyimpan kisah perjalanan panjang apabila sebenarnya sudah dirakam sejak 2017, namun terpaksa menunggu hampir sedekad sebelum diperkenalkan kepada umum.
Menurut Haiza, Pencuri tercetus daripada permintaannya kepada Aepul untuk menghasilkan sebuah lagu baharu ketika mereka bekerjasama menerusi program Duo Star terbitan Astro.
Bagaimanapun, komitmen terhadap pelbagai projek seni menyebabkan perancangan pelancaran tertangguh sebelum pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada jadual asal.
Selepas menyusun semula perancangan pada 2023, Haiza akhirnya memilih 2026 sebagai waktu terbaik untuk mempertaruhkan lagu berkenaan.
Katanya, Pencuri membawa pendekatan muzik lebih ringan dan santai berbanding karya yang pernah dirakamkan sebelum ini, sekali gus memberi ruang kepadanya meneroka sisi berbeza sebagai penyanyi.
“Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.
“Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya,” katanya yang turut tercalon sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38.
Mengulas proses rakaman, Haiza berkata, semuanya berjalan lancar apabila lagu itu berjaya disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam.
Namun, dia mengakui perlu memberikan perhatian lebih terhadap teknik nyanyian kerana sudah terbiasa membawakan lagu berentak rancak.
Malah, Aepul turut menitikberatkan sebutan setiap perkataan bagi memastikan penyampaian lirik kedengaran jelas dan tepat.
“Contohnya, perkataan ‘saat’ dalam lirik ‘Saat demi saat berlalu’. Aepul menegur sebutan saya supaya jelas dan tidak kedengaran seperti perkataan lain. Walaupun kedengaran hampir sama, sebutannya tetap berbeza,” katanya.
Dari segi muzik, Pencuri menggabungkan elemen pop-elektronik dengan sentuhan dangdut moden atau hipdut, menghasilkan karakter muzik yang lebih segar dan mudah melekat dalam ingatan.
Aepul berkata, cabaran utama menghasilkan lagu itu adalah mengimbangi elemen muzik moden dengan melodi yang masih dekat dengan cita rasa pendengar muzik Melayu.
Menariknya, ketika mula dirakamkan pada 2017, gabungan genre berkenaan belum begitu mendapat perhatian meluas, menjadikan Pencuri antara eksperimen muzik yang dianggap mendahului trend ketika itu.
Proses penciptaannya mengambil masa tujuh hari dengan tiga draf melodi berbeza dihasilkan, diikuti praproduksi selama tiga hari sebelum rakaman akhir disempurnakan. Dari sudut penceritaan, lagu itu mengangkat kisah seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya dicuri.

Pencuri juga menjadi antara percubaan awal Aepul dalam memperlihatkan versatiliti dirinya sebagai komposer, khususnya menerusi penerokaan gabungan genre yang berbeza.
Tidak terhenti pada penghasilan lagu, Haiza turut menawarkan kesinambungan penceritaan menerusi muzik video yang menampilkan pelakon Ropie sebagai hero.
Menurut Haiza, pemilihan Ropie dibuat berdasarkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin selain mengakui pelakon itu seorang yang komited dan menepati masa sepanjang penggambaran.
Lebih menarik, muzik video Pencuri membawa penonton menyelami kisah awal perkenalan watak mereka sebelum kejadian yang dipaparkan dalam muzik video Young & Gentleman.
“Konsepnya ialah ‘Siapa Dia Sebelum Dia’. Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula,” katanya yang juga penyampai radio Kool FM.
Haiza berharap kemunculan Pencuri mampu mendapat sambutan baik dan dinikmati peminat daripada pelbagai lapisan usia.
Lagu berkenaan kini boleh distrim menerusi platform digital, manakala muzik videonya dilancarkan pada 20 November, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Indigital Music.
