GAGA Live Bukan Tribute Biasa, Donna Marie Bawa Aura Lady Gaga Ke Malaysia

Vokal secara langsung, lima penari antarabangsa, 21 lagu, kostum dramatik dan produksi visual berskala besar menanti Little Monsters di Subang dan Iskandar Puteri
Bukan sekadar menyarungkan kostum ikonik dan menyanyikan semula lagu popular, penghibur tribute antarabangsa, Donna Marie mahu membawa keseluruhan aura Lady Gaga ke pentas Malaysia menerusi GAGA Live.
Lebih daripada sebuah persembahan tribute, produksi itu direka sebagai pengalaman konsert lengkap yang menggabungkan vokal secara langsung, koreografi, tarian, fesyen, elemen teater dan visual berskala besar.
Perkara itu menjadi antara fokus utama ketika sidang media eksklusif GAGA Live yang berlangsung di Dorsett Hotel Subang, 23 September lalu, menjelang persembahan produksi berkenaan di Malaysia.
Dibawakan MyTicket Holdings dan MyMember, GAGA Live bakal dipentaskan pada 25 September 2026 di EX8 Collective Concert Hall, Subang, sebelum diteruskan pada 27 September di Indoor Arena, EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Kedua-dua persembahan bermula jam 8.30 malam, manakala pintu dibuka kepada penonton pada jam 7 malam.
Menurut Donna, matlamatnya bukan untuk sekadar membuat penonton melihat persamaan dirinya dengan Lady Gaga, sebaliknya merasai tenaga dan pengalaman sebuah persembahan konsert penyanyi berkenaan.

“Saya mahu penonton di Malaysia merasakan tenaga sebuah konsert Lady Gaga sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke venue. Ini bukan sekadar tentang menyanyikan lagu-lagunya, tetapi tentang muzik, fesyen, koreografi, teater dan hubungan dengan penonton,” katanya.
Donna sememangnya bukan nama baharu dalam dunia tribute Lady Gaga apabila sudah lebih sedekad membawa persembahan berkenaan ke pelbagai pentas antarabangsa termasuk teater, festival, kapal persiaran dan acara berskala besar.
Laman rasmi Donna turut menyatakan persembahannya menggabungkan vokal langsung, koreografi, kostum replika serta elemen produksi yang boleh dikembangkan dengan penari profesional dan visual latar.
Antara tarikan utama Donna ialah persamaan visual dengan Lady Gaga yang digabungkan dengan keupayaan vokalnya. Malah, Donna pernah bertemu sendiri dengan Lady Gaga dan kisah pertemuan itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan persembahan tribute yang dibawakannya.

Siaran media GAGA Live yang diterbitkan pada Ogos lalu turut memetik reaksi Lady Gaga terhadap Donna, selain menyatakan bahawa persembahannya pernah mendapat perhatian media termasuk BBC.
Namun, bagi Donna, menjadi penghibur tribute kepada bintang sebesar Lady Gaga bukan sekadar soal penampilan.
“Saya sudah melakukan persembahan ini selama bertahun-tahun, tetapi setiap kali berada di atas pentas, saya masih mahu memberikan seratus peratus. Malaysia sangat istimewa buat kami dan saya tidak sabar untuk bertemu Little Monsters di Kuala Lumpur serta Johor Bahru,” katanya.

Bagi menguatkan lagi elemen persembahan, Donna turut ditemani lima penari profesional antarabangsa iaitu Giuseppe Morra, Emma Tomkins, Lizzy-Lou Koster, Will Garner dan Pablo Sánchez Feltrer.
Mereka mempunyai pengalaman dalam pelbagai disiplin termasuk ballet, jazz, contemporary dance, musical theatre dan commercial dance.
Kehadiran barisan penari itu sekali gus memberi dimensi lebih besar kepada koreografi GAGA Live, terutama apabila persembahan berkenaan turut mengetengahkan gaya pentas dan visual yang sinonim dengan produksi Lady Gaga.
Bukan hanya Donna Marie yang bakal menjadi tumpuan pada persembahan di Kuala Lumpur apabila penyanyi Natasha Sass turut dijadualkan membuat penampilan khas pada malam berkenaan.

Natasha bakal mempersembahkan beberapa lagu daripada single miliknya, sekali gus memberikan ruang kepada penonton untuk mengenali sisi muziknya sendiri di pentas GAGA Live.
Lebih menarik, Natasha turut bakal bergandingan dengan Donna dalam sebuah persembahan duet khas.
Kolaborasi itu dijangka menjadi antara momen istimewa untuk penonton Kuala Lumpur, terutama apabila dua vokalis daripada latar berbeza berkongsi pentas dalam sebuah produksi yang sarat dengan elemen pop, persembahan visual dan hiburan.
Kemunculan Natasha juga memberikan identiti tersendiri kepada persembahan di Kuala Lumpur, selain menambahkan variasi kepada keseluruhan pengalaman GAGA Live.
Bagi Little Monsters, perjalanan muzik Lady Gaga bakal dihidupkan menerusi setlist yang merentasi beberapa era.
Antara lagu yang disenaraikan termasuk Abracadabra, Dead Dance, Always Remember Us This Way, Paparazzi, Alejandro, Marry The Night, Stupid Love, Rain On Me, Telephone, Applause, Million Reasons, Shallow, Die With A Smile, Just Dance, Bad Romance dan Poker Face.

Persembahan turut menampilkan beberapa medley dan interlude termasuk Mayhem Medley yang menggabungkan Abracadabra, Judas, Aura dan Garden of Eden. Sebagai penutup, Edge of Glory dipilih sebagai lagu encore.
Keseluruhan produksi pula dilengkapkan dengan perubahan kostum, koreografi, visual latar berskala besar serta interaksi secara langsung bersama penonton.
Menurut maklumat rasmi penganjur, GAGA Live dirangka sebagai persembahan selama 90 minit dengan penekanan kepada vokal langsung dan produksi visual.
Bagi penganjur, kekuatan utama GAGA Live terletak pada pakej keseluruhan yang ditawarkan.
“Kami tidak mahu membawa sebuah tribute show yang hanya bergantung kepada persamaan fizikal artis. GAGA Live mempunyai keseluruhan pakej produksi – Donna menyanyi secara langsung, ada penari profesional, koreografi, kostum, visual dan elemen teater.
“Matlamat kami adalah supaya penonton datang dan merasakan mereka menyaksikan sebuah produksi konsert sebenar,” kata wakil penganjur.
Pendekatan itu selari dengan penerangan rasmi GAGA Live yang menekankan konsep full-scale concert experience, bukannya sekadar persembahan nyanyian semula.

Tiga kategori tiket ditawarkan iaitu Diamond berharga RM289, Platinum RM239 dan Party Zone RM189. Party Zone menyediakan ruang berdiri, manakala Diamond dan Platinum merupakan kategori tempat duduk bebas.
Peminat juga boleh mendapatkan pakej Meet & Greet pada harga RM88 yang merangkumi peluang bergambar bersama Donna Marie serta poster bertandatangan.
Tiket rasmi ditawarkan menerusi MyTicket Asia. Laman rasmi penjualan mengesahkan persembahan Subang berlangsung pada 25 September jam 8.30 malam di EX8 Concert Hall.
Dengan Donna Marie bersama lima penari antarabangsa, 21 lagu, perubahan kostum, koreografi dan produksi visual, GAGA Live hadir dengan pendekatan yang cuba menjadikan sebuah persembahan tribute sebagai pengalaman konsert penuh buat Little Monsters di Malaysia.
