Di Sebalik Tongkat, The Rayhan Kembali Menyusun Makna Syukur 26
Di sebalik penampilan sederhana namun penuh simbolik, kemunculan semula The Rayhan bukan sekadar sebuah reunion nostalgia sebaliknya ia hadir sebagai perjalanan emosi, usia dan makna yang lebih dalam buat dunia muzik nasyid tanah air.
Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, kumpulan legenda itu bakal kembali ke pentas menerusi Konsert Syukur 26 yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos depan di Hall A, MAEPS Serdang.
Lebih mengujakan, konsert mega itu bakal menyatukan semula tiga figura utama kumpulan berkenaan iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad di atas satu pentas selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.
Pengumuman rasmi dibuat menerusi sidang media yang berlangsung di Top G Coffee & Cafe, Publika pada 22 April lalu dengan kehadiran media, rakan strategik serta wakil industri hiburan.

Wakil penganjur daripada Bintang Batu Events, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom berkata, usaha menyatukan semula kumpulan berkenaan sebenarnya sudah dirancang sejak 2017.
Menurutnya, pelbagai kekangan termasuk isu lokasi menyebabkan perancangan itu tertangguh sebelum pihaknya memilih MAEPS sebagai venue paling sesuai.
“Sebenarnya perancangan untuk menyatukan mereka sudah bermula sejak 2017 lagi. Selepas melalui pelbagai kekangan termasuk isu lokasi, kami akhirnya memilih MAEPS kerana ia menawarkan ruang tertutup dan selesa untuk sebuah konsert berskala besar.
“Lebih menarik, The Rayhan bakal menjadi artis pertama yang mengadakan konsert di dewan ini selepas proses renovasi siap sepenuhnya,” katanya.
Tambah Atom, konsert berkenaan turut membawa elemen nostalgia apabila hampir 90 peratus pemuzik asal yang pernah bersama kumpulan itu berjaya dikumpulkan semula.

Antara nama yang kembali terlibat ialah maestro perkusi terkenal, Steve Thornton yang pernah mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Konsert berkenaan dijangka menjadi malam penuh emosi apabila lagu-lagu malar segar seperti Iman Mutiara, Demi Masa dan Syukur bakal dipersembahkan semula dengan susunan muzik lebih segar dan moden.
Walaupun diberikan nafas baharu, identiti harmoni vokal yang menjadi kekuatan utama kumpulan itu tetap dikekalkan.
Lebih menarik, dua nama popular generasi baharu iaitu MK dan Nokki daripada K-Clique turut diumumkan sebagai artis jemputan khas. Pihak penganjur bagaimanapun masih berahsia mengenai beberapa lagi nama artis yang bakal mewarnai pentas Syukur 26.
Antara momen paling mencuri perhatian ketika sidang media itu adalah kemunculan anggota The Rayhan yang tampil menggunakan tongkat.
Penampilan berkenaan menimbulkan tanda tanya ramai sebelum Nazrey menjelaskan tongkat itu membawa simbolik perjalanan masa serta ketabahan mereka untuk terus bertahan dalam industri hiburan.

“Tongkat ini melambangkan perjalanan waktu dan usia, bahawa hari ini kami semakin berumur, namun masih teguh berdiri di sini untuk terus memperjuangkan hiburan nasyid,” katanya.
Menurut Nazrey, kemunculan semula The Rayhan bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya usaha menghidupkan kembali roh perjuangan muzik nasyid yang pernah menjadi fenomena besar sekitar penghujung 1990-an.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan sejarah tercipta, tiket Konsert Syukur 26 akan mula dijual pada 1 Mei ini dengan harga antara RM179 hingga RM459 menerusi platform rasmi jualan dalam talian.
