October 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Black Hanifah Lepaskan Rasa Dalam ‘Terlerai Sudah’

Spread the love

Selepas kejayaan Hijab Rindu, Black kembali dengan karya sarat emosi mengenai kepedihan merelakan insan tersayang, meskipun hati masih dibelenggu kenangan.

Masih menyayangi, tetapi terpaksa melepaskan. Itulah kepedihan yang menjadi taruhan Black Hanifah menerusi single terbaharunya, Terlerai Sudah, sebuah karya yang menyelami perasaan seseorang apabila hubungan yang dibina akhirnya menemui noktah.

Bukan sekadar kisah cinta yang tidak kesampaian, lagu terbitan Nova Music Malaysia itu mengangkat dilema merelakan insan tersayang pergi demi kebaikan bersama, walaupun hati masih menyimpan kasih dan kenangan yang sukar dipadamkan.

Single berkenaan dilancarkan pada 16 Oktober lalu menerusi majlis pelancaran yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, sekali gus menandakan kemunculan terbaharu penyanyi itu dengan karya yang mengutamakan kekuatan vokal dan penghayatan emosi.

Menurut Black, lagu ciptaan Ba Ermy, Mas Dewangga dan Jova Devito, dengan lirik hasil sentuhan bersama Datuk Arisz Ab Rahman JP, membawa cerita yang dekat dengan pengalaman sebenar masyarakat.

“Terlerai Sudah membawa cerita tentang sebuah hubungan yang akhirnya terpaksa dilepaskan. Ia lebih kepada perasaan apabila kita sedar sesuatu hubungan itu sudah sampai ke penghujungnya, walaupun masih ada rasa sayang dan kenangan yang tersimpan.

“Saya percaya ramai pernah melalui situasi terpaksa merelakan seseorang pergi demi kebaikan masing-masing,” katanya.

Bagi Black, cabaran menyampaikan lagu beremosi bukan sekadar bergantung pada kemantapan vokal, sebaliknya turut menuntut penghayatan terhadap jalan cerita supaya setiap bait lirik dapat dirasai pendengar.

Justeru, proses pembikinan Terlerai Sudah menyaksikan kerjasama erat antara penyanyi itu dengan barisan komposer dan penulis lirik bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan benar-benar berkesan.

“Proses menghasilkan lagu ini sangat menyeronokkan kerana setiap orang yang terlibat memberikan perspektif dan sentuhan masing-masing.

“Komposer dan penulis lirik berjaya menghasilkan sebuah lagu yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi mempunyai emosi kuat.

“Saya pula cuba membawa cerita dalam lagu ini melalui cara penyampaian sendiri. Dari peringkat awal hingga rakaman, kami banyak berbincang mengenai emosi dan karakter lagu supaya apa yang disampaikan benar-benar sampai kepada pendengar,” jelasnya.

Menariknya, sesi rakaman vokal hanya mengambil masa kira-kira dua jam selepas susunan muzik disiapkan, namun keseluruhan proses penerbitan mengambil masa dua minggu.

Tempoh itu digunakan untuk memperhalusi setiap aspek penghasilan lagu, termasuk proses adunan bunyi (mixing) dan penguasaan audio (mastering) bagi memastikan hasil akhir mencapai tahap yang memuaskan sebelum dilancarkan.

Bukan hanya menitikberatkan kualiti audio, pihak produksi turut memberikan perhatian terhadap pembikinan muzik video (MV) yang kini siap sepenuhnya.

Black berkata, MV berkenaan dirancang untuk melengkapi penceritaan lagu, sekali gus membolehkan pendengar menghayati emosi yang cuba disampaikan menerusi gabungan muzik dan visual.

“Untuk MV, ia memang menjadi salah satu perkara penting dalam perjalanan Terlerai Sudah. Kami mahu visual yang dihasilkan selari dengan cerita dan emosi lagu, bukan sekadar menghasilkan MV untuk melengkapkan sebuah single.

“Saya harap pendengar bukan sahaja dapat menikmati lagunya, tetapi turut merasai cerita yang cuba disampaikan melalui visual tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Black tidak menafikan kejayaan lagu Hijab Rindu sebelum ini memberikan sedikit tekanan untuk memastikan karya terbaharunya turut mendapat sambutan.

Bagaimanapun, dia melihat perkara itu sebagai cabaran positif untuk terus menghasilkan muzik berkualiti tanpa terlalu dibayangi pencapaian terdahulu.

“Sudah tentu ada sedikit tekanan, tetapi saya lebih melihatnya sebagai satu tanggungjawab dan cabaran untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Saya sangat bersyukur dengan penerimaan terhadap lagu Hijab Rindu.

“Bila sesebuah lagu mendapat sambutan luar biasa, kita tidak boleh terlalu selesa dan mengharapkan lagu seterusnya akan mengulangi perkara sama. Setiap lagu mempunyai cerita dan perjalanan masing-masing.

“Untuk Terlerai Sudah, saya cuba fokus kepada lagu ini dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan perbandingan dengan lagu sebelum ini,” ujarnya.

Menyentuh impian untuk membawa karya ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Black mengakui peluang beraksi di pentas berprestij itu sememangnya menjadi antara cita-citanya sebagai penyanyi.

Namun, dia mahu memastikan Terlerai Sudah terlebih dahulu mendapat tempat di hati pendengar sebelum mengharapkan pengiktirafan lebih besar.

“Sebagai seorang penyanyi, sudah tentu saya mempunyai impian untuk membawa lagu ke pentas besar seperti AJL. Itu antara pentas yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia dan tentunya menjadi pencapaian yang membanggakan.

“Untuk Terlerai Sudah, saya berharap lagu ini mendapat tempat di hati pendengar terlebih dahulu. Kalau rezeki lagu ini sampai ke AJL atau mana-mana pentas besar, saya akan sambut peluang itu dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya, paling penting sekarang ialah terus menghasilkan muzik berkualiti dan memberikan persembahan terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada rezeki dan penerimaan pendengar,” katanya.

Single Terlerai Sudah mula distrim di platform penstriman muzik digital utama pada 16 Oktober 2026, manakala muzik video rasmi lagu itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada hari sama, jam 3 petang, melalui pautan https://youtu.be/ueDCPesGpCk.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page