November 25, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Perjuangan 2 Dekad: Diterjemahkan Jaclyn Dengan ‘Gemilang’

Spread the love

Selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku sebagai anak seni, akhirnya impian pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Viktor ini mampu menarik nafas lega kerana berjaya merialitikan impiannya untuk mengadakan konsert ‘solo’.

Juara Malaysian Idol 2004 ini bukan sahaja ‘gemilang’ sewaktu tampil menjampi ribuan peminat yang memenuhi arena dengan lontaran vokal lantangnya tetapi turut membawa khalayak bermeditasi bersama menerusi konsert ‘Jaclyn Victor First Solo Concert’ yang telah berlangsung di Zepp KL, pada 12 Oktober lalu.

Konsert anjuran Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production itu bukan sahaja melakar sejarah peribadi Jaclyn tetapi turut menyeret ‘jenama’ besar dalam industri seni dimana Hael Husaini, Siti Nordiana, Shila Amzah dan Ning Baizura turut bergandingan di pentas eksklusif itu.

Kehadiran Dina Nadzir yang berada di ‘Box’ turut mengamatkan suasana apabila sahabat baiknya itu turut menyapa Jaclyn yang berada di pentas.

Jaclyn turut berkongsi rasa gementarnya ketika menyampaikan lagu Bole Chudiyan /Tunak Tunak Tun dimana lagu tersebut telah di letakkan sebagai ‘encore’ kepada konsert tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana persepsi penonton termasuk saya sendiri ketika menyampaikan lagu yang membuatkan saya perlu menari selain mengeluarkan ‘suara halus’” ujarnya ketika ditemui media usai konsert berakhir.

“Kalau korang ingat semasa All Stars Gegar Vaganza saya dapat lagu tu. Pihak produksi bagi cabaran dekat saya manakala, saya tak pandai menari dan buat suara halus. Perasaan saya jadi teruja nak buat semula untuk konsert ini. Bagi pendapat saya, peminat suka dan persembahan itu menjadi. Lagipun, saya mahu sesuatu yang besar untuk penutup konsert solo ini.”, terang Jaclyn.

Sepanjang konsert yang berdurasi hampir 2 jam itu, Jaclyn telah menyampaikan lebih 20 buah lagu menerusi 3 buah segmen  yang ‘menghayalkan’ khalayak. 

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Dibawah Pohon Asmara, Sesal Tak Bermakna, Sandarkan Pada Kenangan (feat Hael Husaini), Cinta Tiada Akhirnya, Nisan Cinta (feat Siti Nordiana), Semua Isi Hatimu, Dimana Dimana, Beribu Sesalan (Feat Shila Amzah dan Ning Baizura), Bertamu Di Kalbu, Inilah Saatnya dan Bole Chudiyan/Tunak Tunak Tun.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page