November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Cuba ‘Test’ Dengan Amir Hasan

Spread the love

Gemar bereksperimentasi dalam penciptaan muzik, penyanyi berbakat Amir Hasan kembali dengan sebuah lagi karya menarik berjudul ‘Test’.  Menurut Amir, lagu ini berkisar tentang cara mengatasi cabaran dan menemui kekuatan dalaman.

“‘Test’ adalah sebuah lagu reflektif yang mendalam ciptaan P4PI bersama madebyartin dan diterbitkan oleh madebyartin. Lagu ini menyelami cabaran mental dan emosi yang dihadapi ketika sentiasa diuji oleh orang lain, saat menghadapi kesukaran, namun tetap harus kekal kuat walaupun dalam tekanan,” ujar Amir membuka bicara.

Amir turut menjelaskan bahawan lirik lagu ini mencerminkan perjuangan dan kejayaan, manakala melodi berkembang seiring dengan perjalanan emosi.

“Tenaga yang dialunkan dalam lirik yang dihasilkan oleh P4PI dipadankan dengan produksi padu madebyartin yang menggabungkan rentak urban dengan melodi yang kuat. Ini menetapkan gaya lagu yang bertemakan sebuah pencarian tanpa henti buat keyakinan diri,” kata Amir lagi.

Dengan bait lirik yang teguh seperti ‘tahu jalan cerita nak ending macam mana, jadi aku tahu aku perlu teruskan,’ lagu ini menggambarkan kekecewaan saat berhadapan dengan penilaian orang lain serta keraguan sambil terus maju dengan semangat yang tidak mudah goyah.

“Sebagai penulis lirik, saya bekerjasama dengan madebyartin, yang telah menggubah struktur dan menghasilkan lagu ini. Kami bekerjasama rapat untuk merealisasikan visi lagu ini. Namun ada juga sedikit cabaran.

Ini terlihat semasa kami mencari keseimbangan yang tepat antara emosi dan penghasilan muzik. Namun, melalui maklum balas yang berterusan, kami berjaya mencapainya,” jelasnya lagi.

Proses rakaman lagu ini mengambil masa sekitar sehari sahaja untuk bahagian tulisan dan gubahan. Ia telah dimulakan dengan alat muzik, kemudian pemasukan vokal, dan diikuti dengan penyuntingan, adunan, serta mastering.

Saat ditanya tentang harapannya terhadap lagu ini Amir memberikan jawapan yang agak umum.

“Kami berharap lagu ini memberi kesan mendalam kepada pendengar dan memberi inspirasi kepada semua untuk menghadapi cabaran dengan berani. Pesan penting lagu ini adalah ia mengingatkan kita bahawa kesulitan boleh membawa kepada pertumbuhan, dan kami berharap penonton dapat mengaitkan mesej ini,” bingkas Amir menutup bicara.

Bakal dikeluarkan pada 27 September 2024, ‘Test’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page