October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nabila Razali Hamil Anak Sulung

Spread the love

Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali, mengumumkan khabar gembira bahawa beliau sedang hamil anak sulung dan dijangka bersalin pada Januari tahun depan.

Nabila, 32, yang dikenali dengan nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, meluahkan rasa syukur dan teruja atas anugerah yang diterima bersama suaminya, Nik Iruwan Nik Izani, 39.

“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami, dan kami tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang telah menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.

Penyanyi lagu Tangis ini menegaskan bahawa kerjaya seni masih diteruskan dengan pelbagai perancangan menarik yang telah dirangka.

“Tidak dinafikan, sekarang ini saya cepat penat dan lebih banyak berehat. Sebelum ini, apabila bekerja, sukar untuk berhenti. Sekarang adalah waktu yang saya rasa ingin tidur saja. Namun, saya masih komited dalam bidang seni, terutama untuk beberapa kerja yang telah dirancang lebih awal. Apa pun, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Nabila percaya bahawa dengan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat setia, fasa ini akan menjadi satu lagi bab indah dalam kehidupannya.

“Fasa ini adalah titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan, di mana setiap detik menjadi pengalaman berharga yang akan diabadikan dalam memori sebagai bab penuh keindahan dan makna. Saya percaya fasa baharu ini juga akan menjadi cerita indah untuk saya dan suami. Doakan agar perjalanan kehamilan saya ini dipermudahkan hingga saat bersalin nanti,” katanya.

Mengenai keadaan dirinya sepanjang kehamilan, Nabila menyatakan tiada perubahan ketara melainkan selera makan yang semakin meningkat.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami keinginan yang melampau dan alahan yang teruk. Perubahan yang ada hanyalah dari segi tenaga, tetapi bagi saya, itu mungkin perkara biasa bagi wanita hamil. Selain itu, selera makan saya bertambah-tambah. Saya ingin menikmati setiap detik sepanjang kehamilan ini,” tambahnya.

Nabila dan suaminya selamat melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page