November 28, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

13 Tahun Tanpa Album, Zee Avi Perkenalkan Zee Avi And The Good Things

Spread the love

Single Terbaharu,‘Oyasumi Na Sayang’ Hasil Kolaborasi Bersama Band Jepun

Foto Kredit:  Carlos Khu

Zee Avi cukup menamakan beberapa hitnya dari Kantoi, Bitter Heart sehingga Concrete Wall yang telah mencetak banyak sejarah peribadi sekaligus membanggakan industri muzik tempatan di mata dunia.

Karya-karya bermutu yang pernah dilahirkan pemuzik asal Sarawak ini membuatkan penggemar lupa Zee Avi sebenarnya sudah 13 tahun tidak memasarkan album baharu. Namun khabar baik menyapa semua apabila pemuzik berbakat besar ini mengumumkan sedang mempersiapkan album terkini yang juga ketiga daripadanya.

Lebih istimewa, anak seni berusia 38 tahun ini turut mengumumkan ‘gerakan’ barunya akan disertai bersama band yang diberi nama Zee Avi And The Good Things.

“Hampir 13 tahun sejak album terakhir saya, Ghostbird dipasarkan, saya kini mempersiapkan album ketiga ya. Ya, album penuh dengan sekitar 10 hingga 11 buah lagu. Dan berbeza lagi, saya kini bergerak secara indipenden. Jadi saya lebih bebas berkarya dan bebas untuk sempurnakan album ini.

“Malah muzik album kali ini lebih mencerminkan kematangan berkarya saya dan dengan sentuhan band saya, Zee Avi And The Good Things. Zee Avi And The Good Things terdiri daripada saya, Raja Farouk (bass), Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (bass) dan AKZ (pengarah muzik serta drum/perkusi).

“Tentu sahaja production dan sound di album ini lebih fresh tapi personal dan yang paling best, semua pemuzik dari Malaysia,” umum Zee Avi penuh bangga.

Dan pada saat album ketiga ini hampir disempurnakan, Zee Avi terlebih dahulu menyapa peminat dengan single baru yang cukup versatil dan unik.

Diberi judul Oyasumi Na Sayang ia merupakan single kolaborasi bersama band dari Fukuoka, Jepun, MuchaMuchaM yang dihasilkan dengan campuran bahasa Melayu dan Jepun.

“Oyasumi Na Sayang adalah kolaborasi saya bersama band MuchaMuchaM Jepun dan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Jepun.  Pembikinan lagu ini juga sangat unik kerana semuanya dilakukan secara maya. Mereka berada di Jepun manakala saya pula di Malaysia. Proses kreatifnya bermula dengan karya atau komposisi lagu tanpa melodi dan lirik dari mereka. Kemudian saya menyumbangkan melodi dan lirik dalam bahasa Melayu. Dan mereka terima, Alhamdulillah,” ujar Zee.

“Dan dari ini terhasil dua versi Oyasumi Na Sayang iaitu versi MuchaMuchaM, manakala versi disko dihasilkan oleh Zee Avi And The Good Things bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Sementara menunggu versi disko, Oyasumi Na Sayang versi MMM, sudah boleh didapati di semua streaming platform.

Zee Avi And The Good Things

“Saya dan MuchaMuchaM pun baru rilis EP yang menampilkan tiga buah lagu dengan dua lagu original dan satu cover yang menyaksikan saya menyanyi dalam Bahasa Jepun,” katanya penuh teruja.

Di sebalik kesibukan pembikinan album ketiganya, Zee Avi juga aktif membuat persembahan.  Antara yang menanti peminatnya adalah kemunculan Zee Avi di dua festival besar iaitu Axean Festival dan Kuching Jazz Fest.

“Saya secara peribadi sangat teruja untuk membuat persembahan di Axean Festival dan Kuching Jazz Fest kerana ini akan menjadi panggung perdana buat saya muncul bersama Zee Avi and The Good Things. Saya juga tidak sabar untuk kongsikan sound baru kami,” katanya lagi.

Lebih mengujakan, Zee Avi juga menerima lamaran untuk beradu seni dengan band popular Indonesia, Fourtwenty untuk dua persembahan pada masa terdekat.

“Saya menerima emel dari pihak management mereka dan tentu sahaja saya terus dengan besar hati menerima peluang yang sangat istimewa dan unik ini.  Sebagai seorang anak seni, saya memang gemar berkolaborasi dengan artis-artis dari luar Malaysia, mahupun jauh ataupun jiran.

“Saya baru dijemput oleh Fourtwnty untuk sesi latihan bersama mereka di Jakarta dan saya sangat kagum dengan etika kerja mereka dan team mereka.

“Banyak yang boleh dipelajari dari saudara-saudara kita di Indonesia, terutamanya dalam industri muzik mereka, filosofi mereka, dan juga penghormatan mereka terhadap kesenian yang direka dan penghormatan mereka terhadap komuniti mereka,” katanya kagum.

Sementara itu di luar konteks persembahan, Zee Avi menggunakan pengaruh namanya sebagai individu yang dikenali dengan menganjurkan kutipan amal termasuk yang dilakukan baru-baru ini khas buat kanak-kanak di Gaza dengan kerjasama Mercy Malaysia di BoboKL.

Zee Avi juga menyatakan keterbukaan untuk terus diberi peluang memberi sumbangan terhadap komuniti Malaysia. Dan untuk semua perjuangan seni yang kembali dikayuh, Zee Avi bersyukur kerana suami yang dinikahi sejak 2021, Kenji Matano sentiasa menjadi pendukung sejatinya.

“Dia adalah penyokong terkuat dan terbesar saya. Sentiasa memberi sokongan yang positif kepada saya, terutama jika saya ada rasa keraguan terhadap keyakinan diri saya. Dan saya rasa, ini semua adalah mungkin lebih penting bagi saya untuk teruskan perjalanan seni ini,” kata Zee Avi optimis dengan sokongan yang diberikan kepada dirinya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page