October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Karyawan Teruskan Misi Bantuan Artis di Sabah

Spread the love

Misi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk membantu para artis dan ahlinya diteruskan ke Sabah menerusi jelajah konsert amal, Legends yang akan diadakan pada 1 November ini.

Dianjurkan oleh Karyawan, jelajah ini merupakan yang kedua selepas diadakan di ibu kota pada Jun lalu dan juga merupakan konsert pertama persatuan di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez sejak negara dilanda wabak COVID-19.

Pengerusi Karyawan, Dato Khadijah Ibrahim, menyatakan bahawa seramai 11 pemuzik dan penyanyi akan menyertai persembahan di Kota Kinabalu nanti, termasuk Dato Ramli Sarip dan Dato Jamal Abdillah, serta gitaris terkenal, Man Keedal, selain beliau sendiri.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di Sabah International Convention Centre ini akan berlangsung selama hampir tiga jam dan akan menampilkan penyanyi terkenal kelahiran Sabah seperti Jimmy Palikat, Ayu Damit, Azharina Azhar, Mad Sabah, Daniesh Suffian, dan Hairee KOOL. Bagi menambah kehangatan, bintang yang semakin menyerlah, Aina Abdul, juga akan diterbangkan ke Kota Kinabalu.

“Sepertimana konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini, persembahan di Sabah nanti juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan Karyawan dalam usaha membantu meringankan beban para penggiat seni yang memerlukan. Sejak enam bulan yang lepas, Karyawan telah memberi bantuan kepada lebih 100 artis yang sakit atau kehilangan keupayaan untuk bekerja, termasuk Isma Aliff, Ross Ariffin, Rahim Maarof, Zaiton Sameon, Sofia Ibrahim, Zaleha Hamid, Fredo dan ramai lagi.

“Berbanding konsert terdahulu, selain saya sendiri, turut disenaraikan adalah Dato Ramli Sarip, Dato Jamal Abdillah, dan gitaris terkenal Man Keedal. Empat legenda di satu pentas tentunya akan memberikan tenaga luar biasa pada majlis yang dijangka meraih kehadiran sehingga 2,500 orang.

“Tidak lengkap malam tanpa persembahan bakat-bakat besar Sabah seperti Ayu Damit dan Azharina, selain kejutan manis daripada Aina Abdul. Ini juga antara usaha Karyawan dalam mengenengahkan generasi pelapis agar industri seni tanah air terus bersemarak,” katanya yang turut memberi penghargaan kepada Hotel Seri Pacific, yang menaja sidang media hari ini.

Karyawan juga mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tetamu Kehormat; serta dif-dif kehormat lain seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Haji Sabin Samitah.

Jualan meja untuk 10 orang semeja telah dibuka pada harga RM3,000, RM5,000, RM10,000, RM20,000, dan RM50,000. Bagi penajaan meja VIP RM100,000, penawaran merangkumi manfaat sebagai rakan penaja sepanjang promosi penganjuran majlis. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Freddie di 012-2071400, atau Azman di 016-2338888/016-2302621.

Usaha yang dilakukan oleh Karyawan ini, menurut Khadijah, selaras dengan saranan Presidennya untuk memastikan bantuan berterusan dapat dilaksanakan, terutama bagi membantu penggiat seni yang uzur dan tiada upaya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kejayaan penganjuran malam Legends sebelum ini, yang berjaya mengumpul dana lebih RM100,000, telah mendorong Karyawan untuk merancang membawa majlis berkenaan ke Johor Bahru nanti.

“Sebagaimana diumumkan Presiden Karyawan, Datuk Freddie, matlamat utama acara ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu penggiat seni veteran yang berdepan kesulitan hidup, terutama yang uzur dan kehilangan sumber pendapatan serta memerlukan sokongan secara konsisten.

“Karyawan mempunyai senarai yang panjang bagi penggiat seni yang memerlukan perhatian. Seramai 15 anak seni telah disenaraikan sebagai penerima bantuan menerusi majlis di Sabah ini. Kami berharap lebih banyak dana dapat dikumpul agar lebih ramai dapat dibantu,” ujarnya.

Justeru, Karyawan juga akan mengambil kesempatan untuk meraikan beberapa anak seni Sabah yang akan diundang sebagai tetamu pada malam berkenaan dalam usaha memperkukuhkan hubungan dan sebagai tanda kepedulian persatuan.

Menurut Khadijah lagi, Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi kedua jelajah malam Legends ini untuk menyokong kegiatan pelancongan di Sabah, selain memenuhi permintaan peminat termasuk dari Brunei.

“Penampilan penyanyi dan pemuzik legenda pada malam eksklusif ini tentunya dapat memanfaatkan peminat, termasuk dari Brunei dan Sarawak, malah ada juga pertanyaan diterima daripada peminat di Singapura.

“Sambil berhibur dan beramal, malam Legends ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada acara untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah, sekali gus menyokong industri dan ekonomi negeri,” tambahnya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page