October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Penyatuan Exists dan Masdo, Pasti Memberi ‘Warna’ Menarik

Spread the love

Konsert ‘Battle of Time Exists X Masdo’ Bakal Berlangsung di Dewan Merdeka WTCKL Pada 10 November Ini

Rasanya  tidak mustahil untuk membangkitkan nostalgia dengan lagu malar segar yang pernah dihasilkan oleh pengkarya hebat belantika muzik tempatan, apatah lagi ianya sentiasa menjadi siulan pendengar baharu mahupun lama.

Faktor itu mendorong Dennsa dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi bersama Kumpulan My Creative Ventures menganjurkan Battle Of Time Exists X Masdo yang dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL pada 10 November, bermula jam 8 malam.

Wakil Dennsa, Dewi berkata, pemilihan nama Battle of Time sendiri sudah memberi indikasi transisi masa yang pernah dilalui kugiran legenda seperti Exists.

Kumpulan itu juga turut mempengaruhi perjalanan pemuzik-pemuzik generasi kini seperti Masdo.

“Apabila kedua-dua nama besar yang telah mencetak kejayaan dan dipuja sehingga ke Indonesia ini bergabung di atas sebuah panggung, maka pengalaman yang akan dinikmati penonton tidak hanya bersifat hiburan ‘kosong’ sebaliknya akan dipenuhi dengan pengetahuan tambahan tentang hebatnya pengkarya lokal.

“Seperti yang semua sedia maklum Exists adalah sebuah kugiran legenda dan karya mereka telah didengar daripada generasi Millenial kepada generasi Alpha”, ujarnya sewaktu sidang media konsert berkenaan yang telah berlangsung pada 25 September lalu.

Battle of Time Exists x Masdo ini juga boleh diklasifikasikan bakal mencetuskan gelombang dua era apabila buat julung kalinya, dua band itu bakal berkongsi pentas untuk mencatat kolaborasi luar jangkaan.

“Kolaborasi dengan Kugiran Masdo pada November nanti akan membuktikan bahawa Exists masih relevan walaupun pada tahun 2024 ini, masih sesuai walaupun untuk selera muzik sekarang”, ujar Along yang juga gitaris kumpulan Exists.

“Apabila kami digabungkan dengan Masdo ini ianya merupakan satu penghargaan, dimana kita bercakap mengenai dua generasi berbeza dengan Masdo lahir pada era milenial, sedangkan Exists era 90an. Muzik pun berbeza.

“Cuma menarik, dalam tidaksamaan itu ada fans yang sama. Iaitu fans yang nak tengok Exists nak tengok Masdo juga, dan sebaliknya. Exists sebenarnya tdak pernah bersama band tempatan di satu pentas, mungkin itu suatu yang boleh dilakukan dengan Masdo,” katanya.

Sementara itu Masdo pula berasa teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan kumpulan Exists, dimana lagu-lagunya pernah menjadi siulan mereka dahulu.

“Sebagai kugiran baharu Masdo teruja berkongsi pentas bersama Exists yang lagu-lagu mereka selalu menjadi siulan kami di waktu remaja. Dengan genre muzik yang sedikit berbeza tetapi tema Battle of Time yang dipilih signifikan bersama Masdo yang pekat aliran pop 60-an,” ujar Putu Ceri dari MASDO.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan pelbagai kategori bermula dengan DIA PERTAMA (RM159), LEMPENG TWIST (RM199), ANUGERAH HATI (RM219), BUNGA CEMARA (RM299), TERUNA JUWITA (RM399), BIDADARI PUJAANKU (RM599) UNTUKMU PUSPITA ROYALBOX (RM789).

Dapatkan tiket-tiket anda melalui MYTICKET.COM, ATOME.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page