October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Banyak Kejutan Yang Bakal Kami Persembahkan Dalam Konsert Ini” – Karl Cromok

Spread the love

Konsert ‘The Real Cromok” Bakal Berlangsung di Zepp KL pada 7 Disember

Band yang beracuankan Thrash Metal, Cromok bakal membuat beberapa kejutan bersempena 36 penubuhannya dimana salah satunya adalah sebuah persembahan ikonik yang menampilkan pemuzik, Hillary Ang dan Man Keedal dalam sebuah konsert yang dinamakan The Real Cromok. 

Dianjurkan oleh Pointlink Ventures, konsert ini djjadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember depan. Ini adalah penampilan pertama bersama dua gitaris terkenal itu.

Karl, antara anggota terawal Cromok, berkata ia adalah sebuah malam bersejarah, bukan saja buat Cromok, malah para peminat yang mengikuti perjalanan band ini yang mencipta fenomena seawal album sulung, Image of Purity yang dirilis pada 1991 dengan karya seklasik Journey dan Metallurgical. 

Karl Cromok -Foto Kredit Joe Cikanoz Mewah Event

Persembahan itu juga, menurutnya, sememangnya telah lama dinantikan, terutamanya kemunculan semula Hillary yang menggantikannya pada 1999 dan sempat merakam empat album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner, Meanest. 

“Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya dapat mengubati kerinduan peminat, apatah lagi dengan gandingan ikonik julung kali Karl-Hillary.

“Juga gandingan Karl-Man Keedal, buat pertama kalinya yang bakal menghadiahkan momen bersejarah memandangkan Man Keedal langsung tidak pernah bermain secara ‘live’ dengan Cromok sejak merakamkan gitar solo untuk lagu Misery bagi album 1993, Forever in Time,” ujarnya sewaktu sidang media sempena pengumuman konsert berkenaan pada 23 September lalu yang diadakan di Common Ground Jaya One, Petaling Jaya.

Selain Karl atau nama sebenarnya, Khairul Anuar Shariff, perjuangan band ini yang juga peneraju muzik fusion yang menggabungkan muzik tradisional dan heavy metal sehingga melahirkan terma “thrashditional” ini diteruskan bersama Shamsudin Ali atau Sam yang bermain bass. 

Sam Cromok

Sam adalah salah seorang pengasas bersama pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji yang meninggal dunia, Mac lalu. Seorang lagi pengasas, Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din yang lebih dulu keluar daripada Cromok telah meninggal dunia pada 1997.

Konsert malam itu akan diiringi Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar) dan Archer (keyboard) serta disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Karl berkata, gandingan ‘rare’ The Real Cromok ini signifikan bagi perjalanan Cromok yang ditubuhkan di Australia semasa mereka semua masih menuntut di University of Wollongong, New South Wales. 

“Nak tahu Cromok sebenar, ini dia. Cuba bayangkan empat pemain gitar di satu pentas, bermain sekali gus. Jelas ini bukan konsert biasa, tapi penuh dengan kejutan. Apa saja kemungkinan boleh berlaku, tapi percayalah The Real Cromok akan melakar sejarahnya yang tersendiri,” ujarnya.

Sambil membawa penonton menyingkap perjalanan band dalam persembahan berdurasi selama dua jam itu, Karl yang menyertai Cromok semula pada 2012, berkata, ada lagu baharu yang akan diperdengarkan selepas album studio terakhir mereka, Untitled pada 2004. 

“Sebagai tambahan kepada tidak kurang 18 judul yang dipersiapkan untuk konsert itu, ada lagu baharu yang akan turut dipersembahkan, buat kali pertama, secara langsung. 

“Bagi mengenang Allahyarham Miji dan Din, ada segmen khas dirancang sebagai tribute kepada mereka. 

“Konsert ini akan memutar balik masa, membawa penonton menyelami kembara 36 tahun Cromok yang bermula di sirkit underground Australia. Justeru, pertemuan ini harus diraikan,” katanya yang turut mengumumkan tiga buah gitar tajaan Cort Guitars daripada The Guitar Store, lengkap ditandatangani empat gitaris legenda bagi cabutan bertuah untuk pembeli tiket.

Tiket Early Bird (Berdiri) RM168 dijual bermula jam 8 malam, 27 September ini dan dibuka sehingga 10 Oktober ini menerusi www.illasotickets.com

Tiket normal bermula pada harga RM188 (Berdiri), serta RM288 dan RM338 (Duduk). Manakala Royal Box ditawarkan pada harga RM888 seorang, termasuk sesi Meet & Greet dan pemberian cenderahati, antaranya  t-shirt eksklusif The Real Cromok. 

Untuk pembelian, sila muat turun aplikasi MyArteez di Apple Store dan Play Store bagi mendapat jaminan produk tulen. 


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page