September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Amal Bagi Bantu Ali Terra Rossa 28 September Ini

Spread the love

Siapa yang tidak kenal dengan Mohd Ali Ismail atau lebih sinonim dengan panggilan Ali Terra Rossa atau kini melekat dengan gelaran Ali XPDC Militia. 

Peminat industri seni tanahair juga sudah maklum, penyanyi berusia 56 tahun terbabit kini berdepan dengan situasi kesihatan antaranya angin ahmar, masalah jantung dan beberapa penyakit lain.

Keadaan ini menyukarkan Ali untuk aktif menyanyi dan terpaksa berehat sehingga benar-benar sembuh, manakala tempatnya sebagai vokalis XPDC Militia kini diambil alih sementara oleh Zul Fazli atau Mamu.

Meskipun tabah dengan ujian yang menimpanya, apa yang berlaku sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian Ali terutamanya pendapatan keluarga.

Justeru, atas semangat setiakawan dan prihatin, sahabat-sahabat seperjuangan Ali terpanggil untuk meringankan sedikit sebanyak bebanannya dengan menganjurkan Konsert Amal Ali Terra Rossa.

Ali Bersama Tajul FTG Ketika Hadir Menyaksikan Konsert Loudness Baru-baru Ini

Konsert ini diilhamkan oleh sahabat lama Ali, yang juga pemain drum kumpulan pertama Ali bernama Kid Power iaitu Fuad Syahrin, sementara Attah Music dengan kerjasama Mentari Merah Entertainment bertindak selaku penganjur.

Fuad berkata, konsert yang menggunakan modal mereka sendiri sememangnya dianjurkan bertujuan membantu Ali sepenuhnya.

“Ia menampilkan barisan artis antaranya kumpulan Terra Rossa, Aju Success, Hatta & RockapaK Band, Korie dan Kroll dengan iringan band Cherish 2000. Turut tampil memeriahkan suasana ialah penampilan khas legenda muzik tanah Datuk Malek Ridzuan.

“Manakala antara lagu-lagu yang akan dibawa nanti termasuk lagu-lagu dari album Terra Rossa seperti Bunga Angkasa, Gering, Kehendaknya, Ratapan Memori Usang, Parasit Cinta Di Sula serta lain-lain termasuk dari album solo Ali seperti Kasih dan banyak lagi,” katanya.

Lagu-lagu lain pula antaranya adalah lagu-lagu yang selalu dimainkan oleh Ali dan Terra Rossa semasa ‘jamming’ ketika di awal penubuhan mereka.

“Kumpulan pertama Ali ialah Witness dan lagu yang sering dinyanyikan ialah lagu Search, Scorpions, Wings & Iron Maiden. Nash, Malek Ridzuan dan artis lain pula akan mendendangkan satu atau dua lagu dari album masing-masing.

“Untuk sumbangan pada Ali, kami harapkan jualan tiket yang menggalakkan dari peminat  untuk sama-sama menyumbang. Sokongan peminat peminat muzik tanah air amatlah diharapkan untuk menjayakan usaha murni ini dengan pembelian tiket Konsert Amal Ali Terra Rossa.

“Konsert ini pasti menghiburkan dengan persembahan lagu lagu pop, nostalgia hits balada, irama rock dan sebagainya yang masih segar serta berterusan menambat perhatian para pendengar,” katanya.

Fuad menyeru peminat agar hadir beramai ramai menzahirkan sokongan untuk Konsert Amal Ali Terra Rossa yang telah tiga dekad lebih menghiburkan kita di samping menghargai jasa beliau terhadap industri seni tanah air.

“Ingatan, sokongan dan doa-doa anda amatlah disanjung tinggi. Anda juga berpeluang untuk menyantuni, beramah mesra dan bergambar bersama artis-artis yang terlibatsebelum dan selepas persembahan konsert nanti.

“Kami juga sedang cuba mendapatkan sumbangan tajaan untuk diserahkan kepada Ali serta wang tajaan ini juga digunakan untuk membayar dewan persembahan dan para kru yang terbabit,” katanya yang mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menghubunginya sekira berminat menaja.

Konsert Amal Ali Terra Rossa akan berlangsung pada Sabtu, 28 September di Warisan Hall Studio, Sijangkang.

Tiket berharga RM100.00 seorang boleh didapati melalui (MM 019-2407994), (Fuad 012-7363322), (Chip Malaya 019-6947784), (Kuna 016-8050202) dan (Linda 019-2333435).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page