November 25, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Perjalanan Seni Nora Nora Bakal Terungkap Pada 18 Disember Ini

Spread the love

“Konsert Hanya Satu:  Datuk Nora Ariffin – 30 Years Journey

Hanya selepas 30 tahun berkecimpung di industri muzik tanah air, baru kini impian penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang yang bersuara lunak serta gemersik, Datuk Wan Norafizah Dato’ Haji Wan Ariffin atau Datuk Nora Ariffin untuk ‘memiliki’ sebuah konsert solo dapat direalisasikan pada 18 Disember depan bertempat di Stage 1 Theare, PJ Pac, 1 Utama E, Petaling Jaya, pukul 8.30 malam.

Dengan judul ‘Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin ~ 30 Years Journey’  konsert tersebut dibawakan khas syarikat Datuk Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures melalui program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik.

Nora ketika ditemui dalam sidang media eksklusif bersama teman media untuk mengumumkan penganjuran konsertnya itu tidak putus-putus melafazkan rasa syukur kerana ianya juga ibarat memenuhi cita-cita arwah suaminya komposer Johan Nawawi. 

“Sebenarnya selepas kelahiran album pertama saya, Arwah Johan Nawawi memang ada menulis beberapa kertas kerja  selain membuat permohonan kepada banyak pihak agar saya diberi peluang mengadakan konsert solo seperti artis seangkatan yang lain, namun semuanya tidak berjaya.   Selepas pemergiannya, saya umpama ‘hilang’ punca kekuatan untuk meneruskan perjuangan seni.  Lebih-lebih lagi memikirkan saya memang tidak pandai menulis kertas kerja, jadi pasrah  impian menyanyi di konsert solo sendiri terkubur begitu sahaja.  Hinggalah Alita Aria datang berjumpa dan meminta persetujuan saya supaya dia boleh buat permohonan dan akhirnya kertas kerja yang Alita usahakan dapat kelulusan”, ujar beliau ketika ditemui media bersempena pengumuman konsert tersebut pada 11 September lalu.

“Pastilah ini adalah detik penting dalam kerjaya seni muzik saya.  Konsert ini juga adalah khas buat peminat-peminat setia saya. Merekalah yang sentiasa menyokong saya selama ini. Semoga ia jadi hadiah dan tanda kasih penghargaan saya buat anda semua”.

“Jadi, saya akan pastikan saya memberi yang terbaik,”  janji Nora lagi di dalam sidang media yang turut dihadiri Dato’ Nasser Abu Kassim, otai industri muzik yang bertanggungjawab mengambil Nora sebagai artis rakaman Warner Music (1994) tiga tahun selepas dinobatkan Juara Bintang Hiburan Minggu Ini terbitan RTM (1991).

Dalam keterujaan, Nora yang kini berusia 51 tahun Julai lepas turut gembira dapat menunaikan mandat arwah suaminya  yang mahukan konsertnya kelak memiliki garapan individu berpengalaman seperti Jennifer Thompson sebagai Pengarah Persembahan dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik.

Sementara itu, Pengurus Projek dan Penerbit Konsert Alita Aris berkata, pihaknya memang sejak awal lagi merancang sebuah konsert yang eksklusif serta ‘intimate’, khusus buat peminat setia dan penyokong tegar Nora Ariffin selama 30 tahun ini.

“Dan pastilah akan ada segmen khas ‘Tribute to Johan Nawawi’ dalam konsert ini.  Kita semua sudah sedia maklum selain sebagai komposer, penerbit dan penggubah muzik dihormati di tanah air, Johan Nawawi merupakan individu penting serta tonggak dalam kerjaya nyanyian Nora Ariffin”.

Konsert berdurasi dua jam itu, Nora dijangka akan menyanyikan sebanyak 17 lagu popular yang malar segar daripada 18 keseluruhan albumnya.   Antara lagu-lagu tersebut ialah Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.

Harga tiket konsert bermula dari RM108 (Interlude), RM158 (Sandiwara), RM218 (Debaran), RM288 (Naluri), RM318 (Samudera), RM418 (Jentayu) dan RM518 (Kirana) untuk VIP dan Sessi Meet & Greet akan mula dijual hari ini melalui www.onetix.com.my.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket anda kerana ia Hanya Satu malam, Hanya Satu hari dan Hanya Satu kali dalam 30 tahun.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page