November 25, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sentuhan Nadi: Pertemuan Eksklusif Jobranko dan Yonnyboii Bersama Peminat

Spread the love

Kesinambungan daripada kolaborasi mereka melalui lagu “Nadi,” pemain gitar legenda, Jobranko, dan komposer serta penyanyi serba boleh, Yonnyboii, telah mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat dalam acara “Sentuhan Nadi” baru-baru ini.

Acara ini berlangsung di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, di mana seramai 20 peminat bertuah berpeluang meluangkan masa bersama mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang. Momen intim ini pastinya akan terpahat dalam hati sebagai kenangan yang penuh bermakna.

“Sentuhan Nadi” diadakan dengan tujuan untuk menghargai peminat serta penyokong karier muzik Jobranko dan Yonnyboii selama ini. 20 peminat bertuah tersebut adalah tetamu eksklusif yang dipilih daripada peraduan ‘cover’ lagu “Nadi” yang berlangsung dari 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

Peraduan tersebut diadakan melalui media sosial, di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik lagu “Nadi” dengan versi mereka sendiri. Mereka juga diminta untuk meletakkan tanda pagar #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.

Acara ini menjadi kemuncak untuk menentukan siapa di antara 20 peminat itu yang akan membawa pulang sebuah gitar istimewa yang ditandatangani oleh Jobranko dan Yonnyboii. Gitar tersebut ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA.

Setelah setiap peserta mempamerkan bakat mereka, dapat membawa pulang gitar tersebut pastinya menjadi ganjaran yang paling berbaloi. Lebih istimewa lagi, hadiah tersebut disampaikan sendiri oleh idola mereka secara bersemuka.

“Sentuhan Nadi” juga menjadi detik manis buat Jobranko, atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii, atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, untuk mendekati peminat setia mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan sebegini pastinya merupakan peluang keemasan yang sangat bermakna. “Sentuhan Nadi” menjadi ruang intim untuk mereka berkongsi rasa dengan peminat.

Begitu juga dengan peminat yang benar-benar ingin bersemuka dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Pertemuan ini membuka ruang untuk mereka merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan selain menimba ilmu daripada Jobranko dan Yonnyboii.

Acara ini juga tidak lengkap tanpa persembahan eksklusif untuk semua yang hadir. Selain Jobranko dan Yonnyboii, mereka juga ditemani oleh penyanyi hebat, Asyraf Nasir, yang memanaskan pentas dengan beberapa lagu.

Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya “Salahku,” berduet dengan Asyraf melalui lagu “Tak Sangka,” serta berpadu tenaga bersama Jobranko dan kugirannya untuk lagu “Nadi.” Kombinasi antara artis lama dan muda ini ternyata luar biasa.

Sebelum ini, Yonnyboii telah menampilkan Jobranko melalui lagunya “Nadi,” yang dilancarkan sekitar akhir Jun lalu. Kombinasi dua generasi yang berbeza ini menarik perhatian ramai, mengambil kira latar belakang perbezaan usia dan genre muzik mereka.

Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video (MV) rasmi “Nadi” di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan. Manakala di platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya terus meningkat hari demi hari.

Dengan cetusan ilham daripada perasaan peribadi, Yonnyboii percaya lagu yang dicipta bersama komposer Amy Bong itu mampu menyentuh hati ramai. Dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single tersebut juga memberinya satu kelegaan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page