October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

LUBUK Sarat elemen Seram dan Misteri

Spread the love

Pada 11 Julai 2024, penulis telah mendapat jemputan untuk menghadiri tayangan perdana filem Lubuk di GSC The Starling, Damansara.  Filem arahan saudara Mark Lee See Teck ini akan berada di seluruh pawagam pada 18 Julai 2024. Ianya membariskan pelakon-pelakon seperti Tony Eusoff, Jun Lojong, Amirah Razak, Megat Sharizal, Han Zalini, Chew Kin Wah, Alvin Wong, Ali Arami, Danish Ahmad dan ramai lagi. 

Bergenre ‘Psychological Thriller’, filem indie ini seolah ada kelainan dan sepertinya akan memberikan impak yang baik kepada industri dan seterusnya menarik perhatian penonton tempatan yang sebelum ini kerap dihidangkan dengan filem-filem seram dan seumpamanya dari Indonesia.

Dan nyata setelah menonton Lubuk selama satu jam setengah ternyata penulis amat berpuas hati dengan jalan cerita yang cuba diketengahkan. Filem yang berlatar hanya di satu lokasi di mana berlaku misteri dan konflik jiwa di sebuah rumah perlindungan untuk golongan gelandangan.  Mulanya kelihatan manis tapi berselirat misteri sebalik patung, rakusnya tamak serta perkaitan bisnes penjualan organ manusia yang akhirnya membawa penderitaan berpanjangan.

Penjiwaan watak penuh emosi para pelakon yang kalau dilihat bukanlah dari senarai  pelakon biasa “box-office” sudah cukup memberi bukti keberanian dan pertaruhan pihak penerbitan memang sangat berbaloi.  Permainan warna, ‘shot’, ‘lighting’ (paling A plus!) – semua yang dipertontonkan pasti membuat pembeli tiket filem Lubuk akan terkesima, sambil tidak senang duduk dek terkejut dengan beberapa babak suspen yang berjaya dimanipulasi oleh lakon layar filem ini.

Tayangan perdana terbitan Humanity Universal Serenity (HUG) ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS selain YBhg. Dato Yusof Haslam, pegawai-pegawai FINAS, tetamu jemputan dan rakan media yang lain.  SKOP PRODUCTIONS telah bertindak sebagai pengedar filem ini. 

Tahniah untuk karya dan seluruh karyawan filem LUBUK!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page