November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Art Of Speed 2024 Angkat Tema “Stop The Violence”, Himpun Pelbagai Acara Di bawah Satu Bumbung

Spread the love

Bagi peminat acara kustom culture tempatan, ini dia yang anda tunggu; Art of Speed Malaysia (AOSM) hari ini sudahpun melancarkan acara tahunan Art of Speed untuk edisi 2024, dan ia bakal berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) bermula 27 hingga 28 Julai ini!

Cakna dengan apa yang berlaku di Malaysia baru-baru ini di mana pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan Selangor FC (SFC) menjadi mangsa serangan ‘keganasan bola sepak’, AOS menyokong SFC untuk menyebarkan “cinta tanpa benci; perpaduan tanpa sempadan” dalam dunia budaya automotif tempatan. Malah mesej ini juga disebar untuk peringkat global dengan kempen bagi membebaskan Palestin.

Art of Speed 2024 (AOS 2024) yang diadakan di MAEPS ini mempunyai ruang tertutup (indoor) seluas 452,084 kaki persegi, ruang luar (outdoor) seluas 8.6 ekar dengan setiap dewan digunakan sekali gus menawarkan lebih banyak aktiviti demi memuaskan hati peminat dan pengunjung.

 “Kami amat bersyukur kerana dapat menganjurkan Art of Speed ​​Malaysia selama 13 tahun. Ia bukan sahaja untuk merealisasikan sebuah impian tetapi juga untuk kekal dengan cita-cita asal kami iaitu mengadakan acara yang mengumpulkan peminat-peminat di bawah satu bumbung untuk meraikan segala yang berkaitan dengan seni, gaya hidup, budaya dan permotoran,” ujar Encik Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival, Art of Speed ​​Malaysia (AOSM).

“Kami dengan sedaya upaya telah mencipta acara kami dengan dasar dan cara yang betul untuk diikuti, iaitu menyediakan ruang yang selamat, selesa dan inklusif, kandungan untuk semua deria manusia, aspirasi yang berpatutan, persaudaraan, dan sentiasa meraikan masa yang baik. Kesimpulannya, Art of Speed ​​adalah untuk semua orang; sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Terima kasih kerana bersama dengan kami sekali lagi untuk tahun 2024 dan jom kita sama-sama nanti meraikan AOS 2024!”,tambahnya lagi ketika sidang media AOS 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.

Bagi tetamu komuniti kustom antarabangsa, tahun ini pertama kali AOS akan membawa pemandu drift Jepun dan juga pemilik garaj Fat Five Racing, Daigo Saito. Seperti yang ramai tahu, Daigo Saito bukan sahaja bekas juara siri perlumbaan D1GP di Jepun dan bekas juara Formula D Amerika Syarikat, malah garaj Fat Five Racing miliknya turut menghasilkan jentera-jentera drift luar biasa yang diasaskan dari model-model eksotik seperti Lamborghini, Ferrari, Nissan Skyline ‘Hakosuka’ C10 dan banyak lagi.

Wakil-wakil dari Mooneyes Japan turut akan terus mewarnai AOS 2024 dengan kehadiran Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa dan Hey Murakamii. Tetamu lain yang hadir dan membawa ‘hasil seni’ masing-masing termasuk Katie’s Customs, Jepun akan menampilkan motosikal kustom Vincent Black Shadow; Masato Ikemori dari STOOP Motorcycles hadir dengan Harley-Davidson Panhead; Pengasas Evilact, Jepun Minato Yamamoto membawa Harley-Davidson Knucklehead EL 1947.

Turut hadir adalah drifter dan pembina kereta drift serta motosikal custom Nigel Petrie dari Engineered To Slide, Australia yang terkenal dengan jentera drift space frame Toyota Hilux, ‘Prince of Drift’ Malaysia Tengku Djan Ley, Makoto dari Makoto M&K Custom Signs iaitu artis yang menghasilkan poster AOS 2024 dan juga pereka untuk kereta die-cast di Hot Wheels Japan Collectors Convention, serta ramai lagi.

Antara yang baharu diperkenalkan pada AOS 2024 ini termasuk Komuniti Moto4sale untuk jual beli motosikal bawah 500cc dan Kolaborasi Art of Speed ​​bersama IGL Coatings akan mempamerkan coating edisi terhad yang dibuat khas untuk penunggang motosikal dan motosikal.

Selain itu, AOS turut berkolaborasi bersama empat jenama tahun ini iaitu Art of Speed X Zippo, Art of Speed X Von Dutch (baju kerja dan topi), Art of Speed X Selangor FC, dan Art of Speed x Mooneyes.

AOS Invitational Build-Off juga kembali tahun ini dengan 10 orang pembina binaan khas yang akan merebut hadiah wang tunai dan juga peluang untuk menghantar motorsikal kustom mereka ke Jepun untuk acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024. Pembina binaan khas yang terpilih adalah Abah & Sons (Padin Musa), Nodie Cycles, Acid Welding, Zuhalfast, RGF, Flying Loser, Chaos Customs, FNG Works dan Son of Abdul.

Selepas mencatatkan sejarah sebagai konvensyen Hot Wheels yang pertama diaiakan di Asia tahun lalu, “The 2nd Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia” kembali lagi di Dewan C dalam AOS tahun ini. Kali ini pengunjung akan dapat menikmati lebih banyak aktiviti Hot Wheels – yang termasuk Pameran Hot Wheels Rare dan Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy And Sell, sesi perkongsian pengumpul, Pertandingan Kustom Hot Wheels dan banyak lagi.

Dan untuk satu malam, majlis makan malam juga akan diadakan untuk Hot Wheels Collector Convention di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. AOS 2024 akan melancarkan modal die-cast eksklusif konvensyen pertama untuk Malaysia bersama-sama Pengurus Pereka – Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.

Antara yang kembali dalam AOS 2024 termasuk Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally”, sorotan untuk ThunderCircus termasuk “ride-in” mega dan pengumpulan kumpulan motosikal dari sekitar rantau ini, NEAT Fest di Dewan C oleh No Equal dan Off The Grid akan kembali semula di Dewan C menampilkan “gaya hidup outdoor” yang diadakan di ruangan tertutup dengan keselesaan hawa dingin.

Manakala acara utama Show & Shine akan terus diadakan di Dewan A, menampilkan kereta-kereta yang telah diubah suai dan motosikal bermodifikasi terbaik dengan peluang memenangi Best of Show iaitu lawatan ke The 32nd Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2024 nanti.

Bagi penggemar muzik pula, SoundsCircus Takeover oleh AOS kali ini berbeza dari tahun sebelumnya, ia tidak lagi diadakan di luar dewan, sebaliknya akan berlangsung di dalam Dewan A MAEPS.

Antara kumpulan muzik yang akan menggegarkan pentas SoundsCircus adalah seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi.  SoundCircus akan diadakan sepanjang acara berlangsung dari 27 ke 28 Julai 2024 dari jam 4:00 petang hingga lewat malam.

Pas hujung minggu AOS 2024 boleh diperolehi di depan pintu dan atas talian dengan harga RM35.00, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masuk secara percuma. Pemegang pas OKU juga diberikan kemasukan secara percuma. Baharu untuk tahun 2024 adalah pilihan untuk mendapatkan parkir tiket valet VIP. Dengan bayaran RM30.00 (tidak termasuk yuran pemprosesan RM3), pengunjung boleh meletakkan kereta mereka di aras bawah di Dewan D dan ia sah untuk kemasukan sehari.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang AOS 2024  atau www.facebook.com/ArtOfSpeedMY/.  Tiket boleh didapati di https://scf.artofspeedmy.com/ticket/ (Tiket Early Bird sudah habis dijual).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page