November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Customs Frontline’ Angkat Kerjaya Kastam

Spread the love

Oleh : RafidahWhite AbuSamah

CUSTOMS FRONTLINE, kisah anggota kastam membenteras jenayah.  Mulanya penulis beranggapan ia mungkin hanya filem aksi biasa namun apabila membaca berita bahawa filem ini telah menerima sambutan hangat dan pujian saat ditayangkan pada 26th Far East Film Festival di Udine, Itali, Mei lalu, penulis dan rakan berasa teruja tatkala dijemput hadir ke panggung untuk  menonton sendiri sebelum filem ini bakal meledak  penonton Malaysia bermula 5 Julai 2024 ini nanti.

FIlem ini mengisahkan dua pegawai Kastam Hong Kong, Chow Ching-lai (Nicholas Tse) dan Cheung Wan-nam (Jacky Cheung) merupakan pasangan mentor dan anak didik yang cukup akrab. Ching lai telah diarahkan bekerjasama dengan Interpol menyelesaikan kes penyeludupan senjata api. Namun Wan-nam telah membuat keputusan yang menjadikan siasatan kes tersebut lebih rumit.

Menerima sentuhan emas sutradara, Herman Yau filem Customs Frontline inj rupa-rupanya bukanlah sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan (frontline) biasa tetapi mengangkat kepayahan, semangat juang dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam.

Diproduksi Jason Siu, Customs Frontline mendedahkan kecekapan para anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui Erica Li dan Eric Lee.

Tentu sahaja sesebuah filem tidak akan ‘bersinar’ tanpa bintang-bintang hebat yang memukau penonton saat ditayangkan di layar lebar.

Membariskan bintang-bintang berkaliber dengan penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat berganding mantap bersama aktor berbakat besar, Nicholas Tse, Customs Frontline yang turut dibarisi Karena Lam, Yase Liu dan Francis Ng sebagai penampilan khas dipenuhi dengan babak aksi dan klimaks tanpa henti.

Lebih menarik, Nicholas Tse yang menjayakan karakter Chow Ching-lai turut menjadi koreografer aksi pertama dalam filem yang digarap selama dua tahun ini.

Tse, 43, menzahirkan keterujaan dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.

“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen.  Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong.

“Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.

Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke-31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.

Penampilan dengan dua kerja yang dilakukan Tse dalam Customs Frontline juga disifatkan sebagai kesungguhan yang luar biasa dari segi aksi dan lakonan unik yang ditonjolkan.

Cheung sendiri menyifatkan gandingan bersama Tse dan Karena adalah sinergi yang hebat.

“Saya melihat Tse dan Kerana membesar dan sinergi mereka sangat menonjol bersama saya di Customs Frontline,” kata pemenang pelbagai anugerah tersebut.

Penuh aksi tanpa henti, Customs Frontline mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kastam Hong Kong termasuk membenarkan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi penting seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong North Point dan Ngong Shuen Chau Naval Base untuk paparan yang lebih realistik.

Untuk menyaksikan bagaimana Customs Frontline akan membuatkan anda mempunyai sudut pandang dan dimensi yang berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan, jangan lupa ke pawagam berhampiran anda bermula 5 Julai 2024.

Kehebatan aksi, lakonan dan plot twist yang akan membuat anda tidak senang duduk saat menonton Customs Frontline.

Penampilan perdana Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat, kelincahan aksi Nicholas Tse dan Karena Lam bersama barisan pelakon lain akan membuatkan Customs Frontline sebagai filem dengan latar pekerja barisan hadapan terhebat Hong Kong yang anda saksikan tahun ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page