October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Gabungan Hebat Bring Me The Horizon & Babymetal di Surf Beach, Ogos 2024

Spread the love

Kumpulan rock terkenal dari Sheffield, England, Bring Me The Horizon, akan kembali ke Malaysia selepas 11 tahun untuk konsert global mereka yang akan diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 21 Ogos 2024. Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, yang berjaya membawa kumpulan ini kembali ke Malaysia setelah kejayaan konsert sebelum ini oleh Sum 41 dan Incubus, di mana tiket kepada kedua-dua konsert tersebut habis terjual.

Bring Me The Horizon, yang ditubuhkan di Sheffield pada tahun 2005 semasa ahli kumpulannya masih remaja, kini telah merilis tujuh album studio dan menerima pelbagai penghargaan termasuk empat Anugerah Kerrang! dan dua pencalonan Grammy. Album terbaru mereka, “Post Human: Nex Gen” yang dilancarkan pada Mei 2024, memperlihatkan gabungan metalcore, hyperpop, dan electronica, memperlihatkan kebolehan mereka dalam mencipta genre baru dan menawarkan peminat muzik baru yang dinanti-nantikan dalam konsert tersebut.

Tambahan lagi, kumpulan ini akan disertai oleh fenomena kawaii metal dari Jepun, Babymetal. Kumpulan wanita ini telah membina pangkalan peminat yang kukuh di seluruh Asia dan pernah membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2023. Gabungan konsep J-idol dan kawaii metal Babymetal dengan elemen rock alternatif hardcore Bring Me The Horizon bakal menjanjikan pengalaman luar biasa untuk peminat-peminat mereka di Malaysia.

Fliers kepada konsert tersebut yang boleh dilihat di laman Facebook rasmi Bring Me The Horizon.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif dan pengasas Hitman Group, Rohit Rampal juga berkata setelah berjaya melaksanakan tiga acara rock tahun ini, jelas bahawa permintaan untuk muzik rock di Malaysia tidak pernah surut. Oleh itu, pihaknya sangat teruja untuk membawa Bring Me The Horizon bersama Babymetal ke Malaysia, menawarkan peminat pengalaman unik rock alternatif dan metal dari England dan Jepun.

“Surf Beach, Sunway Lagoon adalah lokasi yang sempurna untuk konsert ini, memberikan ruang kepada peminat rock untuk menikmati muzik kegemaran mereka sepenuhnya. Sejak kemunculan terakhir Bring Me The Horizon pada tahun 2013, lebih 10 tahun lalu, marilah kita bersedia untuk menjerit bersama lagu-lagu seperti ‘Can You Feel My Heart?’, ‘Throne,’ dan banyak lagi!” ujarnya dalam sebuah kenyataan.

Jualan tiket akan bermula pada 27 Jun 2024, pukul 12 tengah hari. Harga tiket adalah seperti berikut: General Admission (RM388) dan Rockzone (RM488). Peminat juga boleh meningkatkan tiket mereka dengan menambah Express Lane dengan bayaran tambahan sebanyak RM100 (terhad kepada kapasiti tertentu).

Tiket boleh dibeli di laman web www.hitmanlive.com. Untuk sebarang pertanyaan mengenai konsert ini, sila hubungi para penganjur di talian 012-2655783 atau emel ke [email protected].


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page