Arch Enemy Kembali Ke Kuala Lumpur Dengan Jayanya Selepas 12 Tahun
Zepp Kuala Lumpur hampir meledak malam tadi apabila Arch Enemy berjaya kembali ke Malaysia untuk memberikan persembahan yang hebat dan tidak dapat dilupakan di tempat tersebut yang hampir penuh sesak malam tadi (19 Mei). Tempat itu, yang mempunyai kapasiti 2,414, dipenuhi dengan peminat yang tidak sabar-sabar yang mula beratur seawal jam 4:30 petang untuk menebus gelang tangan mereka dan mendapatkan tempat mereka untuk menyaksikan acara yang sangat dinanti-nantikan itu, hasil usahasama Shiraz Projects and Primuse Live.
Sebelum Arch Enemy muncul di atas pentas, kumpulan antarabangsa Amalgama, telah ditugaskan untuk membuat persembahan sebelum munculnya Arch Enemy. Muzik power metal yang dibawakan oleh Amalgama pula sudah pasti akan mengingatkan sesiapa sahaja kepada muzik power metal yang dibawa oleh kumpulan muzik terkenal Helloween dan kemunculan Amalgama disambut baik oleh para mereka yang menantikan kemunculan Arch Enemy.
Apabila lampu Zepp Kuala Lumpur dimalapkan dan pentas tempat itu sedang disediakan untuk Arch Enemy, keterujaan para peminat Arch Enemy dapat dirasai. Sejurus sahaja kumpulan itu melangkah ke atas pentas, ramai kelihatan bersorak dan kehangatan sorakkan mereka mencapai tahap tertinggi apabila vokalis Arch Enemy Alissa White-Gluz melangkah masuk ke atas pentas, menandakan permulaan persembaham utama yang ditunggu-tunggu oleh para hadirin pada malam itu.
Konsert tersebut menandakan persembahan kedua Arch Enemy di Kuala Lumpur setelah 12 tahun lamanya mereka tidak beraksi di Malaysia dan kali pertama mereka beraksi di Kuala Lumpur adalah pada tahun 2012. Kunjungan kedua Arch Enemy kali ini bagaimanapun mempunyai makna yang istimewa kerana ianya menyaksikan persembahan sulung Alissa sebagai vokalis Arch Enemy di Kuala Lumpur. Ini adalah kerana pada tahun 2012 Arch Enemy masih lagi menggunakan khidmat vokalis lama mereka, Angela Gossow.
Walaupun pernah muncul melakukan persembahan di Kuala Lumpur 12 tahun yang lalu, sambutan kepada kedatangan Arch Enemy kali ini menunjukkan mereka seolah-olahnya seperti mereka tidak pernah melakukan persembahan di Malaysia. Nampaknya mereka mempunyai begitu ramai sekali peminat di Malaysia.
Mungkin juga peminat mereka di Malaysia yang tidak pernah melihat Arch Enemy melakukan persembahan di Malaysia ada mendengar kisah-kisah tentang kehebatan persembahan mereka di Kuala Lumpur 12 tahun yang lalu selain daripada melihat kehebatan persembahan mereka di laman media sosial manakala mereka yang pernah hadir menyaksikan persembahan mereka di Kuala Lumpur pada tahun 2012 sudah pasti ingin melihat mereka kembali membuat persembahan di ibu negara Malaysia itu juga.
Pada malam itu, Arch Enemy menyampaikan sebanyak 18 lagu yang mengagumkan, membuatkan peminat berdendang dan menyanyi sepanjang malam. Set mereka mengandungi lagu-lagu kegemaran para peminat mereka seperti “Deceiver Deceiver,” “War Eternal,” “The Eagle Flies Alone,” dan “Nemesis.” Setiap lagu disambut dengan penuh semangat, mempamerkan kehadiran dinamik kumpulan itu dan hubungan mendalam yang mereka kongsi dengan peminat mereka.
Di samping malam itu menyaksikan persembahan penuh bertenaga Arch Enemy, bagaimanapun terdapat juga beberapa detik yang tidak dijangka kerana ada kelihatan pengawal keselamatan mengiringi keluar peminat yang cuba melakukan aksi “mosh”. Pekara ini mungkin disebabkan kekeliruan mengenai polisi tempat atau kehadiran ramai mereka yang tidak biasa dengan budaya melakukan “mosh” yang sinonim dengan muzik metal. Namun begitu, Alissa menggalakkan orang ramai untuk melompat untuk menyertai persembahan mereka, memastikan suasana pada malam itu kekal menakjubkan untuk peminat yang menghadiri acara itu.
Arch Enemy ditubuhkan oleh pemain gitar dan penulis lagu dari Sweden, Michael Amott pada tahun 1995, dan sejak penubuhan kumpulan itu, Arch Enemy telah menjadi kuasa yang menonjol dan berpengaruh dunia dalam genre death metal melodik. Setakat ini Arch Enemy telah mengeluarkan 11 album studio, tiga album live, tiga album video dan empat EP.
Michael yang berdarah campuran Sweden dan England merupakan satu-satunya anggota Arch Enemy yang paling konsisten berada dalam Arch Enemy di sepanjang kewujudan kumpulan itu setakat ini. Michael juga pernah menjadi anggota kumpulan Carcass yang merupakan antara kumpulan gergasi goregrind (dan kemudiannya death metal melodik) yang paling terkenal dari England.
Walaupun terkenal dengan imej sebuah kumpulan metal yang menampilkan vokalis wanita, sejarah awal kumpulan ini bagaimanapun menyaksikan mereka dibarisi oleh seorang lelaki, iaitu Johan Liiva, sebagai vokalis. Tempat Johan pula digantikan oleh vokalis wanita Angela yang berasal dari Jerman pada tahun 2000 dan 14 tahun selepas menyertai Arch Enemy, Angela pula mengundurkan diri daripada Arch Enemy. Walau bagaimanapun, Angela hanya mengundurkan diri sebagai vokalis Arch Enemy dan beliau masih lagi bersama Arch Enemy untuk menjadi pengurus kumpulan itu sehingga kini.
Umum juga kini mengetahui yang menggantikan tempat Angela sebagai vokalis Arch Enemy adalah Alissa, yang merupakan seorang wanita yang berasal Kanada. Penyertaan Angela dan Alissa dalam Arch Enemy juga telah berjaya mengekang persepi bahawa hanya kaum lelaki sahaja mampu menjadi vokalis kepada sebuah kumpulan metal. Itulah juga antara sebab mengapa Arch Enemy adalah antara nama terbesar dalam dunia metal pada masa kini.
Kepada mereka yang mengikuti perkembangan Arch Enemy, pastinya mereka akan berkata yang Alissa bukanlah klon kepada Angela. Ini adalah kerana Alissa mempunyai gayanya yang tersendiri yang menambah kepada dimensi bunyi baharu yang menarik untuk kumpulan itu. Selain daripada itu, apabila membandingkan kehebatan vokal Angela dan Alissa, ramai peminat neutral mereka juga akan mengatakan bahawa kedua-duanya sangat cantik dan mempunyai tekstur vokal mereka sendiri.
Dengan acara di Kuala Lumpur malam tadi yang disambut baik oleh peminat mereka itu, kepulangan Arch Enemy ke Kuala Lumpur sudah adalah sesuatu pekara yang menakjubkan dan juga tidak dapat dilupakan. Arch Enemy yang merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang menghadiri persembahan mereka di Kuala Lumpur malam tadi di laman Facebook rasmi mereka (dan menariknya dalam bahasa Melayu) juga berharap mereka tidak akan menunggu selama 12 tahun lagi selepas ini untuk melakukan pesembahan lagi di Malaysia.