Adaptasi Kisah Benar Mangsa Love Scam dalam “OPPA”
Oleh: Zizi Hashim
Filem pertama yang membawa mesej kesedaran tentang kegiatan ‘scammer’ yang semakin berleluasa mutakhir ini diberi judul “OPPA”. Memaparkan kisah seorang guru yang asyik masyuk bercinta dengan seorang jejaka Korea namun akhirnya terjebak mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila buah hati pujaannya itu tiba-tiba menghilangkan diri.
Lebih malang lagi apabila guru itu menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang untuk diberikan kepada kekasihnya itu. Kes sebegini yang membabitkan jenayah Scam adalah cukup serius dan sering berlaku dalam segelintir masyarakat di negara kita.
Maka kesedaran haruslah dipupuk supaya jenayah Scam ini dapat dibanteras daripada semakin melarat lebih besar akibat kurangnya kesedaran yang menjadi faktor utama masih ramai yang menjadi mangsa, bahkan ada yang terdiri daripada golongan terpelajar. Idea untuk menghasilkan filem ini dicetuskan oleh syarikat produksi Dream Film Sdn Bhd bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui platform filem. Menariknya filem ini mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
Terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini. Malah seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan banyak membantu pasukan produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis demi memastikan proses penggambaran dapat berjalan dengan lancar.
Storyline yang simple dan mudah difahami. Plot cerita yang tidak meleret, straight-forward dan terselit sedikit unsur saspen. Karektor tersendiri setiap watak kelihatan spontan dan seiring dengan jalan cerita. Namun terdapat beberapa kecacatan dan kelemahan pada penataan bunyi yang saya rasakan terlalu ‘tajam’ dan bingit. Akibat penataan bunyi yang bising dan annoying itu sangat mengganggu kelancaran filem tersebut menurut saya. Kebanyakan babak rasanya masih boleh diperbaiki jika diberi masa yang lebih untuk proses penggambaran. Impak tergesa-gesa pada setiap babak juga membuatkan filem ini kelihatan seperti ‘tangkap muat’.
Apa pun saya rasa usaha yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menghasilkan filem “OPPA” ini harus diberikan kredit. Filem yang menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta seorang influencer popular, Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi. Jalan cerita yang dipaparkan adalah adaptasi kisah benar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis.
“Tajuk OPPA dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi ada berlaku kes dimana individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi aplikasi ‘dating” di media sosial.” Jelas pengarah filem Captain Denil ketika ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Filem “Oppa” pada 23 April 2024 bertempat di GSC The Starling Mall baru-baru ini.
Kesukaran mencari penaja dan pelabur pada peringkat awal pembikinan filem adalah satu cabaran buat Captain Denil dalam merealisasikan filem “Oppa” ini. Tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana ianya bukanlah sebuah filem komersil. “Filem ini lebih kepada memberi kesedaran dan berbeza dengan filem berbentuk komersil. Bagaimanapun ia langsung tidak mematahkan semangat kami.” ceritanya lagi. “Saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur, termasuk PDRM yang sangat banyak membantu kami.”
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof ketika ditemui pada petang itu berkata, “Fokus utama adalah disasarkan kepada golongan wanita terutamanya yang berisiko menjadi mangsa penipuan Love Scam. Perlu lebih sentiasa berhati-hati. PDRM sudah lakukan pelbagai cara pencegahan antaranya kempen kesedaran, ceramah dan pameran di semua peringkat. Jadi kali ini kami gunakan industri hiburan kerana ianya merupakan satu medium yang sangat berpotensi dan berpengaruh dalam menyampaikan mesej kesedaran berhubung penipuan.” katanya.
Berdurasi 90 minit dan menelan belanja RM1 juta, filem “OPPA” akan menemui penonton pada 9 Mei 2024 di pawagam seluruh negara. Semoga kesedaran yang cuba disampaikan boleh menjadi pengajaran kepada lebih ramai pihak agar tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini.