November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dato’ Awie Umum Konsert Solo Terakhirnya ‘JOURNEY’ 3 Ogos Ini

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Satu kejutan pengumuman istimewa telah dibuat ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Rumah Produksi Merah yang diadakan di kafe Bike & Beans, Putrajaya pada 7 April baru-baru ini sempena meraikan rakan-rakan media yang telah banyak memberi sokongan positif disebalik kejayaan 2 buah konsert yang sold-out iaitu Konsert The Rock Emperor: KL Chapter dan Penang Chapter.

Pengumuman berkenaan Konsert Dato’ Awie, ‘JOURNEY’ anjuran Truepixel Sdn Bhd dengan kerjasama Rumah Produksi Merah bakal berlangsung pada 3 Ogos 2024 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) ini bertitik tolak dari maklum balas yang diterima sepanjang berlangsungnya Konsert The Rock Emperor yang rata-rata merindukan persembahan solo Dato’ Awie.

Majlis Berbuka Puasa itu turut dimeriahkan oleh 30 orang anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Kebajikan An-Naafi yang turut diundang ke majlis berbuka puasa tersebut. Sementara itu, beberapa artis veteran tanahair juga menerima undangan khas seperti artis serba boleh pada era 80an, Isma Aliff yang kelihatan turut serta memeriahkan majlis. Di kesempatan itu, Dato’ Awie dan Dato’ Eddy Amir Salim turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan kepada semua tetamu istimewa terbabit.

Dato’ Awie yang ditemui pada petang itu melahirkan rasa teruja untuk membuat persembahan solo di Konsert Dato’ Awie, ‘JOURNEY’ berikutan kejayaan Konsert Wings The Rock Emperor pada 16 Disember 2023 dan 24 Februari 2024 yang lalu.

“Satu bingkisan yang begitu personal dari saya akan dipersembahkan pada Konsert ‘JOURNEY’ ini. Sebagai anak seni yang bergelumang selama 30 tahun dalam industri, jatuh bangun, onak duri, suka duka, pahit manis, titik peluh, jerih payah perjalanan yang membentuk seorang Awie pada hari ini bakal saya susun dan perkisahkan untuk tatapan semua peminat saya. Konsert yang akan berlangsung selama 2 jam itu nanti merupakan konsert solo terakhir saya.” ujar Dato’ Awie membuka bicara pada petang itu.

“Oleh itu, harapan saya peminat tidak akan melepaskan peluang untuk luangkan masa berkongsi malam istimewa tersebut bersama saya kerana sudah pasti hanya yang terbaik yang saya janjikan untuk malam tersebut.”

Sedikit terkejut dengan pengumuman berkenaan konsert solo yang terakhir, sementelah pula kapasiti tiket yang bakal dijual adalah sangat terhad, Dato’ Awie ketika diajukan soalan itu agak terdiam pada mulanya sebelum berkata “Kenapa terakhir? Pertama sekali, sebab saya ada Wings.” Difahamkan Dato’ Awie sudah beberapakali menolak cadangan untuk mengadakan konsert solo dan lebih selesa bergerak bersama Wings. “Saya ada sahabat-sahabat saya yang perlu saya bekerja bersama-sama untuk kesinambungan hidup. Jadi bila saya keluar solo saya rasa mcm selfish.”

Dato’ Awie yang pada mulanya sangat keberatan akhirnya akur setelah mendapat restu dari sahabat-sahabat Wings iaitu Eddie, Black, Sham dan Edrie untuk konsert istimewa solo terakhir pada 3 Ogos nanti. “Setelah perbincangan, fikir-fikir semula, ada benda tertentu yang saya nak tonjolkan, saya dapat blessing dari sahabat-sahabat, oleh sebab itu konsert solo ini akan jadi yang terakhir lah.”

Meletakkan target akan terus bersama Wings pada 9 tahun mendatang, Dato’ Awie meluahkan hasrat ingin berehat selepas konsert solo di Singapura dan Malaysia nanti. Tidak menggunakan istilah ‘bersara’ tetapi lebih kepada berehat panjang serta memberi tumpuan lebih kepada keluarga dan perniagaan, Dato’ Awie yang kelihatan sebak berkata “It’s payback time untuk famili saya. Bertahun-tahun saya buat benda yang sama, bila masa saya dengan famili saya? Bila masa saya nak tengok dunia lain? Saya rasa cukup lah. Saya nak quality time pula bersama famili. Banyak benda saya korbankan selama ini sebab terlalu sibuk, faham tak? Sedih tau…”

Berbalik kepada perancangan konsert solo ‘JOURNEY’ ini, Dato’ Awie berkata “Sepatutnya saya tak boleh cerita lebih-lebih sebab nanti ada sidang media rasmi berkenaan konsert ini, saya nak cerita apa lagi. Apa yang saya boleh beritahu hanyalah 15% dari perancangan, konsert ini akan menjadi sebuah konsert luarbiasa, susah nak buat, tapi kita akan cuba ikhtiarkan bagaimana untuk merealisasikannya.”

Menekankan bahawa tidak akan ada sebarang penyanyi undangan pada konsert kali ini, Dato’ Awie menyambung lagi, “Kali ini saya nak cuba solo sepenuhnya, purely Awie, yang mengisahkan ‘perjalanan’ sebab tu tajuk konsertnya ‘JOURNEY’, konsepnya sangat best iaitu kombinasi Monolog dan Teater, akan ada drama, percaya lah ianya akan jadi best, semua peminat saya wajib tonton.”

‘JOURNEY’ akan bermula seawal tahun 1985 menceritakan liku-liku kehidupan Dato’ Awie bergelar anak seni dan seorang rocker kental yang bertahan populariti selama berdekad lamanya, bukan satu perjalanan mudah. “Dari 1985 sehinggalah sekarang akan saya pentaskan khas untuk peminat saya secara non-stop, akan terus berjalan tanpa henti, susah nak buat tapi best.” ujar Dato’ Awie tersenyum mengujakan. Mengenakan busana jubah hitam, seperti kebiasaannya, Dato’ Awie sentiasa tampil segak.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn Bhd, Samsul Kamar berkata “Pra-pendaftaran untuk konsert ini akan dibuka pada 1 Mei 2024, manakala penjualan tiket akan bermula pada 15 Mei 2024 nanti.” Tambah beliau lagi, “Sidang media rasmi berkenaan Konsert Dato’ Awie, ‘JOURNEY’ ini akan diadakan dalam masa terdekat. Maklumat mengenai harga tiket, konsep dan pemilihan lagu akan turut dikongsi ketika sessi tersebut.”

Tiket Konsert Dato’ Awie, ‘JOURNEY’ boleh didapati melalui laman web www.pixeltix.com.my dan diskaun istimewa akan diberikan kepada pendaftar terawal.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page