November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dua Suara Media Pertaruh ‘Bakat’ Yang Bakal Mengapai Bintang

Spread the love

Nama Dimansyah Laitupa, Salma Putri Salsabila dan Yurisana Septeasa sememangnya sudah tidak asing lagi bagi penggemar muzik di Indonesia apatah lagi mereka seringkali menghiasi media sosial khususnya Tik Tok dengan hamparan lagu-lagu cover daripada pelbagai artis dan genre sehingga mampu meraih jutaan ‘followers’.

Sungguhpun begitu ‘trio’ ini bukan sebarangan, bakat nyanyian mereka telah digilap sejak kecil sementelah memasukki pelbagai pertandingan yang ‘melayakkan’ mereka untuk berada di pentas lalu di lamar Dua Suara Media untuk menjadi artis rakaman.

“Saya sudah mulai bernyanyi sejak kecil sehingga sekarang, malah saya turut mendalami kelas vokal untuk memantapkan lagi mutu vokal saya”, ujar Salma ketika ditemui di Jakarta baru-baru ini.

“Selain itu saya turut menyertai kompetisi agar minat saya tidak terhenti di situ.  Saya juga sering membawakan lagu-lagu cover dan di pertontonkan di platform media sosial.  Tidak menyangka nyanyian suka-suka itu telah menarik jutaan ‘followers’”, ujarnya lagi

Meskipun ramai netizen yang tidak menggemari apa yang dilakukan oleh Salma, dia menganggap itu lumrah biasa.  Buktinya dia baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Mantra’ yang diriliskan pada Februari lalu.

Salma yang berasal dari Bandung pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian antaranya adalah Indonesia Mencari Bakat, Rising Star Indonesia, X Factor Indonesia, dan Indonesian Idol.

Bakat Dimansyah Laitupa juga tidak harus dipandang sepi, dia yang juga merupakan bekas peserta Indonesia Idol itu turut berkebolehan dalam penciptaan lagu dan bermain alat muzik khususnya gitar.

“Saya berasa cukup bertuah kerana dapat menyertai Indonesia Idol, meskipun tidak sampai ke peringkat akhir namun itu bukanlah bermakna minat saya terhenti di situ sahaja.  Kompetisi itu ibarat mencari pengalaman”, ujarnya

“Sehingga kini saya sudah merilis 6 buah single dan besarlah harapan saya agar pihak label dapat menerbitkannya dalam format fizikal meskipun saya tahu itu adalah mustahil kerana ‘trend’ muzik sekarang, lagu-lagu boleh di dengar di pelbagai platform media”, katanya.

Terbaharu, Dimansyah Laitupa telah meriliskan ‘Narasi’ pada bulan Februari lalu.  Biarpun lagu dan melodinya lebih bercorak ‘galau’, Dimansyah yakin itu adalah ‘trend’ muzik masakini.

Yurisana Septeasa yang baru sahaja meriliskan single yang berjudul ‘Hayu’ ternyata cukup gembira berada di bawah syarikat Dua Suara Media.  Dia menyifatkan bahawa dirinya cukup bertuah kerana dipertemukan dengan artis yang seangkatan dengannya yang seringkali menyampaikan lagu-lagu ‘cover’.

“Saya berasa sangat bertuah kerana dapat sebumbung dengan rakan-rakan lain, lebih menarik mereka juga seringkali menjadikan Tik Tok sebagai medan untuk memperkenalkan karya-karya terbaru”, ujarnya.

Yurisana yang cukup mengagumi artis-artis tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan sebagainya berharap dapat mengadakan konsert di Malaysia satu hari nanti.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page