September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lunar ‘membunuh’ 14 Finalis Lain: “Pembunuh Malam”, Juarai Lagu Terbaik di Anugerah Lagu Indie 2023

Spread the love

Foto kredit : Anugerah Muzik Indie
Artikel Oleh : Zizi Hashim

Telah berlakunya ‘pembunuhan’ betul-betul di hadapan mata pada Malam Anugerah Lagu Indie 2023 (ALI 2023) yang bersiaran secara langsung di Spacerubix Puchong pada 7 Mac 2024 baru-baru ini. Kami di Malaysia Music Scene sebagai rakan media rasmi melaporkan sebagai saksi ‘sahih’ kepada kehebatan band Lunar mengungguli acara kemuncak pentas akhir ALI 2023 dengan merangkul hadiah trofi kemenangan beserta wang tunai RM15,000 sebagai Juara kategori Lagu Terbaik dan wang tunai RM5,000 lagi untuk kategori Lagu Pop Terbaik.

‘Butterfingers Tribute’ oleh Leaism


Lagu berjudul “Pembunuh Malam” ciptaan Hazeeq Hilman dan Muhd Haziq telah tampil mendominasi 14 buah lagu lain yang mantap dipersembahkan oleh finalis-finalis yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu Pop, Rock dan HipHop. Dalam Top 5 kategori Pop, menyaksikan tertewasnya empat buah lagu lain iaitu “Pura”, “Stargazing”, “Luka” dan “Derana” yang tidak kurang hebatnya. Namun akur dengan pemilihan juri-juri professional yang terdiri daripada AG Coco, Wing Meng, Juwita Suwito, Roshan Jamrock, Edwin Raj, Ariana Adnan dan Diandra Arjunaidi.
Menepati ramalan untuk menjadi juara, komposisi lagu “Pembunuh Malam” mengingatkan saya kepada era kegemilangan Sheila Majid. Meski liriknya simple namun pemilihan metaforanya terhidu segar. Sekiranya tema dan penerokaan dibuat lebih mendalam beserta penceritaan yang lebih jelas, menjadikan lebih kuat dan istimewa bermain dengan dinamika perasaan yang bercampur-aduk. Tahniah Lunar!

Lagu Terbaik ‘Pembunuh Malam’


Selain dari itu, anugerah Persembahan Terbaik yang juga turut direbut oleh 15 finalis dan nasib berpihak kepada Odelia Tirza menerusi lagu “Stargazing” sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi kemenangan. ALI 2023 menyaksikan 626 penyertaan lagu dan 11,000 undian awam menerusi undian dalam talian di laman web www.anugerahlaguindie.com.my
Anugerah yang memasuki tahun keempat ini telah menambah-baik format pemarkahan melibatkan 30% undian awam secara dalam talian, manakala 70% lagi bergantung kepada pemarkahan juri-juri professional.

Persembahan Terbaik – Odelia Tirza


“Souled Out” , sebuah lagu rock ciptaan dan persembahan dari band Vota tampil sebagai juara kategori Lagu Rock Terbaik menewaskan Top 5 yang lain iaitu “Jiwa (Takhta Milik Kita)”, “In The Haze”, “Inti Sari” dan “Terra Luna”. Manakala untuk kategori HipHop memperlihatkan band LXF menjulang trofi kemenangan bagi kategori Lagu HipHop Terbaik menewaskan Top 5 yang sama hebat iaitu “Ice Cold Castle”, “Candy Mind”, “Gard O Gard” dan “Mimpi Untuk Semalam”.

Lagu Rock Terbaik – VOTA


Turut ditampilkan pada ALI2023 adalah anugerah Lagu Terpaling Platinum ‘Carta Indie Kita’ yang dimenangi oleh Armpunk Sindicate menerusi single “Noisy Punk” yang mendapat undian tertinggi di laman X dan berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta trofi.

Lagu Hip Hop Terbaik – LXF


Sebanyak 15 buah lagu dipertandingkan untuk semua kategori sempena edisi kali ini. Meskipun tidak memenangi sebarang trofi, kesemua finalis lain diakui memberi persaingan yang sengit. Band Zerophobia dikatakan sebagai pencabar utama bagi kategori lagu rock terbaik melalui lagu “Inti Sari”, manakala Fatin Faizal pula merupakan lagu favorite saya untuk memenangi lagu pop terbaik menerusi lagu melankolik “Pura” yang sarat mesej dalam senikata lagunya. Secara peribadi bagi saya, Fatin Faizal mempunyai deria komposer dan penulisan lirik yang baik. Alunan vokal gemersiknya membuai rasa dan memberi impak mendalam.
Pembukaan tirai malam anugerah dari Leaism dengan persembahan ‘Tribute Butterfingers’ menerusi lagu-lagu “Epitome”, “Chemistry”, “Ngilu”, “1000 Tahun” dan “Mati Hidup Kembali” harus diberi kredit. Dalam versinya tersendiri, Leaism berjaya memberi penghormatan do justice yang sangat baik dan on point.
Kredibiliti lagenda Indie, Bunkface sebagai ‘penghibur’ diperakui berada di benchmark-nya yang tidak terjangkau lain. Bukan sekadar musisi biasa-biasa, kemunculan mereka sebagai penutup sebelum diumumkan barisan para pemenang adalah sangat cemerlang dan berbisa. Memberi vibes luarbiasa melalui rangkaian lagu hits “Malam Ini Kita Punya”, “Silly Lilly” dan “Situasi”, Sam dan rakan-rakan bagaikan disuntik energi hyper yang begitu membuak-buak. Tidak pernah gagal menghiburkan dan bikin goosebumps, itulah Bunkface!

Persembahan Penutup oleh Bunkface


ALI2023 disokong oleh Rakan Muda, Rakan Muda-Rakan Muzik, manakali Rakita 107.9 bertindak sebagai Radio Rasmi. ALI2023 disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Anugerah Lagu Indie pada Khamis 7 Mac 2024 jam 8 malam sehingga 12 tengah malam. Untuk maklumat lanjut mengenai ALI2023, layari www.anugerahlaguindie.com.my
Tahniah ALI2023 atas usaha memperkasa budaya lagu-lagu indie di Malaysia. Teruskan menjadi platform yang meraikan bakat-bakat indie, memberi inspirasi kepada penggiat muzik indie menghasilkan hasil karya yang kreatif, berkualiti dan kompetitif.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page