Bukan Sekadar Lagu, Jarir Umar Lambang Kasih Amira

Pelantikan sebagai duta Yootree menyaksikan Amira Othman tampil dengan karya istimewa yang sarat emosi, doa dan harapan buat anak tersayang.
Bagi seorang ibu, kasih sayang terhadap anak bukan sekadar terungkap melalui kata-kata, sebaliknya terpahat dalam setiap doa, pengorbanan dan harapan yang mengiringi perjalanan hidup si kecil.
Itulah inti pati yang cuba dizahirkan penyanyi Amira Othman menerusi single terbaharunya, Jarir Umar, sebuah karya istimewa yang didedikasikan khas buat anak tersayang.
Lebih daripada sekadar pelancaran lagu, karya berkenaan menjadi manifestasi perasaan Amira dalam mengabadikan pengalaman bergelar ibu, termasuk kenangan sepanjang mengandung, melahirkan serta membesarkan permata hatinya.
Menariknya, pelancaran Jarir Umar turut berlangsung seiring dengan pelantikan Amira sebagai duta Yootree, jenama penjagaan ibu dan bayi yang menawarkan rangkaian produk bagi memenuhi keperluan golongan ibu serta si manja.
Bagi Amira, kerjasama itu cukup bermakna kerana hadir pada fasa baharu kehidupannya yang kini turut diwarnai tanggungjawab dan pengalaman sebagai seorang ibu.
Mengulas pembikinan lagu berkenaan, Amira berkata, hasrat menghasilkan karya khas buat anaknya sudah lama tersimpan, namun kesibukan jadual sebelum ini menyebabkan perancangan itu tertangguh.

” Sebenarnya saya sudah lama merancang untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat anak, tetapi jadual ketika itu tidak mengizinkan. Saya teruskan perancangan tersebut apabila bertemu dengan karya dan masa yang sesuai. Alhamdulillah, akhirnya terhasillah Jarir Umar.
“Lagu ini memang khas buat anak saya dan dalam masa sama mewakili perasaan ibu-ibu di luar sana. Saya percaya kasih sayang seorang ibu tiada tolok bandingnya,” katanya.
Menerusi karya itu, Amira mahu menyampaikan rasa syukur atas kehadiran anaknya dalam kehidupan, selain menitipkan doa serta harapan seorang ibu yang sentiasa menginginkan kebahagiaan buat zuriatnya. Malah, rangkap terakhir lagu berkenaan menjadi bahagian paling menyentuh perasaannya kerana membawa mesej mengenai doa, reda dan kasih seorang ibu yang tidak pernah terputus walau ke mana sahaja anak melangkah.
Amira mengakui dirinya turut sebak ketika proses rakaman apabila menghayati lirik yang mengingatkannya kepada pelbagai pengalaman sepanjang mengandung dan melahirkan Jarir.
“Bahagian terakhir lagu ini paling memberi kesan kepada saya. Ketika proses rakaman pun saya turut berasa sebak apabila menghayati liriknya.
“Lagu ini mengingatkan saya kepada pelbagai kenangan sepanjang mengandung dan melahirkan Jarir. Saya berharap apabila dia besar nanti, dia akan memahami betapa besarnya kasih sayang seorang ibu dan tahu bahawa doa saya akan sentiasa mengiringinya,” katanya.
Di sebalik mesej sentimental yang dibawakan, Amira turut menyelitkan pesanan buat ibu bapa supaya tidak terlalu membandingkan perjalanan membesarkan anak masing-masing. Baginya, setiap keluarga mempunyai pengalaman dan cabaran tersendiri, justeru kebahagiaan serta kesejahteraan anak seharusnya menjadi keutamaan berbanding memenuhi jangkaan orang lain.
“Pada saya, setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Apa yang penting ialah kita fokus membesarkan anak sendiri dan tidak perlu membandingkan perjalanan kita dengan ibu bapa yang lain.
“Kebahagiaan anak-anak perlu menjadi keutamaan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan yang baik dan bahagia, insya-Allah anak-anak juga dapat membesar dalam persekitaran yang positif,” katanya.
Dari aspek pembikinan, Jarir Umar turut mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila mendapat sentuhan individu yang dekat dengan kehidupan Amira. Adiknya, Irfan Haris diberi tanggungjawab sebagai komposer yang menterjemahkan gambaran serta perasaan Amira ke dalam melodi bersesuaian, manakala liriknya ditulis oleh sepupunya, Syafiq.
Wan Saleh pula menyumbangkan idea kreatif khususnya dalam aspek susunan muzik bagi memberikan bentuk dan warna tersendiri kepada karya berkenaan. Amira turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terbabit, khususnya Irfan dan Syafiq yang memahami mesej serta emosi yang mahu disampaikan menerusi lagu itu.

Sementara itu, Yootree menawarkan pelbagai keperluan penjagaan ibu dan bayi termasuk pam susu mudah alih, penyejuk susu ibu, botol susu bayi serta bekas penyimpanan susu.
Kerjasama berkenaan sekali gus memperlihatkan keserasian antara pengalaman peribadi Amira sebagai ibu dengan jenama yang memberi tumpuan kepada keperluan golongan wanita dalam perjalanan keibuan.
Namun, bagi Amira, nilai paling besar yang mahu ditinggalkan menerusi Jarir Umar bukanlah sekadar sebuah lagu baharu dalam katalog muziknya. Sebaliknya, ia menjadi rakaman kasih seorang ibu yang akan terus hidup melalui doa, sokongan dan harapan, biarpun suatu hari nanti anaknya membesar serta membawa haluan kehidupan sendiri.
