November 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Neogendang bukan sekadar label, bina ekosistem muzik baharu

Spread the love

Diterajui Edrie Hashim, hab kreatif itu menghimpunkan Candy, Neil Arrian, Killpop dan The Outsiders dalam usaha memperkasa bakat serta karya muzik tempatan.

Tidak sekadar menjadi platform menghasilkan dan merakam lagu, Neogendang kini mengorak langkah lebih besar dengan membangunkan sebuah ekosistem kreatif yang memberi tumpuan kepada pembentukan identiti, pembangunan bakat serta kelangsungan kerjaya artis tempatan.

Diterajui pemuzik, penulis lagu dan penerbit berpengalaman, Edrie Hashim, label muzik itu mahu meletakkan dirinya sebagai hab kreatif menyeluruh yang mampu membimbing seseorang artis daripada peringkat awal penciptaan idea sehinggalah karya mereka menemui khalayak.

Usaha berkenaan diperkenalkan menerusi penganjuran sesi listening party eksklusif di Neogendang Studio, Kuala Lumpur, yang menghimpunkan pengamal media, rakan industri serta komuniti muzik untuk menikmati pratonton beberapa karya baharu.

Menariknya, sesi itu turut memperkenalkan barisan artis yang berada di bawah naungan serta ekosistem pembangunan Neogendang, termasuk Candy, Neil Arrian, Killpop dan The Outsiders.

Selain karya artis terbabit, acara berkenaan turut memperdengarkan hasil penulisan dan penerbitan terbaharu Edrie yang bakal mewarnai landskap muzik tempatan.

Meskipun setiap artis memiliki identiti, karakter bunyi dan pendekatan muzik tersendiri, mereka disatukan menerusi satu landasan pembangunan yang memberi penekanan kepada penghasilan karya berkualiti serta pembentukan jati diri muzik.

Bagi Edrie, matlamat Neogendang bukan sekadar menyediakan kemudahan rakaman atau berfungsi sebagai label yang menguruskan pelancaran lagu, sebaliknya menjadi ruang untuk bakat baharu mengembangkan potensi mereka.

“Saya nak Neogendang jadi lebih daripada sebuah studio atau record label. Saya nak ia menjadi tempat di mana artis boleh datang dengan idea, walaupun masih belum sempurna, dan kita bantu mereka kembangkan idea itu sampai menjadi sebuah karya yang mempunyai identiti dan hala tuju,” katanya.

Pendekatan itu memperlihatkan keperluan pembangunan artis yang lebih menyeluruh dalam industri muzik hari ini, khususnya apabila persaingan bukan lagi bergantung kepada kekuatan lagu semata-mata, tetapi turut membabitkan identiti, persembahan, penjenamaan serta keupayaan seseorang artis membina hubungan dengan pendengar.

Sehubungan itu, Neogendang merangka satu ekosistem pembangunan yang merangkumi keseluruhan proses kreatif, bermula daripada pengenalan artis, pembangunan idea, penerbitan, rakaman sehinggalah pelancaran karya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penerbitan muzik, penghasilan demo, pra-penerbitan, rakaman audio profesional, konsultasi muzik dan kreatif, selain bimbingan persembahan serta pembangunan penjenamaan artis.

Menerusi inisiatif itu, Neogendang turut membuka peluang kepada penyanyi solo, kumpulan muzik dan bakat kreatif baharu yang memiliki lagu atau demo tetapi memerlukan bimbingan profesional untuk membawa karya mereka ke tahap lebih baik.

Penganjuran listening party berkenaan juga menjadi titik permulaan kepada beberapa siri pelancaran karya dan projek muzik baharu Neogendang dalam masa terdekat.

Dengan pengalaman Edrie dalam bidang penulisan lagu dan penerbitan muzik, Neogendang dilihat berpotensi menjadi antara platform yang menyumbang kepada pengukuhan ekosistem muzik tempatan, khususnya dalam menyediakan ruang pembangunan lebih tersusun kepada generasi baharu pemuzik.

Lebih daripada sekadar menghasilkan lagu, cabaran sebenar industri adalah melahirkan artis yang mempunyai identiti tersendiri serta kemampuan untuk berkembang dalam ekosistem muzik yang semakin kompetitif.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page