November 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

KAI, SEHUN Bawa Fenomena Exo Ke Kuala Lumpur

Spread the love

Duo ‘94 Line’ lancar muzik baharu Disember ini, pilih Malaysia sebagai antara destinasi EXO-KASE Fancon Tour – SILENT CITY pada 16 Januari 2027

Fenomena EXO bakal kembali menggegarkan Malaysia apabila dua anggota popularnya, KAI dan SEHUN bergabung sebagai duo baharu menerusi projek istimewa yang dijangka mencetuskan gelombang keterujaan dalam kalangan peminat K-pop tempatan.

Dikenali sebagai ‘94 Line’ kerana kedua-duanya dilahirkan pada 1994, gandingan Kim Jong-in atau KAI dan Oh Se-hun atau SEHUN itu bukan sahaja bakal mempertaruhkan muzik baharu pada Disember ini, malah merancang membawa kolaborasi mereka menjelajah Asia.

Malaysia turut menjadi destinasi pilihan menerusi EXO-KASE Fancon Tour – SILENT CITY in KUALA LUMPUR yang dijadual berlangsung di IDEA LIVE ARENA, Kuala Lumpur, pada 16 Januari 2027, jam 5 petang.

Dianjurkan iMe Malaysia, kemunculan dua figura berpengaruh dalam industri K-pop itu pastinya menjadi detik dinantikan EXO-L tempatan yang sekian lama mengikuti perjalanan seni mereka bersama EXO.

Lebih daripada sekadar pertemuan dua anggota kumpulan popular, projek duo berkenaan memperlihatkan penyatuan dua karakter persembahan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

KAI yang sering digelar antara ikon persembahan K-pop memiliki tiga album mini solo, sekali gus membuktikan keupayaannya membina identiti muzik tersendiri menerusi koreografi bertenaga, kreativiti artistik dan penguasaan pentas.

SEHUN pula cukup sinonim dengan penampilan karismatik serta rap bernada rendah yang menjadi antara identiti muziknya. Bakat seni dan kreativiti beliau turut terserlah menerusi penglibatan dalam unit EXO-SC.

Persahabatan yang terjalin sejak sekian lama turut menjadi kelebihan buat pasangan ‘94 Line’ itu. Keserasian mereka yang terbina sepanjang perjalanan bersama EXO dijangka diterjemahkan menerusi persembahan yang lebih segar dan berbeza.

Dengan pelancaran muzik baharu pada Disember ini, peminat pastinya mempunyai alasan tambahan untuk menantikan kemunculan mereka di Kuala Lumpur, apatah lagi apabila projek berkenaan menjadi langkah penting dalam perjalanan seni kedua-dua bintang itu sebagai duo.

Bagi peminat yang mahu menyaksikan sendiri gandingan KAI dan SEHUN, tiket EXO-KASE Fancon Tour – SILENT CITY in KUALA LUMPUR ditawarkan pada harga antara RM398 hingga RM898.

Kategori VIP Standing yang turut menawarkan manfaat sesi soundcheck dijual pada harga RM898, diikuti PS1 Standing (RM798), PS2 (RM698), PS3 (RM598), PS4 (RM498) dan PS5 (RM398).

Jualan awal khusus untuk pemegang EXO-L MEMBERSHIP dibuka pada 26 November ini, dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang menerusi platform FANTOPIA.  Sementara itu, jualan umum bermula 27 November ini, jam 12 tengah hari menerusi platform sama.

Setiap pemegang keahlian perlu melengkapkan proses pendaftaran dalam tempoh ditetapkan, manakala nombor EXO-L MEMBERSHIP akan digunakan sebagai kod promosi untuk pembelian ketika prajualan.

Pembelian dihadkan kepada maksimum dua tiket bagi setiap kod dan akaun ketika prajualan, manakala jualan umum turut menetapkan had maksimum dua tiket bagi setiap akaun termasuk pembelian terdahulu.

Peminat juga perlu memastikan nama serta nombor kad pengenalan atau pasport yang digunakan ketika pembelian sepadan dengan dokumen pengenalan diri kerana tiket tidak boleh ditukar nama atau dipindah milik selepas transaksi berjaya.

Harga tiket tidak termasuk fi tempahan RM8, fi transaksi RM10 dan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus.

Maklumat lanjut mengenai acara boleh diperoleh menerusi saluran media sosial rasmi iMe Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page