November 20, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Hock Kee, Kitkat Gabung Keunikan Dalam Menu Baharu

Spread the love

Enam sajian istimewa tampilkan kombinasi kopi, matcha, coklat dan kerangupan wafer untuk pengalaman kopitiam berbeza

Tradisi menikmati kopi di kopitiam kini diberi nafas baharu apabila Hock Kee Kopitiam tampil dengan kombinasi rasa yang menggabungkan keunikan kopi tempatan bersama keenakan coklat dan kerangupan wafer KITKAT®.

Menerusi kolaborasi bersama inisiatif “Made With” KITKAT®, jenama kopitiam yang berasal dari Johor Bahru itu memperkenalkan enam menu istimewa merangkumi empat minuman dan dua hidangan manis yang mula ditawarkan di semua cawangannya sejak 19 November lalu.

Menariknya, kolaborasi itu bukan sekadar menyuntik elemen coklat ke dalam sajian sedia ada, sebaliknya meneroka potensi gabungan rasa klasik kopitiam dengan tekstur dan karakter KITKAT® bagi menghasilkan pengalaman menikmati makanan dan minuman yang lebih kontemporari.

Antara yang mencuri perhatian ialah Hor Ka Sai Special, minuman berasaskan kopi tempatan yang pekat dengan sentuhan kelembutan coklat KITKAT®, sekali gus menghasilkan rasa lebih berkrim.

Turut menjadi pilihan ialah Matcha Cocoa Bliss yang mengetengahkan keseimbangan rasa coklat KITKAT® bersama karakter matcha yang tersendiri.

Rangkaian menu baharu itu turut merangkumi Cocoa Crunch Latte, Sai Ka Hor Special, Cocoa Delight Croissant dan Cocoa Crumble Toast.

Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, berkata kerjasama itu membuka ruang kepada pihaknya untuk memperkenalkan kelainan tanpa mengetepikan identiti cita rasa kopitiam Malaysia yang menjadi tunjang jenama berkenaan.

Menurutnya, penggunaan coklat dan wafer KITKAT® memberi peluang kepada Hock Kee menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pelanggan setia mahupun pengunjung baharu.

“Menerusi kolaborasi ‘Made With’ KITKAT®, kami teruja membawa rasa coklat dan wafer KITKAT® yang dekat di hati rakyat Malaysia ke meja kopitiam kami.

“Bagi kami, ini merupakan peluang untuk terus meraikan cita rasa yang menjadi identiti Hock Kee dan benar-benar mencerminkan Malaysia, sambil menawarkan sesuatu yang baharu untuk dinikmati pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Professional bagi Malaysia dan Singapura, Yit Woon Lai, berkata pemilihan Hock Kee sebagai rakan kolaborasi dibuat berdasarkan keupayaan jenama itu mengekalkan identiti kopitiam tempatan, selain keterbukaan meneroka kombinasi rasa baharu.

Katanya, pendekatan berkenaan dapat dilihat menerusi penghasilan menu yang menggabungkan coklat KITKAT® dengan sajian tradisional serta kegemaran ramai.

Kolaborasi itu dilancarkan secara rasmi di Makan-Makan by Hock Kee, Bangsar South, Kuala Lumpur, menerusi acara pengenalan menu yang turut diserikan demonstrasi penyediaan sajian secara langsung.

Demonstrasi berkenaan dikendalikan Chef Yap Wai Keong daripada Nestlé Professional bersama Pengurus Operasi Bar Hock Kee, Hanipah Abdul Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Bar Hock Kee, Sugiando.

Inisiatif itu sekali gus memperlihatkan bagaimana tradisi kopitiam yang sinonim dengan budaya santai masyarakat Malaysia boleh terus berkembang menerusi kreativiti kulinari dan kerjasama rentas jenama.

Dengan enam pilihan baharu ditawarkan, pelanggan kini mempunyai lebih banyak alasan untuk menikmati waktu rehat sambil meneroka gabungan rasa yang diinspirasikan daripada semangat ‘Have a Break, Have a KITKAT’.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page