Reena Mahu Bawa Muzik Malaysia Ke Persada Dunia

Penyanyi berusia 14 tahun jadikan ACX Music platform perkukuh bakat, kuasai pelbagai bahasa dan tembusi pasaran antarabangsa
USIANYA baru 14 tahun, namun impian penyanyi muda, Reena, bukan sekadar mahu mencipta nama dalam industri muzik tempatan, sebaliknya membawa muzik Malaysia ke persada dunia.
Dengan pengalaman menyertai lebih 100 pertandingan nyanyian sejak kecil, Reena melihat penyertaannya bersama label muzik baharu, ACX Music sebagai peluang penting untuk mengembangkan bakat dan membina kerjaya di peringkat antarabangsa.
Baginya, perjalanan menjadi penyanyi bukan hanya bergantung kepada kelebihan vokal, tetapi turut menuntut kesungguhan memperbaiki diri, penguasaan bahasa serta keberanian meneroka pelbagai genre muzik.
Reena berkata, keputusan menyertai ACX Music dibuat selepas melihat potensi besar yang ditawarkan syarikat berkenaan, khususnya dalam bidang perfileman dan penerbitan runut bunyi yang mampu membuka ruang lebih luas untuk perkembangan kerjaya seninya.
“Saya melihat ACX Music mempunyai banyak kelebihan, terutama dari segi filem, runut bunyi dan sebagainya. Sebab itu saya memilih mereka kerana percaya platform ini mampu memberikan pendedahan yang sangat luas.
“Sebenarnya ada juga pihak lain yang pernah mendekati saya sebelum ini, tetapi selepas mempertimbangkan peluang yang ada, saya merasakan ACX Music adalah pilihan terbaik untuk perkembangan kerjaya saya,” katanya.
Tawaran menyertai syarikat itu diterima ketika Reena berusia 13 tahun selepas dia mencatat kemenangan dalam satu pertandingan nyanyian di Nanjing, China. Biarpun masih muda, Reena bukan asing dalam arena pertandingan nyanyian apabila pernah menyertai pelbagai pertandingan termasuk Malaysian Championship of Performing Arts (MCOPA), malah pernah muncul juara. Bagaimanapun, dia memilih menyertai pertandingan Bintang Kecil RTM apabila kedua-dua pertandingan itu berlangsung pada tahun sama.
Menyedari penguasaan bahasa menjadi antara kelebihan untuk menembusi pasaran antarabangsa, Reena kini giat memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin selain terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya.
Katanya, dia mahu menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik bagi membolehkannya meneroka peluang berkarya dan mendapat pendedahan lebih luas di China.

“Bahasa Melayu ialah bahasa ibunda saya, jadi sudah tentu saya lebih cenderung kepada lagu Melayu. Bagaimanapun, saya sedang belajar bahasa Mandarin dan berusaha menguasainya dengan lebih baik supaya mempunyai peluang lebih luas untuk berkarya dan mendapat pendedahan di China.
“Saya bersekolah di sekolah Cina dari Tahun Satu hingga Tahun Empat sebelum bertukar ke sekolah kebangsaan bermula Tahun Lima. Sekarang saya masih mengikuti kelas tambahan bahasa Mandarin,” katanya.
Mengakui perjalanan membina nama dalam industri muzik bukan mudah, Reena berkata, persaingan sengit menuntut seseorang penyanyi memiliki identiti tersendiri bagi membezakan mereka daripada penggiat seni lain.
Malah, dia tidak menafikan masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki termasuk penampilan fizikal dan penguasaan bahasa bagi meningkatkan keyakinan ketika membuat persembahan.
“Perkara paling penting ialah mencari keunikan diri supaya orang mengenali saya sebagai Reena, bukannya melihat saya sama seperti penyanyi lain. Saya sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Saya masih muda dan sedang berusaha meningkatkan kemampuan diri supaya dapat memperoleh lebih banyak peluang serta pendedahan dalam industri muzik,” katanya.
Menariknya, kematangan vokal Reena turut dipengaruhi pendedahan awalnya terhadap genre opera yang menjadi asas pembelajaran nyanyiannya. Dia berkata, latihan opera membantunya membentuk teknik vokal lebih matang, sekali gus memberi keupayaan untuk meneroka pelbagai genre muzik.
Bagi memperluas kemahirannya, Reena mendapatkan bimbingan beberapa tenaga pengajar mengikut genre, termasuk Mada Haziq yang membimbingnya dalam nyanyian opera di Universiti Putra Malaysia (UPM), Syafiq Erwin bagi nyanyian Melayu dan Jacob Teo untuk bahasa Mandarin.
“Genre pertama yang saya pelajari ialah opera. Sebab itu teknik vokal saya kedengaran lebih matang kerana dalam opera, kita perlu belajar menggunakan suara dengan teknik tertentu.
“Saya mempunyai beberapa orang guru kerana bukan semua tenaga pengajar boleh mengajar setiap genre muzik. Daripada situ, saya dapat mengumpulkan lebih banyak ilmu dan menyesuaikan diri dengan pelbagai pendekatan nyanyian,” katanya.
Bakatnya turut membuka peluang berkongsi pentas dengan beberapa nama besar industri muzik tempatan dan antarabangsa termasuk kumpulan F.I.R., Ernie Zakri serta Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pengalaman itu menjadi pembakar semangat buat Reena untuk terus memperkukuh keyakinan, selain belajar mengawal rasa gementar setiap kali berhadapan penonton. Antara penyanyi yang menjadi inspirasinya ialah penyanyi dari Kazakhstan, Dimash Kudaibergen, terutama dari sudut teknik vokal, selain Aina Abdul, Shila Amzah dan Beyoncé.
Dalam menentukan hala tuju muziknya, Reena turut mengakui kepentingan pemilihan lagu serta peranan komposer dan penulis lirik dalam membentuk identiti seseorang penyanyi.
Katanya, karya berkualiti menjadi medium penting untuk menyerlahkan kemampuan sebenar seseorang artis, namun dia terbuka menerima lagu daripada pelbagai genre bagi menambah pengalaman.
“Saya percaya penyanyi memerlukan lagu yang baik untuk menunjukkan identiti dan kekuatan vokal mereka. Bagaimanapun, saya sendiri terbuka menerima apa sahaja karya yang ditawarkan kerana mahu mencuba pelbagai genre dan mendapatkan pengalaman baharu,” katanya.
Walaupun sudah mula membina kerjaya seni, Reena tetap mengutamakan pelajaran memandangkan masih bersekolah, manakala urusan jadual harian serta kerjaya seninya diuruskan ibu. Masa latihan pula disusun mengikut kelapangan selepas sesi persekolahan, termasuk menghadiri kelas vokal dan melakukan senaman bagi mengekalkan kekuatan suara.

Mengakhiri perbualan, Reena menegaskan impiannya adalah untuk menjadi penyanyi versatil yang mampu menguasai pelbagai genre dan bahasa, sekali gus membawa muzik Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
“Saya mahu menjadi penyanyi antarabangsa suatu hari nanti. Impian saya adalah untuk menjadi penyanyi yang benar-benar versatil, yang mampu menyanyikan pelbagai genre muzik dan menggunakan banyak bahasa.
“Saya mahu terus belajar dan mengembangkan kemampuan diri supaya dapat membawa muzik Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
ACX MUSIC PERKENAL TIGA BAKAT BAHARU
Dalam perkembangan berkaitan, penubuhan ACX Music hasil kerjasama strategik ACO Media dan ACE Integrated menjadi langkah baharu dalam usaha mencungkil bakat muzik generasi baharu serta memperluas pengaruh karya tempatan ke pasaran Asia dan antarabangsa.
Pelancaran label berkenaan turut menyaksikan pengumuman tiga artis pertama yang menyertai syarikat itu, iaitu Reena, JunJun dan EuZen.


Ketiga-tiga penyanyi wanita generasi baharu itu turut membuat persembahan sulung selepas menandatangani kontrak, sekali gus memperkenalkan kemampuan vokal masing-masing kepada hadirin.
ACO Media sebelum ini berjaya menganjurkan lebih 100 konsert langsung dan festival muzik di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Macau, Taiwan, Thailand, China, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.
ACE Integrated pula mempunyai kepakaran dalam penganjuran konsert langsung, reka bentuk serta pembinaan pameran, perancangan acara dan penerbitan filem serta televisyen.

Menerusi gabungan pengalaman dan kepakaran kedua-dua syarikat, ACX Music menyasarkan untuk membimbing lebih ramai bakat baharu, menghasilkan karya berkualiti serta menyediakan platform lebih luas kepada artis tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
