November 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

PEKAP MERIAH 60 TAHUN, JAMAL ABDILLAH ANTARA BINTANG UTAMA

Spread the love

Keberangkatan Sultan Pahang, persembahan artis ternama dan lagu khas Anok Pahang jadi tarikan Majlis Jamuan Diraja

KUALA LUMPUR: Enam dekad menyatukan anak-anak Pahang di ibu kota bukan tempoh singkat, justeru Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) bakal meraikan perjalanan penuh sejarah itu menerusi Majlis Jamuan Diraja Sempena Sambutan Jubli Intan PEKAP, Ahad ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan MATRADE, Kuala Lumpur pada 22 November itu dijadualkan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Ditubuhkan pada 1966, PEKAP menjadi wadah menghimpunkan anak-anak Pahang yang menetap di ibu kota, selain memainkan peranan menjaga kebajikan ahli, memperkukuh persaudaraan dan mengekalkan hubungan dengan negeri kelahiran.

Presidennya, Datuk Haji Azman Shah bin Haji Abdullah, berkata sambutan Jubli Intan itu bukan sekadar memperingati usia persatuan, malah menjadi penghargaan kepada pengasas serta seluruh ahli yang menyumbang kepada kelangsungannya sepanjang 60 tahun.

Menariknya, sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan barisan artis ternama tanah air termasuk Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, Roslan Madun, Orked Farhan, Qierra Saari dan Haikal Farid.

Selain persembahan artis, acara turut menampilkan persembahan kebudayaan serta Combo Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal menyemarakkan suasana majlis.

Antara pengisian istimewa yang mencuri perhatian ialah persembahan lagu baharu berjudul Anok Pahang yang dihasilkan khusus sempena Jubli Intan PEKAP.

Lagu berkenaan akan dipersembahkan Keroz Nazri sebagai simbol kecintaan terhadap negeri Pahang, selain menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan anak negeri yang mencari rezeki dan menetap di perantauan.

Majlis turut diserikan dengan tayangan dokumentari khas yang mengimbau sejarah penubuhan serta perjalanan PEKAP sejak 1966, sekali gus mengangkat sumbangan persatuan itu dalam memelihara kebajikan dan hubungan silaturahim anak-anak Pahang di ibu kota.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page