November 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Noh Salleh, Aziz Harun ‘bersatu’ dengan D’MASIV

Spread the love

Rian Ekky bakal bergandingan dengan dua penyanyi itu menerusi kolaborasi eksklusif pada konsert D’MASIV Asia Home Run di Kuala Lumpur, 20 November ini.

Kehadiran Noh Salleh dan Aziz Harun sebagai artis undangan bakal memberikan warna berbeza kepada konsert D’MASIV Asia Home Run apabila dua penyanyi itu diberi peluang berkongsi pentas dengan kumpulan popular Indonesia berkenaan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, 20 November ini.

Lebih menarik, vokalis D’MASIV, Rian Ekky Pradipta, bakal bergandingan dengan Noh menerusi beberapa lagu popular termasuk Angin Kencang, Ingin Lekas Memelukmu Lagi dan Di Bawah Langit Yang Sama.

Tidak ketinggalan, Rian turut dijadualkan berduet bersama Aziz menerusi lagu popular D’MASIV, Merindukanmu, sekali gus menjanjikan momen istimewa buat peminat yang hadir.

Konsert yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu dianjurkan Neptunes Presents bersama Antara Suara, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia kumpulan berkenaan.

Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, pemilihan Noh dan Aziz dibuat sendiri oleh pihak pengurusan D’MASIV bagi memberikan kelainan serta pengalaman muzik lebih bermakna kepada peminat.

Menurutnya, segala perancangan dan persiapan sudah dilakukan dengan teliti bersama D’MASIV serta artis undangan bagi memastikan kelancaran persembahan.

Katanya, D’MASIV juga cukup teruja untuk kembali bertemu peminat di Malaysia yang disifatkan sebagai rumah kedua mereka.

“Malaysia sudah dianggap seperti rumah kedua buat kumpulan ini kerana sambutan luar biasa yang sentiasa diberikan peminat sejak awal kemunculan mereka.

“Mereka amat merindui suasana konsert di Malaysia, terutama kehangatan dan energi yang ditunjukkan peminat setia yang dikenali sebagai Masivers,” katanya.

D’MASIV Asia Home Run Kuala Lumpur merupakan destinasi keempat jelajah Asia kumpulan itu selepas Taiwan, Hong Kong dan Singapura, sebelum melabuhkan tirai di Jakarta, Indonesia.

Ditubuhkan pada 2003, D’MASIV terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop Indonesia yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik serantau.  Kumpulan itu dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).

Mengulas mengenai pengisian persembahan, Shamsir berkata, konsert selama kira-kira dua jam itu bakal menampilkan rangkaian lagu popular selain karya baharu D’MASIV.

Antara lagu yang dijangka mengisi malam berkenaan termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.

Peminat yang mahu menyaksikan sendiri kolaborasi istimewa berkenaan masih berpeluang mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi www.dmasivtour.com.

Tiket ditawarkan pada harga RM588 bagi kategori Super VIP (pakej menyeluruh), RM298 bagi Ruby (Festival Seating), RM188 (Festival) dan RM148 (Platinum).  Kategori Ruby (Festival Seating) turut diperkenalkan sebagai kategori baharu bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada peminat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page