November 10, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Cinta Terpendam Tujuh Tahun, Akhirnya Bertaut

Spread the love

iQIYI Malaysia anjur acara khas When I Meet the Moon Watch Party di Kuala Lumpur pada 14 November ini, meraikan penutup trilogi romantik Nanwu.

Kisah cinta yang terpendam selama tujuh tahun akhirnya menemukan jalannya apabila dua hati kembali dipertemukan dalam drama romantik China terbaharu, When I Meet the Moon (折月亮), yang mula ditayangkan menerusi platform iQIYI International pada 5 November lalu.

Dibintangi Lu Yuxiao dan Lin Yi, drama 27 episod itu membawa penonton menyelami perjalanan cinta yang bermula dengan perasaan terpendam, berkembang menjadi hubungan istimewa sebelum diuji perpisahan dan peluang kedua.

Diadaptasi daripada novel popular karya Zhu Yi, drama arahan Zhang Boyu itu turut menampilkan kemunculan khas Lu Yangyang dan Li Geyang.

Jalan cerita berpusat kepada Yun Li (Lu Yuxiao), seorang wanita pendiam yang berpindah ke Nanwu untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah selain membuktikan kepada bapanya bahawa dia mampu menjalani kehidupan secara berdikari.

Namun, satu pertemuan di sebuah pusat pengalaman realiti maya (VR) mengubah perjalanan hidupnya apabila dia bertemu semula dengan Fu Shize (Lin Yi), lelaki yang pernah menjadi pujaan hatinya ketika zaman persekolahan.

Fu Shize yang kini memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik pada awalnya dilihat sebagai seorang lelaki yang sukar didekati.  Selepas tujuh tahun menyimpan perasaan, Yun Li akhirnya mengambil keputusan untuk memberanikan diri mendekati lelaki berkenaan dengan dorongan rakan-rakannya.

Antara detik menarik dalam drama itu ialah ketika Yun Li berkongsi payung bersama Fu Shize pada suatu malam hujan sebelum mengumpulkan keberanian untuk bertanya sama ada lelaki itu keberatan jika dia cuba memikatnya.

Kejujuran dan keberanian Yun Li perlahan-lahan membuka ruang kepada hubungan lebih istimewa antara mereka.  Bagaimanapun, percintaan yang pada awalnya berkembang indah mula diuji apabila perbezaan personaliti dan pendekatan terhadap kehidupan akhirnya membawa kepada perpisahan.

Yun Li meninggalkan Nanwu, manakala Fu Shize terpaksa berdepan luka emosi yang sekian lama dipendam.

Takdir bagaimanapun menemukan mereka sekali lagi beberapa tahun kemudian, kali ini dengan kedudukan berbeza apabila Fu Shize pula berusaha memenangi semula hati wanita yang pernah dicintainya.

Persoalannya, mampukah kedua-duanya mengatasi salah faham silam dan memberikan peluang kedua kepada cinta yang pernah terhenti?

Lebih menarik, When I Meet the Moon turut membawa makna tersendiri kepada peminat karya Zhu Yi apabila menjadi naskhah penutup trilogi romantik Nanwu.

Dua drama terdahulu, Hidden Love (偷偷藏不住) dan The First Frost (难哄), terlebih dahulu mencuri perhatian menerusi kisah percintaan dengan latar emosi serta perjalanan hubungan yang berbeza.

Hidden Love mengisahkan perasaan cinta Sang Zhi terhadap Duan Jiaxu, manakala The First Frost membawa penonton menyelami kisah Wen Yifan dan Sang Yan yang kembali menemukan cinta selepas bertahun-tahun terpisah.

Menerusi When I Meet the Moon, penonton sekali lagi dibawa ke Nanwu untuk menyaksikan perjalanan Yun Li dan Fu Shize yang merangkumi cinta terpendam, kekecewaan serta harapan membina semula hubungan.

Dalam perkembangan berkaitan, iQIYI Malaysia turut menganjurkan acara khas When I Meet the Moon Watch Party di Kuala Lumpur pada Sabtu, 14 November ini, sempena pelancaran drama berkenaan.

Acara itu bakal memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati pengalaman menonton drama berkenaan bersama-sama dalam suasana yang lebih interaktif.

Antara pengisian yang disediakan termasuk tayangan drama, ruang fotografi bertemakan When I Meet the Moon, permainan interaktif serta pemberian cenderamata eksklusif berkaitan drama berkenaan.

Penganjuran itu sekali gus menjadi platform untuk menghimpunkan peminat, selain memberi peluang kepada mereka mendekati dunia romantik Yun Li dan Fu Shize di luar skrin.

Kesemua 27 episod When I Meet the Moon kini boleh ditonton menerusi aplikasi iQIYI International dan laman IQ.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page