Bukan Sekadar Cef Selebriti, Anis Nabilah Bukti Bakat Diiktiraf Dunia

Kejayaan dalam dunia kulinari bukan sekadar bergantung kepada kemahiran menghasilkan hidangan yang enak, sebaliknya menuntut kreativiti, disiplin dan kesungguhan untuk terus berkembang dalam industri yang sentiasa berubah.
Prinsip itu jelas terpancar menerusi perjalanan kerjaya personaliti kulinari tempatan, Chef Anis Nabilah, yang terus mengukuhkan kedudukannya apabila menerima pengiktirafan TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada majlis Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan pada majlis yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan seninya sebagai cef selebriti.
Bagi Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin, penghargaan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi suntikan semangat untuk terus menyumbang kepada perkembangan industri kulinari.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil daripada pelbagai pengalaman, cabaran serta sokongan individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya.
“Terima kasih kepada World Gourmet kerana memilih saya sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Saya sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini.
“Sepanjang perjalanan saya dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman yang dilalui dan ramai juga yang memberi inspirasi kepada saya. Setiap peluang dan cabaran yang datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang cef,” katanya.
Mengulas lanjut, Anis berkata, masih banyak impian yang ingin direalisasikan, khususnya dalam usaha berkongsi minat serta pengetahuan mengenai dunia masakan dengan lebih ramai masyarakat.
Baginya, pengiktirafan yang diterima bukanlah noktah kepada perjalanan kerjaya, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus meneroka potensi baharu dalam bidang yang diceburinya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Sementara itu, majlis Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026 turut menghimpunkan tokoh kulinari, usahawan dan pemain industri makanan serta minuman (F&B) dari dalam dan luar negara.
Majlis anjuran World Gourmet itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tuan Steven Sim, selaku Tetamu Kehormat.
Turut diberi penghormatan sebagai Cef Kehormat ialah dua nama besar dalam dunia kulinari antarabangsa, Adjunct Professor Datuk Chef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan.
Antara tokoh lain yang hadir termasuk bekas Presiden World Chefs Association, Master Chef Thomas Gugler; pengasas Cooking for Charity, Master Chef Jeffrey Tan, OAM; Penaung World Gourmet, Lady Puan Sri Datin Sri Dr Susan Cheah; serta wakil Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zuraini Abdul Ghani.
Pengiktirafan tahun ini turut melangkaui pencapaian individu apabila beberapa jenama F&B terkemuka dari rantau Asia menerima penghargaan atas sumbangan dan kedudukan masing-masing dalam industri.
Antaranya Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring dari Taiwan serta Quan An Ngon dari Vietnam.
Wakil tempatan yang turut menerima pengiktirafan termasuk Andaman Seafood Village, Cooper Mansion dan Seri Bako by Kwan Kee.
Tidak ketinggalan, pengasas restoran ikonik Village Park, Madam Kwan’s dan D’Tandoor turut diberi penghormatan, selain penggiat industri serta personaliti popular seperti Cousin Edison, personaliti Hong Kong, Yeung Ming dan penyampai radio, Emely Poon.
Penganjuran edisi kelapan itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana industri kulinari menjadi platform penting dalam menghubungkan kreativiti, keusahawanan dan warisan gastronomi merentasi sempadan.
Bagi Anis, pengiktirafan yang diterima menjadi satu lagi lembaran penting untuk terus mengembangkan bakat serta membawa nama Malaysia ke tahap lebih membanggakan dalam dunia kulinari.
