24 Tahun Berlalu, Cinta dan Rangga Kembali Mengusik Jiwa

Dua filem ikonik lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra mula distrim eksklusif di Tonton bermula 4 November ini
Lebih dua dekad berlalu, namun kisah cinta Cinta dan Rangga masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat filem romantik Indonesia.
Puisi Rangga, persahabatan Cinta bersama teman-temannya serta kisah cinta yang terjalin dalam keadaan tidak terduga terus menjadi antara elemen yang menjadikan filem Ada Apa Dengan Cinta? (2002) sebuah karya ikonik sehingga hari ini.
Dibintangi Dian Sastrowardoyo sebagai Cinta dan Nicholas Saputra sebagai Rangga, filem arahan Rudi Soedjarwo itu bukan sekadar mengangkat kisah cinta pertama, malah menyentuh persoalan persahabatan, pengorbanan dan keberanian meluahkan perasaan.
Populariti kisah berkenaan turut membawa kepada kesinambungannya menerusi Ada Apa Dengan Cinta? 2 (2016), yang menemukan semula Cinta dan Rangga selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing.
Kali ini, peminat berpeluang mengimbau kembali perjalanan cinta pasangan ikonik itu apabila kedua-dua filem berkenaan mula distrim secara eksklusif untuk pelanggan Tonton bermula 4 November 2026.
Penawaran itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat lama menghidupkan kembali nostalgia, malah membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali kisah cinta yang pernah mencetuskan fenomena dalam dunia perfileman Indonesia.
Dengan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan, watak yang mudah diingati serta dialog dan puisi yang meninggalkan kesan, Ada Apa Dengan Cinta? membuktikan sesebuah kisah cinta mampu terus hidup merentasi zaman.
Pelanggan boleh menikmati kedua-dua filem berkenaan menerusi aplikasi Tonton atau melayari laman web www.tonton.com.my.
Untuk perkembangan terkini mengenai program dan kandungan eksklusif, ikuti Tonton menerusi Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
Selepas 24 tahun, persoalannya masih sama: masih ada apa dengan Cinta?
