Empat Tahun Menyepi, FFVPM Kembali Cungkil Bakat Baharu Filem

Himpun 177 penyertaan daripada 35 institusi, RTM turut beri peluang karya terbaik pelajar disiarkan menerusi RTM Klik
Selepas empat tahun menyepi, Festival Filem Video Pelajar Malaysia (FFVPM) kembali dengan edisi ke-14 (FFVPM14), sekali gus membuka semula pentas kepada generasi muda untuk membuktikan kemampuan mereka dalam dunia perfileman.
Dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerusi Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), festival itu bakal berlangsung pada 12 hingga 13 November ini di Dewan Kuliah Utama dan Panggung Eksperimen, ASWARA.
Lebih membanggakan, FFVPM14 menerima sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah seluruh negara, membuktikan minat serta kreativiti anak muda terhadap bidang penghasilan karya audiovisual terus berkembang.
Mengangkat slogan ‘Manifestasi Madani, Mahakarya Gergasi’, festival berkenaan mempertandingkan 22 kategori yang memberi peluang kepada pelajar mengetengahkan bakat dalam pelbagai cabang perfileman, termasuk pengarahan, lakonan, sinematografi, penyuntingan dan animasi.
Rektor ASWARA, Datuk Ainu Sham Haji Ramli berkata, penganjuran semula FFVPM bukan sekadar mengembalikan sebuah festival, sebaliknya menyediakan ruang kepada generasi baharu untuk memperlihatkan kreativiti, meneroka pendekatan penceritaan dan mengembangkan potensi dalam penghasilan karya audiovisual.
Menurutnya, sambutan diterima menerusi 177 penyertaan daripada 35 institusi memperlihatkan penglibatan pelajar dalam bidang perfileman yang wajar terus diberikan sokongan dan pengiktirafan.

“Kami mahu festival ini menjadi platform yang menggalakkan pelajar berani berkarya, mencabar kreativiti serta mengembangkan perspektif mereka melalui medium filem.
“Setiap karya membawa idea, perspektif dan pendekatan kreatif tersendiri, sekali gus menyediakan ruang untuk bakat muda menampilkan keupayaan mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, FFVPM membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam mencungkil, mengasah dan mengetengahkan bakat baharu sinema mahasiswa.
Beliau berkata, karya yang dipertandingkan bukan sahaja memperlihatkan keberanian anak muda meneroka pelbagai genre dan teknik sinematografi moden, malah mencerminkan pemikiran kritis generasi baharu terhadap isu masyarakat.
Katanya, festival itu turut bertepatan dengan aspirasi FINAS untuk memacu pertumbuhan industri kreatif tempatan berteraskan kualiti, daya cipta dan keaslian naratif tempatan.

Dalam perkembangan menarik, FFVPM14 turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluas peluang karya pelajar menembusi khalayak lebih besar.
Menerusi kerjasama itu, video pendek terbaik daripada 22 kategori dipertandingkan akan disiarkan menerusi platform RTM Klik, sekali gus membuka ruang kepada hasil kreativiti pelajar untuk dinikmati masyarakat umum.
Langkah berkenaan dilihat sebagai peluang penting buat pengkarya muda mendapatkan pendedahan lebih luas, selain menjadi jambatan awal untuk mereka mendekati industri perfileman profesional.
Malam kemuncak festival turut menyaksikan penglibatan alumni ASWARA yang kini mencipta nama dalam industri kreatif dan hiburan tanah air.
Antara yang bakal menyerikan acara sebagai penyampai trofi dan artis persembahan ialah kumpulan Floor 88, Amirul Affendi, Ariff Zirkarnain, pengarah filem Baga dan 1 Cent Thief, Aiman Arif, Zulin Aziz serta Kai Hassan.
Turut mencuri perhatian, Aiman Arif yang pernah memenangi kategori Editor Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), sekali gus memperlihatkan kesinambungan hubungan antara institusi pendidikan itu dengan graduannya yang aktif dalam industri.
Sebanyak lima kategori utama menjadi rebutan, iaitu Anugerah Keseluruhan, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Filem Animasi Pendek Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Festival itu turut mempertandingkan dua kategori khas, iaitu Anugerah Bakat Muda dan Anugerah Khas Juri, selain 15 kategori lain yang mengiktiraf pelbagai aspek penghasilan karya audiovisual.
Untuk rekod, proses penjurian fasa pertama bagi pemilihan calon Top 5 untuk 20 kategori pertandingan sudah selesai dilaksanakan oleh barisan juri profesional, manakala penjurian seterusnya bagi menentukan pemenang utama akan berlangsung dalam masa terdekat.
Malam kemuncak FFVPM14 akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi ASWARA dan FINAS pada 13 November ini, bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Kepulangan FFVPM selepas empat tahun bukan sekadar menghidupkan semula sebuah festival, malah membawa harapan untuk melahirkan lebih ramai pengarah, penulis skrip, pelakon dan tenaga kreatif yang mampu menyumbang kepada masa depan industri perfileman negara.
