November 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Emma Rockers Menang Rayuan Kes Saman Fitnah

Spread the love

Keputusan Mahkamah Tinggi Ketepikan Pemberian Ganti Rugi, Kes Akan Dibicarakan Semula Di Hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Baharu

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock wanita era 1990-an, Emma Rockers menarik nafas lega apabila berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi berhubung kes saman fitnah membabitkan pemain gitar kumpulan BPR, Awang.

Emma atau nama sebenarnya Rahimah Sukor memfailkan saman berkenaan pada 2022. Dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terdahulu berkaitan pemberian ganti rugi am dan ganti rugi teladan kepada Awang.

Bagaimanapun, perkembangan itu menyaksikan kes berkenaan perlu dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Mengulas perkembangan berkenaan, Emma melahirkan rasa syukur dan percaya setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Beliau turut berharap proses perundangan yang sedang berjalan dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada semua pihak.

“Sebagai anak seni yang masih aktif dalam industri hiburan dan turut mengusahakan perniagaan di belakang tabir, saya akan terus melangkah ke hadapan serta melaksanakan setiap usaha dengan penuh integriti dan profesionalisme,” katanya.

Emma turut menegaskan keyakinannya terhadap proses perundangan dan berharap kes berkenaan dapat diselesaikan secara adil.

Sementara itu, peguam yang mewakilinya, Abd Rahim Ali daripada Tetuan Rahim, Aidil & Partners, mengesahkan kes berkenaan akan dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Menurutnya, kes itu bagaimanapun masih belum didaftarkan semula dan pihaknya sedang menunggu pemakluman rasmi daripada pihak mahkamah.

“Kes ini akan dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu. Bagaimanapun, setakat ini, kes berkenaan masih belum didaftarkan semula.

“Pihak pendaftar Mahkamah Rendah akan mengeluarkan surat pemakluman kepada kami berhubung tarikh sebutan kes terlebih dahulu.

“Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh ditetapkan dan kami masih menunggu pemakluman rasmi daripada pihak mahkamah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Emma baru-baru ini turut memainkan peranan membawa penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul untuk tampil sebagai juri jemputan khas dalam sebuah program televisyen terbitan Mediacorp Suria di Singapura.

Penglibatan itu sekali gus membuka ruang buat bakat Malaysia melebarkan pengaruh dalam industri hiburan negara jiran.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page