Aina Abdul Giliran Terakhir, Malaysia Jadi Tumpuan

Penyanyi itu bakal menutup saingan Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi lagu Bluest Sky, sekali gus menggalas harapan negara pada pertandingan sulung yang menghimpunkan 11 negara Asia.
Malaysia bakal menjadi antara tumpuan pada pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 apabila penyanyi versatil, Aina Abdul diumumkan mendapat giliran terakhir untuk beraksi menerusi lagu Bluest Sky.
Aina yang mewakili Malaysia bakal membuat persembahan pada urutan ke-11 daripada keseluruhan 11 negara peserta, sekali gus menutup tirai pertandingan yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 14 November ini.
Pertandingan yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand itu menghimpunkan barisan artis dari seluruh Asia yang masing-masing mempertaruhkan karya tersendiri dalam usaha merebut trofi sulung Eurovision Asia.
Berikut turutan rasmi persembahan kesemua peserta:
- Vietnam: Tóc Tiên – EM TIÊN
- Kemboja: Monetrey – I Let You Go
- Laos: Thinla – BAE
- Mongolia: Beck – Chamguigeer (Without You)
- Bhutan: Nyendra – Lhayi Semo
- Filipina: CARMELLE – Sobra-Sobra
- Bangladesh: Beatmosphere – Tumi Ele
- Thailand: MANG x DAOU – Aroma
- Korea Selatan: JUNHEE – DEEP DIVE
- Nepal: Pratik Himal Rai – Ananta Maya
- Malaysia: Aina Abdul – Bluest Sky
Barisan peserta Eurovision Song Contest Asia 2026 turut memperlihatkan kepelbagaian latar belakang seni dan identiti muzik rantau ini.
Daripada penyanyi solo, duo hinggalah kumpulan a cappella dan beatbox, setiap peserta membawa keunikan tersendiri menerusi karya yang merangkumi genre pop, R&B, balada, muzik rakyat dan tradisional serta gabungan elemen kontemporari.
Pengumuman turutan persembahan itu turut mencetuskan keterujaan pengguna media sosial yang tidak sabar menyaksikan kemunculan Aina di pentas antarabangsa.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah, “Save the best for the last. Aina Abdul of Malaysia😍🫰🏻”.
Seorang lagi pengguna turut menyuarakan keyakinan terhadap sambutan lagu berkenaan dengan berkata, “Memang ramai pun nak tunggu persembahan Aina Abdul. Setakat tinjauan dekat media sosial memang Aina Abdul dan Bluest Sky tengah popular”.
Pastinya, kedudukan sebagai peserta terakhir memberikan ruang kepada Aina untuk menutup saingan dengan persembahan yang meninggalkan kesan tersendiri.
Apakah kejutan yang bakal dibawakan penyanyi itu menerusi Bluest Sky dan bagaimana beliau bakal menghidupkan pentas antarabangsa berkenaan?
Segala-galanya bakal terjawab pada 14 November ini apabila Aina membawa nama Malaysia di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026.
Pertandingan itu boleh disaksikan menerusi siaran langsung TV3 atau strim di platform Tonton pada Sabtu, 14 November ini, bermula jam 9.30 malam.
