November 2, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Dijangka Berangkat Majlis Jubli Intan PEKAP

Spread the love

Majlis Jamuan Diraja 22 November himpunkan warga PEKAP, tokoh masyarakat dan korporat sempena 60 tahun penubuhan persatuan.

Sambutan Jubli Intan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) bakal mencipta detik istimewa apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dijangka berangkat ke Majlis Jamuan Diraja, 22 November ini.

Majlis yang dijadual berlangsung jam 6.30 petang di Dewan MATRADE, Tingkat 3, Menara MATRADE, Kuala Lumpur itu menjadi acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan PEKAP.

Pengesahan rasmi mengenai keberangkatan pasangan diraja itu sudah diterima daripada Majlis Kesultanan Pahang, sekali gus menambah keistimewaan sambutan yang meraikan perjalanan enam dekad persatuan berkenaan.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat PEKAP, Kuala Lumpur, yang dihadiri Presiden PEKAP, Datuk Haji Azman Shah bin Haji Abdullah; Pemangku Naib Presiden 2 merangkap Pengerusi Majlis Jamuan Diraja, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim; serta Setiausaha Agung PEKAP, Safian Hassan.

Ditubuhkan pada 1966, PEKAP menjadi wadah kebajikan, silaturahim dan jaringan sokongan anak-anak Pahang yang menetap di ibu kota.

Sepanjang enam dekad, persatuan itu konsisten membawa semangat ‘anak Pahang membantu anak Pahang’ menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, kesihatan, kecemasan serta sokongan kepada keluarga yang ditimpa musibah.

Azman berkata, sambutan Jubli Intan bukan sekadar meraikan usia persatuan, sebaliknya menjadi kesempatan mengenang sumbangan generasi terdahulu yang membina asas perjuangan PEKAP.

“Enam puluh tahun PEKAP adalah enam dekad tentang kebersamaan dan kebajikan. Ada anak Pahang yang memerlukan bantuan pendidikan, ada yang berdepan masalah kesihatan, ada keluarga yang ditimpa musibah dan ada yang memerlukan sokongan ketika melalui waktu yang sukar. Inilah semangat PEKAP yang mahu kita teruskan,” katanya.

Menurutnya, PEKAP berhasrat memperkukuh Tabung PEKAP serta memperluas jaringan kerjasama bagi memastikan lebih banyak program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Sambutan Jubli Intan ini bukan noktah kepada perjalanan 60 tahun PEKAP. Kita mahu ia menjadi permulaan kepada fasa seterusnya supaya PEKAP terus relevan, lebih dekat dengan anak Pahang dan mempunyai keupayaan yang lebih kukuh untuk membantu apabila diperlukan,” katanya.

Majlis berkenaan dijangka menghimpunkan warga PEKAP, tokoh masyarakat, wakil korporat serta tetamu daripada pelbagai latar belakang.

Antara pengisian yang dirancang termasuk persembahan artis terkenal tanah air selain program yang mengetengahkan seni dan budaya Pahang. Bagaimanapun, senarai artis serta perincian persembahan masih tertakluk kepada pengesahan pihak penganjur.

Dalam masa sama, PEKAP turut membuka peluang kepada syarikat korporat, organisasi, institusi, usahawan dan individu untuk menyokong kesinambungan usaha kebajikan persatuan menerusi penajaan sambutan, pembelian meja Majlis Jamuan Diraja serta pengiklanan dalam Buku Cenderamata Jubli Intan.

Bagi kelancaran majlis, ketibaan tetamu bermula jam 6.30 petang bagi memberi ruang kepada mereka menunaikan solat serta mengunjungi ruang pameran dan reruai yang disediakan sebelum memasuki dewan menjelang keberangkatan tiba pasangan diraja.

Sambutan itu diharapkan menjadi platform mempertemukan generasi lama dan baharu anak Pahang, selain memperkukuh jaringan kerjasama bagi memastikan legasi kebajikan PEKAP terus subur untuk tempoh enam dekad akan datang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page