October 31, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Exists Pulang”, Kembali Ke Akar Perjuangan

Spread the love

Himpunkan tujuh anggota termasuk Mamat dan Ezad, gegarkan Educity Sports Complex pada 9 Januari 2027 dengan deretan lagu malar segar lebih tiga dekad

Selepas lebih tiga dekad mengharungi perjalanan seni, mencipta fenomena dan mengukir nama dalam sejarah muzik popular tanah air, Exists bakal kembali ke tempat segala-galanya bermula.

Kepulangan itu bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, sebaliknya membawa makna sentimental buat kumpulan legenda berkenaan apabila Johor menjadi saksi awal pembentukan perjalanan muzik mereka sebelum berkembang sebagai antara nama besar industri hiburan tempatan.

Menerusi Konsert Exists Pulang Live In JB, peminat bakal menyaksikan pertemuan tujuh anggota kumpulan itu dalam sebuah persembahan yang dijadualkan berlangsung di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, pada 9 Januari 2027, jam 8.30 malam.

Dianjurkan Nusantara Live Entertainment bersama Infinity Love Creative Ventures, konsert berkenaan mengetengahkan judul Pulang sebagai simbolik penghargaan terhadap akar perjuangan Exists yang bermula di Johor.

Lebih menarik, persembahan itu menghimpunkan Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (gitar), Musa (bes), Ujang (dram) serta Ajai (keyboard).

Gabungan tujuh anggota berkenaan bakal menghidupkan kembali perjalanan muzik Exists menerusi himpunan karya daripada lapan album studio yang mewakili pelbagai fasa perkembangan kumpulan itu.

Dalam tempoh lebih tiga dekad, Exists membuktikan keupayaan sesebuah karya muzik untuk melangkaui batas generasi.

Lagu seperti Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita dan Langkah Seiringan bukan sekadar menjadi identiti muzik kumpulan itu, malah terus bersemadi dalam ingatan pendengar yang membesar bersama karya mereka.

Keistimewaan lagu berkenaan terletak pada kekuatan melodi, penghayatan lirik dan nilai sentimental yang menjadikan setiap karya mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan peminat.

Justeru, Konsert Exists Pulang Live In JB dijangka menjadi ruang pertemuan antara nostalgia dan realiti apabila peminat berpeluang menyaksikan sendiri lagu yang pernah menjadi runut bunyi kehidupan mereka dipersembahkan secara langsung.

Kehadiran Mamat dan Ezad sebagai dua vokalis yang mempunyai sejarah tersendiri bersama Exists turut memberikan dimensi berbeza kepada persembahan berkenaan.

Ia sekali gus membuka peluang kepada peminat menghayati kepelbagaian karya yang lahir sepanjang perjalanan muzik kumpulan itu.

Konsert berkenaan juga menandakan kerjasama kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan penganjuran Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu.

Konsert yang berlangsung di lokasi sama itu berjaya menarik kira-kira 14,000 penonton, sekali gus membuktikan sambutan peminat terhadap persembahan berskala besar di Johor.

Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman berkata, pengalaman menganjurkan konsert Wali sebelum ini menjadi pencetus semangat untuk meneruskan usaha membawa lebih banyak persembahan artis popular kepada peminat di negeri itu.

“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran Konsert Exists Pulang Live In JB sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.

“Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air,” kata mereka.

Bagi Exists, Johor bukan sekadar negeri kelahiran atau lokasi persembahan, sebaliknya sebahagian daripada sejarah yang membentuk identiti dan perjalanan seni mereka.

Justeru, judul Pulang mempunyai makna yang lebih mendalam kerana ia menghubungkan semula kumpulan itu dengan akar perjuangan, selain menjadi tanda penghargaan terhadap peminat yang mengikuti perjalanan mereka sejak awal pembabitan dalam industri.

Lebih daripada sebuah konsert nostalgia, persembahan itu turut menjadi pertemuan antara generasi yang pernah membesar dengan lagu Exists dan pendengar baharu yang terus menghargai keunikan karya mereka.

Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada detik istimewa itu, tiket ditawarkan menerusi enam kategori harga iaitu Janji Padamu (CAT 4) pada harga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM168, Jesnita (GA) RM149, Alasamu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.

Tiket boleh dibeli menerusi platform jualan rasmi MyTicket Asia di https://myticket.asia/ bermula 2 November 2026, jam 10 pagi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page