TVS Raih Tiga Anugerah ASA 2026

Stesen penyiaran TVS terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kreatif negara apabila meraih tiga anugerah pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, sekali gus melengkapkan kejayaan selepas menerima The BrandLaureate BestBrands Award 2026.
Pencapaian itu menjadi hadiah bermakna sempena ulang tahun keenam TVS, selain membuktikan keupayaannya mengangkat karya animasi dan komedi tempatan yang mengetengahkan kreativiti serta identiti Sarawak.
Tiga kemenangan berkenaan diraih menerusi karya Lauk Ka Indai, Ro Bin Hud dan Kumang & The Ungrateful Python yang mencuri perhatian menerusi kategori masing-masing.
Pada acara prelude ASA 2026, animasi Lauk Ka Indai terbitan Amirul Afiq Hussain memenangi kategori Animasi Tempatan TV Terbaik, manakala filem komedi pendek Ro Bin Hud karya Ain Suhada Ahmad dinobatkan sebagai Komedi TV Terbaik.
Kejayaan TVS diteruskan pada malam kemuncak apabila animasi tempatan Kumang & The Ungrateful Python, karya Khiu Siaw Fong, meraih Anugerah Khas Juri.
Selain membawa pulang trofi dan wang tunai RM8,000, TVS turut memenangi sebuah kenderaan elektrik (EV), Perodua QV-E, bernilai RM80,000.
Animasi Kumang & The Ungrateful Python diterbitkan TVS dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerusi Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak.
Sebelum ini, TVS turut menerima The BrandLaureate BestBrands Award 2026 bagi kategori Nation’s Pride Excellence in Corporate Branding & Media Development, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan penjenamaan korporat dan sumbangannya dalam pembangunan media.
Kejayaan berturut-turut itu menyerlahkan usaha TVS memperluas ruang kepada penggiat kreatif tempatan untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat cerita, budaya dan keunikan Sarawak kepada khalayak lebih luas.
Memasuki tahun keenam operasinya, TVS bertekad meneruskan usaha memperkaya landskap penyiaran negara menerusi penerbitan kandungan berkualiti, pemerkasaan bakat tempatan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif.
Pencapaian itu turut membuktikan karya berteraskan identiti tempatan mempunyai potensi untuk mendapat pengiktirafan lebih luas, sekali gus mengukuhkan peranan TVS sebagai platform yang meraikan kreativiti dan kepelbagaian budaya Malaysia.
