Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA

Tujuh Trek Bawa Pendengar Menyusuri Cinta, Luka, Kemarahan Dan Perjalanan Menerima Diri Sendiri
BUKAN sekadar himpunan lagu, penyanyi Ernie Zakri mengajak pendengar menyelami sisi jiwa manusia yang sering tersembunyi di sebalik senyuman menerusi album terbaharunya, ATMA.
Membawa maksud jiwa, album itu menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Ernie apabila mengetengahkan pelbagai lapisan emosi manusia, daripada cinta dan kerinduan hingga luka, kemarahan serta kekuatan untuk menerima kenyataan dan bangkit semula.
Bagi Ernie, jiwa bukan sesuatu yang mudah diterjemahkan kerana ia terbentuk daripada perasaan, pengalaman dan kenangan yang kadangkala tidak dapat dilihat atau difahami orang lain.
“Untuk saya, jiwa itu bukan sesuatu yang mudah diterangkan. Ia tentang apa yang kita rasa, apa yang kita simpan, apa yang pernah membentuk kita, semua benda yang mungkin orang tak nampak bila mereka melihat kita dari luar,” katanya.
Pemahaman itu menjadi teras kepada pembikinan ATMA yang menggabungkan penulisan lagu, susunan muzik dan pendekatan visual bagi membentuk sebuah karya dengan identiti tersendiri.
Album berkenaan turut memberi ruang kepada sisi manusia yang rapuh, keliru dan masih mencari jawapan, selain meraikan cinta serta proses pertumbuhan diri.
Jika album AURA memperkenalkan perjalanan muzik yang lebih luas, ATMA pula tampil dengan konsep lebih padat dan terarah menerusi pemilihan tujuh trek.

Bagi Ernie, jumlah lagu bukan ukuran utama, sebaliknya setiap karya perlu mempunyai fungsi tersendiri dalam membina naratif album secara keseluruhan.
“Intro membuka dunia album ini, lima lagu penuh membawa isi dan emosi utamanya, manakala ‘Finito’ menjadi penutup kepada perjalanan tersebut. Jadi, bagi saya, yang lebih penting ialah bagaimana setiap trek berfungsi dalam keseluruhan naratif album,” jelasnya.
Susunan lagu dirancang untuk membawa pendengar melalui perubahan suasana dan emosi, bermula dengan nuansa lebih tegas serta gelap sebelum bergerak ke arah yang lebih lembut dan terbuka kepada penerimaan.
Pendekatan itu turut menuntut Ernie memberikan interpretasi vokal berbeza mengikut karakter setiap lagu, sekali gus memastikan emosi yang disampaikan kedengaran jujur dan tidak terikat kepada satu gaya persembahan sahaja.
Namun, meskipun ATMA sarat dengan emosi, penyanyi itu menjelaskan penceritaannya tidak semestinya merujuk secara langsung kepada pengalaman peribadinya.
Sebaliknya, album berkenaan lahir daripada gabungan pengalaman, pemerhatian, empati dan imaginasi, dengan tema yang melangkaui persoalan pengkhianatan untuk menyentuh kesunyian, ketakutan serta pergulatan seseorang dengan dirinya sendiri.
“Saya harap bila orang masuk ke dunia ATMA, mereka bukan cuma mendengar suara saya, tapi mereka dapat rasa sesuatu yang dekat dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Arah kreatif album itu mula diperlihatkan menerusi single Sejambak Bunga yang menampilkan sisi Ernie lebih matang dan berani, disokong pendekatan muzik serta visual lebih gelap dan intim.

Karya berkenaan menjadi pengenalan kepada identiti ATMA yang kemudian diperluaskan menerusi keseluruhan album, termasuk siri imej konsep yang dikongsikan di media sosial.
Sebelum pelancaran album, Ernie bersama pasukannya turut menganjurkan Intimate Pre-Album Listening Party pada 15 Oktober lalu bagi memberi peluang kepada peminat menikmati karya itu lebih awal.
Bagi Ernie, pelancaran ATMA bukan noktah kepada perjalanan album berkenaan, sebaliknya permulaan kepada usaha menghidupkan karya itu menerusi persembahan langsung, kandungan visual dan pengalaman lain yang membolehkan pendengar mendekatinya dengan cara tersendiri.
“Selepas pelancaran album, saya nak ATMA terus hidup dalam cara yang lebih dekat dengan pendengar. Saya harap ATMA tidak berhenti sebagai sebuah album sahaja, tapi terus berkembang sebagai satu pengalaman yang orang boleh rasa, faham dan kaitkan dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Album ATMA kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital utama.
