October 21, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Aznil Nawawi Bongkar Rahsia Bukan Sekadar Petah Berbicara

Spread the love

SHOW ADA KELAS tampil dengan lima modul komunikasi profesional, manfaat pengalaman lebih 40 tahun ikon penyiaran negara

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Bukan semua yang petah bercakap mampu memikat perhatian, apatah lagi membina kepercayaan. Hakikat itu menjadi inti pati SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, apabila ikon penyiaran negara, Datuk Aznil Haji Nawawi, mahu membongkar rahsia komunikasi berkesan berbekalkan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri.

Menerusi program yang diperkenalkan buat julung kali oleh Icon Entertainment itu, peserta bukan sekadar didedahkan kepada teknik berbicara di hadapan khalayak, malah dibimbing menguasai seni menyampaikan mesej dengan yakin, meyakinkan dan meninggalkan kesan.

Dijadual berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 28 November ini, dari jam 3 hingga 5 petang, program berkenaan mengetengahkan komunikasi sebagai kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dipertingkatkan, bukan sekadar bergantung pada bakat semula jadi.

Aznil yang cukup berpengalaman mengendalikan pelbagai program penyiaran percaya, keupayaan berkomunikasi dengan berkesan bukan hanya penting untuk mereka yang bekerja di hadapan kamera atau pentas, sebaliknya menjadi aset dalam hampir setiap bidang profesional.

Dalam dunia yang semakin bergantung pada komunikasi bersemuka dan digital, kemahiran menyampaikan idea secara jelas dan meyakinkan amat diperlukan, termasuk ketika membuat pembentangan, menjalankan rundingan perniagaan, memimpin organisasi serta menghasilkan kandungan digital.

Justeru, SHOW ADA KELAS dirangka untuk membantu peserta membina keyakinan diri, memperkemas penyampaian dan menguasai teknik komunikasi yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mahupun kerjaya.

Aznil berkata, matlamat program itu bukan untuk mengajar seseorang menjadi popular, sebaliknya membina keupayaan diri sehingga menjadi individu yang dipercayai dan menjadi pilihan.

“Dalam SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience juga saya tidak mengajar cara bercakap tapi mengajar cara didengar.

“Program ini dirangka bagi membantu peserta daripada pelbagai latar belakang meningkatkan keyakinan dan menguasai teknik komunikasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan profesional.

“Saya fikir inisiatif ini selari dengan dunia yang semakin bergantung pada komunikasi secara bersemuka dan digital. Keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan mempunyai kepentingan merentas bidang, daripada pengucapan awam dan pembentangan profesional kepada rundingan perniagaan, kepimpinan serta penciptaan kandungan.

“Penekanan program ini adalah tentang keyakinan diri merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dikuasai,” katanya.

Bagi memastikan pembelajaran lebih tersusun dan praktikal, peserta akan mengikuti lima modul utama, iaitu Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.

Modul berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting, termasuk teknik mengatasi kegugupan, penggunaan bahasa badan, kawalan suara, penyusunan mesej, kemahiran pembentangan, penceritaan berkesan serta pembinaan penjenamaan diri (personal branding) dan kredibiliti profesional.

Menariknya, program itu turut menerapkan pendekatan edutainment yang menggabungkan pendidikan dan hiburan bagi menjadikan proses pembelajaran lebih santai, interaktif dan mudah difahami.

Menerusi demonstrasi, latihan praktikal serta sesi interaktif, peserta berpeluang melihat bagaimana teknik komunikasi digunakan dalam situasi sebenar, sekali gus membantu mereka mengenal pasti kekuatan dan memperbaiki kelemahan ketika berhadapan dengan khalayak.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pendekatan berkenaan menjadi antara tarikan utama program itu kerana peserta berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada tokoh penyiaran yang memiliki pengalaman luas dalam industri.

“Kami tertarik dengan pendekatan edutainment yang menggabungkan unsur humor dan interaksi dalam proses pembelajaran. Kami melihat ia sebagai satu pendekatan menarik untuk diketengahkan kepada peserta.

“Bayangkan anda berpeluang menimba ilmu secara langsung atau eksklusif daripada ikon penyiaran negara yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri.

“Peserta akan didedahkan kepada pelbagai teknik, termasuk cara mengatasi kegugupan, menggunakan bahasa badan, mengawal suara, menyusun mesej, membuat pembentangan serta membina kemahiran penceritaan dan penjenamaan diri.

“Pengalaman ini tidak akan didapatkan di program lain tetapi hanya dalam SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience,” katanya.

Program itu menyasarkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang, termasuk penjawat awam, eksekutif korporat, usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, pemimpin belia, ketua organisasi dan pencipta kandungan.

Tiket ditawarkan pada harga RM288 dan RM388. Peserta juga boleh mendapatkan e-sijil dengan caj tambahan RM50, sijil fizikal pada harga RM100 serta sesi bertemu dan beramah mesra (Meet & Greet) dengan caj tambahan RM200.

Dengan gabungan pengalaman industri, latihan praktikal dan pendekatan pembelajaran berteraskan hiburan, SHOW ADA KELAS bukan sekadar membuka ruang untuk peserta memperbaiki cara berkomunikasi, malah membina keyakinan, memperkukuh kredibiliti dan meningkatkan keupayaan mempengaruhi khalayak secara berkesan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page