October 21, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ella Belum Bersara, Sidang Penutup Bukan Noktah!

Spread the love

Ratu Rock Malaysia Tegaskan Konsert 5 Disember Sekadar Penutup Tirai 2026, Ziana Zain Dan Yuna Antara Bintang Jemputan

Jangan anggap konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup sebagai isyarat Ratu Rock Malaysia, Ella, bakal mengundurkan diri daripada dunia seni kerana persembahan pada 5 Disember depan itu sekadar penutup tirai perjalanan konsertnya sepanjang tahun ini.

Sebaliknya, penyanyi yang sudah lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air itu masih menyimpan hasrat untuk terus berkarya, sekali gus menafikan sebarang spekulasi mengenai persaraannya.

“Insya-Allah tak, belum (bersara),” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert berkenaan di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ella mengakui terkejut apabila perancangan mengadakan satu lagi persembahan dalam tempoh singkat akhirnya menjadi kenyataan, apatah lagi selepas kejayaan siri konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang berlangsung di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

“Sebenarnya Ella terkejut juga. Sebab keputusan yang kita buat, semuanya menjadi dan menjadi kenyataan,” katanya.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 5 Disember 2026, sekali gus menjadi kemuncak perjalanan siri persembahan berkenaan yang berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi tiga persembahan terdahulu.

Penganjuran konsert itu juga tercetus daripada hasrat Ella sendiri yang mahu mengadakan persembahan penutup tahun ketika majlis penghargaan kepada pemuzik dan penggiat seni yang terbabit dalam perjalanan kerjayanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata idea itu disambut baik pihak penganjur yang yakin sambutan peminat terhadap Ella masih kukuh.

Keyakinan itu bukan bersandarkan nama besar semata-mata, sebaliknya dibuktikan menerusi kejayaan konsert berskala stadium di Kuala Lumpur yang menghimpunkan 55,000 penonton, diikuti lebih 5,000 peminat di Singapura dan 10,000 penonton di Pulau Pinang.

Angka berkenaan memperlihatkan pengaruh Ella yang masih utuh, selain membuktikan karya dan legasinya terus merentasi generasi. Lebih menarik, Sidang Penutup bakal menyaksikan Ella berkongsi pentas dengan dua penyanyi wanita ternama, Datuk Ziana Zain dan Yuna, yang dijangka memberikan warna berbeza kepada persembahan kemuncak itu.

Pengarah Jenama Rockqueen, Kapten Azhar Ghazali, berkata pemilihan kedua-dua penyanyi berkenaan dibuat berdasarkan keunikan bakat serta perjalanan seni masing-masing.

Datuk Ziana sebelum ini pernah tampil sebagai artis undangan menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang. Kemunculannya di Kuala Lumpur kali ini memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan terdahulu untuk menikmati gandingan mereka secara langsung.

Yuna pula dijangka membawa dimensi muzik berbeza menerusi identiti kontemporari yang sinonim dengannya, sekali gus mempertemukan tiga figura wanita daripada latar muzik dan generasi berbeza dalam satu pentas.

Bagaimanapun, peminat tidak perlu mengharapkan dua nama itu sahaja kerana pihak penganjur turut membayangkan beberapa penampilan istimewa lain yang sengaja dirahsiakan bagi mengekalkan elemen kejutan pada malam berkenaan.

Sidang Penutup turut memperkenalkan konsep Audience Choice yang memberi peluang kepada peminat menentukan beberapa elemen persembahan, termasuk tema dan senarai lagu.

Pendekatan itu menjadikan peminat bukan sekadar penonton, sebaliknya sebahagian daripada perjalanan kreatif konsert yang meraikan hubungan erat antara Ella dengan kelompok penyokongnya.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, berkata kejayaan menghimpunkan lebih 70,000 peminat sepanjang siri persembahan tahun ini membawa makna besar kepada semua pihak yang terbabit.

Menurutnya, mesej Peace.Love.Rindu yang dibawa menerusi perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen turut melangkaui pentas persembahan, termasuk menerusi sumbangan kepada organisasi kebajikan.

Katanya, kejayaan sesebuah konsert tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penonton semata-mata, tetapi turut mengambil kira nilai dan impak yang dapat dikongsi bersama masyarakat.

Sementara itu, Rohit berkata penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25 oleh Ella menjadi pengiktirafan bermakna terhadap sumbangan serta legasi penyanyi itu sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik Malaysia.

Beliau turut menyifatkan kerjasama dengan Ella sejak 2023 menerusi Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, diikuti Jilid Rockestra: Rockers Juga Manusia dan seterusnya Majlis Tertinggi Rockqueen, sebagai perjalanan yang memperlihatkan dedikasi serta komitmen tinggi penyanyi itu dalam memastikan setiap persembahan mempunyai nilai tersendiri.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup dianjurkan Hitman Solutions bersama Rockqueen, dengan tiket berharga bermula RM179.

Tiket mula dijual pada 22 Oktober 2026 menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page