October 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Achey Enggan Terperangkap Imej Pelawak

Spread the love

Cipta sendiri Gadis Ayu, mahu pendengar terhibur dengan kisah cinta unik tanpa mengejar populariti segera

Enggan terus dibayangi imej pelawak, Achey membuktikan bakatnya dalam bidang muzik menerusi single terbaharu, Gadis Ayu, yang dicipta sepenuhnya hasil kreativiti sendiri.

Diterbitkan di bawah label 1711 Music, lagu berentak rancak itu bukan sekadar taruhan baharu Achey sebagai penyanyi, malah memperlihatkan kebolehannya sebagai komposer dan penulis lirik yang mahu terus meneroka ruang kreatif dalam industri muzik tempatan.

Menariknya, Gadis Ayu mengangkat kisah cinta yang tercetus daripada pertemuan pertama seorang lelaki dengan wanita dalam situasi luar biasa sehingga sukar dilupakan.

Bagaimanapun, Achey atau nama sebenarnya, tidak menganggap karya itu sebagai cerminan pengalaman peribadinya, sebaliknya lahir daripada imaginasi untuk menghasilkan lagu santai yang mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Lagu ini sebenarnya tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kehidupan saya. Semuanya datang daripada imaginasi sendiri kerana saya mahu menghasilkan lagu rancak yang mempunyai jalan cerita.

“Ia berkisarkan bibit percintaan antara seorang lelaki dan wanita yang bertemu dalam keadaan agak luar biasa. Saya tidak mengharapkan orang menganggap lagu ini sebagai ciptaan yang terlalu hebat, sebaliknya cukup sekadar mereka terhibur dan menikmati muziknya,” katanya.

Bagi Achey, label sebagai pelawak tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang meneroka bidang seni lain, apatah lagi apabila minat terhadap muzik sudah lama berakar dalam dirinya.

Malah, dia lebih selesa menghasilkan lagu sendiri kerana dapat mencurahkan idea dan kreativiti secara langsung menerusi karya yang dibawakan.

“Pada saya, seorang pelawak tidak semestinya hanya tahu melawak. Kita mempunyai pelbagai bakat dan minat yang boleh diterokai.

“Saya memang suka mencipta lagu dan menyanyi. Orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi kalau kita terlalu memikirkan pandangan orang, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak ke hadapan,” katanya.

Pengalaman menghasilkan lagu raya berentak rancak sebelum ini turut menyuntik keyakinan kepada Achey untuk meneruskan pendekatan muzik sedemikian, namun kali ini tanpa terikat dengan musim perayaan.

Katanya, dia mahu meneroka pelbagai genre dan menghasilkan lagu yang boleh dinikmati pendengar pada bila-bila masa.

“Saya memang sedang meneroka pelbagai genre muzik. Sebelum ini, pendengar mungkin sudah biasa dengan lagu raya saya yang rancak. Jadi, kali ini saya mahu mencuba lagu rancak yang boleh dinikmati pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Achey menghargai sokongan 1711 Music yang terus memberikan ruang kepadanya untuk berkarya, selain membantu dalam aspek penerbitan dan promosi.

Menurutnya, persefahaman yang terjalin sejak penghasilan karya terawal membolehkannya bergerak lebih selesa dalam merancang perjalanan muziknya.

Mengulas persaingan industri yang semakin sengit, Achey mengakui tidak terlalu mengejar populariti segera, sebaliknya mahu terus menghasilkan karya berkualiti dan menghargai peminat yang setia menyokongnya.

Katanya, dia memahami bukan semua pendengar akan menyukai muzik yang dibawakan, justeru penerimaan awal bukan satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah lagu.

“Bukan semua orang akan menyukai kita dan saya tidak boleh memaksa semua orang menerima muzik saya. Apa yang penting, kita menjaga peminat yang sedia ada dan terus menghasilkan karya terbaik.

“Saya juga tidak kisah kalau lagu tidak terus mendapat sambutan luar biasa pada awal pelancaran. Promosi perlu dilakukan secara berterusan kerana mungkin selepas beberapa bulan, lagu itu akan menemui pendengarnya sendiri,” katanya.

Achey turut membuka ruang untuk menghasilkan lebih banyak karya ciptaan sendiri pada masa akan datang, selain tidak menolak kemungkinan berkolaborasi dengan penyanyi lain serta meneruskan usaha mengetengahkan bakat generasi muda.

Menerusi Gadis Ayu, Achey berharap dapat menawarkan hiburan ringan kepada pendengar, sekali gus membuktikan bahawa bakat seseorang tidak seharusnya dibataskan oleh satu identiti atau bidang yang lebih sinonim dengannya.

Single Gadis Ayu mula distrim di semua platform muzik digital pada 16 Oktober 2026, manakala muzik video rasminya dilancarkan pada hari sama, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Muzik video rasmi Gadis Ayu boleh ditonton menerusi pautan https://youtu.be/MbywtpPxy3A.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page