Afterglow Buka Lembaran Baharu Iman Fandi

EP sulung himpun konflik emosi, keberanian memilih kebahagiaan dan kematangan muzik penyanyi Singapura itu sebagai artis bebas
Bukan sekadar mahu menghasilkan lagu, penyanyi kelahiran Singapura, Iman Fandi, menjadikan EP terbaharunya, Afterglow, sebagai pernyataan berani tentang nilai diri, kebebasan emosi dan keberanian memilih kebahagiaan sendiri.
Dilancarkan pada 25 September lalu di semua platform penstriman muzik utama, EP itu menjadi karya paling signifikan dalam perjalanan Iman sebagai artis bebas, sekali gus memperlihatkan identiti muzik yang semakin matang menerusi gabungan pop kontemporari dan R&B moden.
Menerusi Afterglow, Iman membawa pendengar menyelami pergolakan perasaan ketika berusaha membina keyakinan, mengejar cita-cita dan melepaskan perkara yang tidak lagi membawa kebaikan dalam kehidupan.
Antara inti utama karya itu ialah pertentangan antara hati yang masih mahu mempertahankan sesuatu hubungan dengan fikiran yang menyedari perlunya melepaskan dan meneruskan kehidupan.
Namun, perjalanan menemukan kekuatan diri tidak semestinya dipenuhi kesedihan dan pengorbanan, sebaliknya turut memberi ruang untuk menikmati kehidupan, meraikan pencapaian serta menghargai diri sendiri.
“Namun, perjalanan ini juga tentang menikmati setiap detik dan berseronok sepanjang proses tersebut.
“Menari bersama teman-teman wanita, meraikan sejauh mana kita telah melangkah dan melihat kehidupan sendiri dari sudut yang lebih indah serta romantis,” katanya.
Pendekatan itu memberikan Afterglow dimensi lebih luas apabila EP berkenaan bukan hanya berkisar mengenai konflik emosi, malah meraikan keyakinan untuk menentukan kebahagiaan dan hala tuju sendiri.
Tiga single terdahulu, Tip Toes, Out Of My Mind dan IT IS, menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membawa kepada penghasilan EP berkenaan.
Jika setiap single itu memperlihatkan perkembangan kisah secara berperingkat, Afterglow menyatukan keseluruhan pengalaman berkenaan dalam sebuah naskhah yang lebih menyeluruh, sekali gus menggambarkan kematangan Iman dalam menentukan arah muziknya.
Pelancaran EP itu turut hadir selepas tahun yang cukup bermakna buat Iman, termasuk persembahan lagu Giants, hasil ciptaan bersama Weish, di Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura di hadapan kira-kira 42,000 penonton di Stadium Nasional.
Beliau turut membuat penampilan sulung di pentas Amerika Syarikat menerusi acara Broadus Together: Superstar Among Friends di Los Angeles.
Sebagai anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, Iman kini giat membina nama menerusi muzik, fesyen dan budaya kontemporari tanpa bergantung semata-mata kepada latar belakang keluarganya.
Justeru, Afterglow hadir sebagai penanda penting dalam perjalanan seninya, memperlihatkan seorang artis muda yang semakin yakin meneroka potensi, memperkukuh identiti dan menentukan masa depannya sendiri dalam industri muzik.
EP Afterglow kini boleh didengarkan menerusi Spotify dan platform penstriman muzik utama.
