October 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Revenge of the Rats Kembali, Bawa Nostalgia ‘Underground’

Spread the love

Carburetor Dung ’95, Naked Butterfly, Mutilation dan Projekt A.K. himpunkan peminat muzik alternatif 12 Disember ini

Selepas lebih tiga dekad mencipta sejarah dalam gerakan muzik underground tempatan, Revenge of the Rats kembali menjadi tumpuan menerusi edisi 2026 yang menghimpunkan empat nama berpengaruh dalam persada muzik alternatif, punk, hardcore dan metal negara.

Dianjurkan Livewire Event bersama Lampuneon acara yang dijadualkan berlangsung di Bentley Music Auditorium pada 12 Disember ini menyaksikan kemunculan barisan DUNG ’95 daripada kumpulan punk rock Carburetor Dung sebagai antara tarikan utama.

Lebih menarik, nama The Revenge of the Rats mempunyai sejarah tersendiri apabila gig dengan nama sama pernah berlangsung pada 30 Ogos 1993 di Garfunkel Pub, Life Centre, Kuala Lumpur.

Menurut catatan sejarah muzik tempatan, acara itu menghimpunkan kumpulan seperti Subculture, The Splatters, The Pilgrims, Chronic Mass dan Lovely Ugly Carnival, sekali gus menjadi antara contoh awal persembahan yang menemukan pelbagai aliran muzik dalam lingkungan gerakan underground tempatan.

Kumpulan Subculture turut merekodkan persembahan itu sebagai penampilan pentas pertama mereka, manakala perkongsian pentas antara kumpulan bukan metal menjadi antara perkembangan penting dalam landskap muzik alternatif ketika itu.

Justeru, penganjuran edisi 2026 membawa nilai nostalgia tersendiri kepada peminat yang mengikuti perkembangan muzik bawah tanah sejak era 1990-an, selain membuka peluang kepada generasi baharu mengenali sejarah berkenaan.

Picture Credit: FB Joe Kidd

Tumpuan turut terarah kepada DUNG ’95 yang dianggotai Lee selaku vokalis, Joe Kidd (gitar), Fendi (bass) dan Ollie (dram). Mereka bakal kembali berkongsi pentas selepas 27 tahun tidak beraksi bersama dalam barisan berkenaan.

Selain itu, Naked Butterfly turut mengisi barisan persembahan. Kumpulan berkenaan dikenali menerusi album Dreamwalk yang diterbitkan pada 1995, karya yang terus mendapat perhatian dalam kalangan peminat muzik alternatif tempatan.

Picture Credit: FB Naked Butterfly Live @ Penang 1995

Turut mengambil bahagian ialah Mutilation yang mewakili aliran death metal serta Projekt A.K. yang mempunyai latar dalam muzik hardcore dan rapcore.

Picture Credit: FB Oji Hamidin (Mutilation Live @ KL Metalcamp 2016

Gabungan empat nama itu memperlihatkan kepelbagaian aliran muzik yang menjadi sebahagian daripada identiti gerakan underground Malaysia sejak sekian lama.

Picture Credit: FB Shattered Existence

Revenge of the Rats 2026 akan berlangsung pada Sabtu, 12 Disember ini di Bentley Music Auditorium dengan tiket berharga RM150 bagi kategori berdiri bebas.

Tiket boleh didapati menerusi laman web MyTicket Empire.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page